Pelan kedua bermula! Dari Sofaz ke Sofazr! Kini SecondPlan! Hidupkan nostalgia suasana Berhari Raya!
Published byDalam suasana Syawal yang masih diraikan, alunan lagu raya terus berkumandang di mana-mana, menceriakan hari-hari terakhir perayaan.
Selain lagu-lagu malar segar, pendengar jangan pula lupa menambah satu lagi pilihan menarik dalam senarai, iaitu “Berhari Raya” daripada kumpulan SecondPlan yang tampil dengan sentuhan nostalgia tersendiri.
Kemunculan lagu ini turut menandakan fasa baharu perjalanan seni kumpulan tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Sofazr.
Penjenamaan semula kepada SecondPlan dilakukan selepas perubahan dalam susunan anggota, yang kini hanya dianggotai empat ahli iaitu Zimi selaku gitaris, Amir sebagai vokalis, One di posisi dram dan Fairouz sebagai pemain bass.
Untuk rekod, Sofaz merupakan kumpulan rock alternatif yang ditubuhkan pada 2002 daripada nama asalnya TOYS (The Outstanding Youngsters).Nama asal Sofaz ke Sofazr diambil sempena nama anggota kumpulannya iaitu gitaris Shah atau Wan Shahbaharin Niktah (S); pemain dram One atau Wan Shahbaharom Niktah (O); pemain bes, Fairouz atau Ahmad Fairouz Mohamad (F); vokalis Amir Mahiyidin (A) dan gitaris Zimi Zahari (Z) manakala huruf R ditambah dengan penampilan ahli baharunya iaitu Rodie Jamun sebagai pemain keyboard pada tahun 2006.
Pada tahun 2010 ketika perasmian album keempat mereka, Sofaz bertukar ejaan menjadi Sofazr.

Kini, perubahan nama itu bukan sekadar penukaran identiti, malah cukup signifikan kerana “SecondPlan” membawa maksud pelan kedua, melambangkan fasa baharu perjalanan mereka selepas meninggalkan nama lama dengan hanya empat anggota dalam kumpulan.
Walaupun hadir dengan nama baharu, kumpulan ini masih mengekalkan kekuatan mereka dalam menghasilkan lagu bertemakan Aidilfitri.
“Berhari Raya” merupakan lagu raya ketiga yang pernah dihasilkan selepas “Inilah Harinya” dan “Ingatan di Hari Raya”, sekali gus membuktikan konsistensi mereka dalam genre tersebut.
Dari segi konsep, lagu ini membawa elemen light rock dengan suntikan gaya muzik era 60-an, memberikan nuansa klasik yang segar dan berbeza.
“Lagu ini mengekalkan semangat Syawal yang ceria dan gembira dengan suntikan konsep light rock era 60-an bagi memberikan sentuhan nostalgia kepada pendengar,” ujar Zimi.

Pendekatan itu dipilih bagi mengekalkan kemeriahan Syawal sambil menghadirkan elemen nostalgia yang dekat dengan jiwa pendengar.
Menurut Zimi, menariknya, proses pembikinan lagu ini berlangsung dengan cukup pantas apabila keseluruhan rakaman berjaya disiapkan dalam tempoh sekitar dua hingga tiga hari sahaja. Ia sekali gus memperlihatkan keserasian serta pengalaman yang dimiliki oleh setiap anggota kumpulan.
Pada masa sama, Zimi menjelaskan bahawa “Berhari Raya” dihasilkan sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang sentiasa menyokong mereka sejak dahulu.
"Kami menghasilkan lagu ini atas permintaan peminat, jadi kami hadiahkan “Berhari Raya“ buat mereka," ujar Zimi.
Mengintai perkembangan seterusnya, SecondPlan memberi bayangan bahawa mereka akan terus aktif selepas musim perayaan dengan perancangan untuk melancarkan single terbaharu dalam masa terdekat. - KitaReporters

