SEBUAH filem tempatan ala-ala ‘Fast & Furious’ bakal mencipta sejarah apabila lebih kurang 500 buah kereta ‘super’ mewah digunakan dalam penggambaran ‘The Catcher’ melibatkan anggaran kos produksi mencecah RM50 juta.

“Kami masih dalam perancangan menyiapkan skrip serta krew produksi termasuk barisan pelakon yang akan membintanginya kelak, “ ujar Ong Peng Chu, pengasas dan penerbit Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd (HYPP).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara HYPP dan Labuan Overseas Holding Berhad di One City, Subang pada 3 Oktober 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem



Memorandum persefahaman itu menyaksikan Labuan Overseas Holding yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Burhanudin Mohd Yusoff membiayai RM2 juta sebagai perbelanjaan pemulaan kepada 'The Catcher'  yang bakal memulakan penggambarannya dijangka pada Mei 2022.

Turut hadir bersama melaksanakan upacara penyerahan memorandum yang berlangsung di One CIty, Subang, terdiri daripada Dato’ Sri Jeffrey Teoh, Pengasas Robotz dan Joe Lim selaku Timbalan Pengerusi dan Pengurus Besar Zuhai International Circuit Ltd.

Tidak menolak sebarang kemungkinan untuk berkolaborasi dengan pelakon yang mempunyai kepakaran dalam memandu kereta sports, Ong Peng Chu sekadar memberikan bayangan kemungkinan itu ada.

“Kami belum dapat memaklumkan lagi siapa barisan artis tetapi selain artis tempatan akan ada artis antarabangsa sama ada dari Hollywood atau negara-negara lain,” tambahnya sambil memberitahu produksi filem dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun.


(Dari kiri):  Joe Lim, Jeffrey Teoh, Burhanudin Mohd Yusoff dan Ong Peng Chu.


'The Catcher' menggambarkan gaya hidup dan budaya penggemar modifikasi kereta di Malaysia. 

Filem ini mengisahkan  seorang budak kampung muda berbakat yang bekerja keras untuk mengalahkan lawan dari seluruh dunia dengan keretanya yang diubah suai. 

Dan dengan menampilkan 500 jenis kereta super, ia dijangka memecah rekod dunia sebagai sebuah filem yang berjaya mengumpul bilangan kereta sebanyak itu dalam sebuah filem.

Difahamkan kesemua kereta terlibat dimiliki anggota Kelab Robotz Car yang juga akan menyumbang wang dalam mengumpul dana untuk pembikinan filem.

“Supercar disukai semua orang, dari mana-mana kedudukan dan latar belakang. Sebagai pemandu supercar, kita masing-masing di Robotz selalu mendapat inspirasi dari francais filem "Fast & Furious" lakonan Vin Diesel dan Paul Walker. Jadi kami berharap serta berbangga jika filem kami dapat mencontohi kecemerlangan filem tersebut,” jelas Jeffrey Teoh yang bertanggungjawab mengumpul kereta-kereta sport mewah berkenaan di mana sebahagiannya dipamerkan di luar pekarangan One City, Subang untuk tatapan tetamu dan media.



Sementara itu, menjawab pertanyaan penglibatan Labuan Overseas Holdings sebagai penaja, Burhanuddin Mohd Yusof berkata, “Kami menyokong projek ini, bukan hanya kerana ia akan memecahkan rekod tetapi juga kerana cadangan nilai tambahnya yang menarik untuk perhatian bakal pelabur kami. 

"Malah kami berharap dapat mengembangkan perniagaan ini kerana ada potensi besar untuk membuka peuang pelaburan dalam industri berkaitan kenderaan bermotor lain, secara langsung atau tidak langsung, ke arah pemulihan ekonomi Malaysia kita.”

Dalam pada itu, bagi menjawabkan produksi yang melibatkan kenderaan bermotor dan perlumbaan di mana ‘The Catcher’ akan menjadi pemangkin memupuk minat dalam pengembangan pemotoran dan industri sukan, tiga sektor peningkatan dicadangkan pembinaannya meliputi ‘Enhance Zon’ di One City, Subang; ‘Enhance Station’ di Cyberjaya dan ‘Enhance Automative City’ di Gurun, Kedah.




Berkaitan itu, menurut Joe Lim, yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan pemotoran di China sehingga bergelar ‘Bapa Motorsports’, ketiga-tiga sektor ‘enhance’ itu akan membantu dalam pembikinan filem ‘The Catcher’.

Katanya, bandar raya bertema automotif berkenaan dijangka  akan ditempatkan di tanah seluas 3,000 ekar dengan kerjasama Invest Kedah Berhad.

“Bandar ini akan menampilkan hotel jenama kenderaan sukan yang terkenal di seluruh dunia, trek perlumbaan & lorong drag Formula 3 / GT / EV (Formula E), perkhidmatan peningkatan & pengubahsuaian kenderaan, Akademi Memandu keselamatan Peed yang Diakreditasi dan Kolej Kejuruteraan Automotif,” Joe Lim membayangkan.

Tambahnya, dengan pembinaan bandar bertemakan automotif itu, ia akan menjadi pusat pelancongan bagi peminat supercar untuk meningkatkan dan menguji kenderaan mereka sambil mengagumi supercar lain yang menakjubkan.

“Selain menjadi pusat pelancongan, ia juga berfungsi sebagai lokasi penggambaran bagi pelanggan tempatan atau  anttarabangsa lainnya yang berminat mengadakan penggambaran di Kedah, terutama yang ada hubungan francais dengan ‘The Catcher”," ujar Joe Lim.

'The Catcher' turut membayangkan bakal bekerjasama dengan FINAS serta Tourism Malaysia mahu pun mana-mana pihak lain yang berminat.

“Dan selain tujuan untuk meningkatkan industri pelancongan di Malaysia setelah dilanda parah selama berdepan wabak COVID-19, kami harap filem ini mampu menghidupkan kembali ekonomi negara di samping menggalakkan anak-anak muda menceburi sukan pemotoran secara sihat di platform yang betul,” akhiri Ong Peng Chu. - KitaReporters


Dato Nancy Foo (kanan) dan Dato Wendy Wong turut hadir memberikan sokongan kepada Ong Peng Chu di One CIty, Subang.

8
12
0
12
0

Copy Link: