PELAKON Izreen Asminda, 34, tidak menang tangan dengan permintaan hangat bisnes apam yang mampu mencecah jualan RM1,000 setiap hari apabila mula menjualkan pelbagai jenis apam hasil air tangannya sendiri sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa bulan Mac 2020 lalu. - KitaReporters

Foto IG @izreen.azminda


Lagi cerita-cerita berkaitan berniaga:

https://kitareporters.com/search?search=berniaga


“Alhamdullilah, setiap hari ada sahaja tempahan yang diterima sehingga memaksa saya tutup tempahan apabila sudah mencapai kuota harian sejumlah 300 hingga 400 apam,” ujar isteri kepada pemuzik Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude ini ketika ditemui dalam majlis pelancaran produk penjagaan kulit Ali Zahraa “Madeena” dan lagu ‘Kembara Nabawi’ Pelita Lusoh di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur pada Rabu, 29 Julai 2020 lalu.

Izreen Azminda Aznam, merupakan salah seorang daripada tetamu dalam kalangan selebriti yang dijemput memeriahkan majlis tersebut bersama rakan artis lain antaranya Kuza, Noniswara, Badrul Muhayat dan Aina Abdul.

Bercerita lanjut, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013 memberitahu, kesibukannya menguruskan perniagaan kuih apam ‘Sugar Butter Milk’ tidak pula bermakna beliau akan menutup pintu hatinya terhadap seni lakonan.

Ini dia pelbagai jenis apam buatan Izreen. - Kredit foto IG @sugarbuttermilk.kl

Katanya, walau pun masih terkait dengan kontroversi, beliau tetap mendapat tawaran berlakon, namun terpaksa menolak beberapa tawaran yang berkehendakkan dia berada panjang di lokasi penggambaran.

“Saya seronok dengan apa yang saya lakukan sekarang kerana walau pun sibuk tetapi tetap berada di rumah bersama anak.

"Berlainan jika shooting di luar, ia akan memakan masa panjang dan agak sukar apabila tiada siapa yang nak menjaga anak,” jelas Izreen yang kini nampak lebih bahagia memenuhi masanya dengan bisnes apam.

Ditanya kenapa memilih untuk menjual apam, jawab Izreen, "sebab itu kepakaran saya dan apabila ramai kata sedap, terfikir kenapa tidak jual sahaja dan ternyata langkah memulakan bisnes jualan apam ketika PKP lalu membuahkan hasil."


Menjengah ke laman sosial Instagramnya, Izreen sering mempromosikan apam-apamnya malah membuka satu lagi laman Instagram khusus untuk jualan apam atas nama @sugarbuttermilk.kl yang kini mempunyai 5,937 pengikut berbanding laman peribadinya sendiri yang pengikutnya sudah berjumlah 876,000 orang.

Posting terbaharu memperlihatkan Izreen memaklumkan tempahan apam-apamnya telah tutup sehingga selepas Hari Raya Haji di mana beliau akan membuka semula tempahan bahkan akan memperluaskan pasaran kepada warga Shah Alam diikuti Putrajaya dan juga Klang.



Mengakui hidupnya kini semakin aman selepas dihujani pelbagai komen negatif daripada netizen sebagai perampas suami orang dan pelbagai lagi sejak tiga tahun lalu, Izreen bersyukur masih disayangi peminatnya, waima jualan apamnya tidak terjejas tetapi semakin laris.

Pun begitu, terbaharu, gara-gara laporan sebuah portal hiburan yng menulis Izreen dilihat bersama Ude berada di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur minggu lalu, timbul spekulasi bahawa rumah tangga mereka dilanda badai

Sekali lagi beliau menerima komen negatif daripada 'haters'nya!!


Susulan itu, Izreen menjelaskan sekali lagi beliau ke sana atas urusan membayar denda yang dikenakan mahkamah disebabkan berpoligami tanpa kebenaran.

"Kami ke mahkamah hanya untuk membayar denda," ujarnya sambil berharap orang ramai jangan mudah melabelkan pemergian seseorang individu ke mahkamah adalah untuk kes perceraian semata.

Menurutnya, mahkamah syariah bukan sahaja tempat untuk menguruskan soal perceraian tetapi banyak hal lain seperti harta dan sebagainya.


"Jadi blogger yang menulis tu lain kali jangan jadi blogger bebal, main tulis sahaja tanpa selidik terlebih dahulu. 

"Mereka tidak tahu ke etika kewartawanan bagaimana? Sebab itu blogger kena belajar," Izreen membidas penulis ceritanya itu yang disiarkan sebuah portal hiburan.

Izreen dan Ude berkahwin pada 8 Ogos 2017 secara tertutup di mana ketika tu Ude masih bergelar suami kepada Intan Liana Salleh dan  ayah kepada dua orang cahaya mata, Arish Muqri, 5, dan Ariq Muqri, 3, yang kemudian diceraikan pada Mac 2018.

Bersama Ude, Izreen dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim, 1,  manakala hasil perkahwinan terdahulunya, beliau turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Muhammad Adrian Umar, 7. - KitaReporters


8
1
0
0
1

Copy Link: