Selepas mencetuskan fenomena menerusi rakaman semula lagu 'Buat Insan Tersayang’, nyanyian asal Eddie Hamid dan Ashira, yang meraih lebih satu juta tontonan, pasangan duet serasi Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa kini kembali mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta muzik tanah air menerusi single terbaharu, 'Menduakan Cinta’.


 



Naskhah kali ini menyaksikan anjakan besar buat kedua-dua penyanyi tersebut yang memilih untuk meneroka nuansa balada lebih mendalam dan puitis. 

Berbeza dengan kemunculan mereka sebelum ini, 'Menduakan Cinta' menonjolkan sisi kematangan vokal yang lebih teknikal, sekali gus menterjemah rintihan jiwa yang terpendam ke dalam melodi hasil sentuhan komposer tersohor, Eddie Hamid.

Ahmad Syafiq menyifatkan kolaborasi terbaharu ini sebagai satu ujian keserasian buat mereka memandangkan ia membawa genre yang lebih berat. 

"Kali ini, kami menguji keserasian dalam genre yang berbeza. Ia bukan sekadar lagu, tetapi satu rintihan jiwa. Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memastikan naskhah ini benar-benar sampai ke hati pendengar," ujar Ahmad Syafiq.





Wawa Shazwa pula menjelaskan, tema lagu ini berkisar kepada dilema perasaan bersalah apabila terpaksa ‘menduakan cinta’ yang pernah dibina, walaupun kasih sayang masih utuh. 

Ia bukan sekadar bicara tentang perpisahan tetapi tentang realiti pahit di mana cinta lama tidak lagi dapat diselamatkan kerana ketentuan takdir. 

Wawa menjelaskan bahawa lagu ini menyentuh tentang rasa bersalah apabila terpaksa melepaskan cinta yang masih ada demi kebaikan semua pihak, sebuah realiti pahit yang sering dihadapi dalam perhubungan manusia.

"Walaupun perasaan sayang itu masih kuat, pilihan untuk berpisah terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak," tambah Wawa Shazwa yang tetap memberikan komitmen vokal terbaik meskipun sedang hamil lima bulan ketika proses rakaman dijalankan.

Sehubungan itu, demi mendapatkan hasil yang sempurna, proses rakaman terpaksa dilakukan sebanyak dua kali bagi memastikan setiap bait lirik yang dihasilkan secara kolaboratif oleh Eddie Hamid, Barr Hadif, Aiman Zaidi, Hakim Hakimi, dan Jaju ini membawa emosi yang dikehendaki.



Lagu 'Menduakan Cinta' kini boleh menjadi halwa telinga pendengar apabila menjadi lagu OST drama 'Bayangan Lelaki Sempurna' lakonan pasangan suami isteri, Adam Lee dan Sweet Qismina.


Lagu 'Menduakan Cinta' kini semakin mendapat perhatian peminat drama tempatan apabila dipilih sebagai lagu tema (OST) bagi siri terbaru slot Akasia TV3, 'Bayangan Lelaki Sempurnadi TV3,  jam 7 malam.

Drama 28 episod yang membariskan pelakon popular seperti Adam Lee, Sweet Qismina, dan Nadia Brian itu ternyata menjadi platform terbaik bagi memperkenal lagi kehebatan vokal pasangan duet ini pada peringkat yang lebih meluas. - KitaReporters

9
10
0
14
0

Copy Link: