Selepas hampir tiga dekad sepi tanpa sebarang rakaman lagu baharu, penyanyi dangdut yang pernah mencipta fenomena pada era 1990-an, Amelina, akhirnya kembali dengan sebuah single terbaharu yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.



Biar pun lama tidak tampil dengan buah tangan baharu, Amelina masih boleh bertahan dalam industri muzik tanah air atas sokongan peminat setianya.


Kembalinya figura yang pernah digelar antara “Ratu Dangdut” tanah air ini bukan sekadar berita biasa, sebaliknya membawa makna besar kepada peminat yang setia menunggu sejak sekian lama.

Dalam industri yang sentiasa bergerak pantas dan mudah melupakan nama-nama lama, kehadiran semula Amelina dengan karya terbaharu boleh dianggap sebagai satu momen yang cukup signifikan.

Lebih menarik, penyanyi itu memilih untuk menyimpan rahsia apabila enggan mendedahkan judul lagu berkenaan buat masa ini, seolah-olah memberi ruang kepada peminat untuk terus tertanya-tanya.

Apa yang pasti, single tersebut dijangka menemui peminat sekitar penghujung April atau awal Mei 2026.

Persembahan bertenaga Amelina ketika diundang memeriahkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri PKJPM di SJKKC Chaah, Johor pada 18 April 2026 lalu. 


Tidak sekadar kembali sebagai penyanyi, Amelina tampil dengan sisi yang lebih matang apabila menghasilkan sendiri melodi dan lirik lagu berkenaan, selain turut bertindak sebagai penerbit. 

Perkembangan ini memperlihat evolusi seorang anak seni yang bukan sahaja bergantung kepada vokal, tetapi turut terlibat secara langsung dalam proses kreatif di belakang tabir.

Menurutnya, karya terbaharu itu diharap mampu menjadi penawar kepada kerinduan peminat yang tidak pernah berhenti menyokongnya.

“Saya harap dengan adanya buah tangan terbaharu ini ia dapat mengubat sedikit kerinduan peminat yang sabar menanti hampir tiga dekad tanpa lagu baharu daripada saya,” katanya.

Dalam nada penuh penghargaan, Amelina turut mengakui bahawa sokongan berterusan daripada peminat menjadi kekuatan utama untuknya terus bertahan dalam industri.

“Dalam masa sama, saya amat berterima kasih kepada peminat yang masih menerima lagu-lagu lama saya  yang telah merentasi era kaset, cakera padat (CD) sehingga kini era platform digital,” ujarnya lagi.


Amelina menunjukan kematangan beritraksi dengan penonton yang menjadi antara faktor dia dirasakan dekat dihati peminat.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat persembahan sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Datuk Tan Lek Khang (yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (\atau PKJPM) di Dewan SJKC Cina Cha’ah, Johor pada 18 April 2026 lalu.

Mengimbas perjalanan seninya, kali terakhir Amelina tampil dengan album penuh adalah menerusi Cinta Oh Cinta yang dirakam pada tahun 1997.

Sejak itu, pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin tidak lagi menghasilkan album baharu, sekali gus menjadikan tempoh tersebut sebagai satu penantian panjang dalam sejarah kerjayanya.

Namun, ketiadaan karya baharu tidak bermakna namanya tenggelam begitu sahaja, sebaliknya lagu-lagu nyanyiannya terus hidup dan kekal menjadi pilihan. Malah turut menarik minat generasi baharu yang masih menghayati keunikan irama dangdut.

Amelina sendiri melahirkan rasa syukur apabila karya-karya lamanya masih mendapat tempat di hati pendengar walaupun sebahagiannya telah berusia lebih tiga dekad.

Kehadiran Amelina yang bijak melayani peminat  ketika membuat persembahan ternyata mampu memeriahkan lagi majlis tersebut.


Sebelum ini, beliau pernah mengejutkan industri hiburan apabila menghilang dari radar ketika berada di puncak populariti pada penghujung 1990-an.

Kemunculannya semula sekitar tahun 2011 membuka lembaran baharu, namun beliau lebih selesa memenuhi undangan persembahan dengan membawakan lagu-lagu lama tanpa menghasilkan karya baharu.

“Alhamdulillah, kemunculan semula saya dalam arena muzik bukan satu kesilapan kerana saya masih diterima dan terus mendapat undangan persembahan walaupun tanpa lagu baharu,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa landskap industri muzik hari ini jauh berbeza berbanding era kaset, sekali gus menuntut disiplin serta kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa.

Dalam mengulas rahsia kekal relevan lebih empat dekad, Amelina percaya bahawa konsistensi dalam genre dangdut serta kekuatan irama tersebut yang mempunyai pengikut tersendiri menjadi antara faktor utama yang memastikan namanya terus bertahan. - KitaReporters

Hampir empat dekad bergelar  anak seni dal;am industri muzik tanah air, Amelina antara beberapa penyanyi yang masih bertahan dan diterima oleh peminat.

16
12
0
11
0

Copy Link: