Video| Golden Voices Ladies kembali! Peminat puji penampilan terkini Mazuin Hamzah! Terubat rindu!
Published byNama Mazuin Hamzah bukan asing dalam industri hiburan tanah air sekitar era 1980-an.
Memiliki wajah manis dan suara lunak yang memikat, Mazuin pernah mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat muzik tempatan sebelum perlahan-lahan menyepi daripada dunia nyanyian komersial.
Sejak itu, kemunculannya amat jarang dipertonton kepada umum, menjadikan setiap detik yang menampilkan dirinya sebagai sesuatu yang cukup berharga buat peminat setia.
Terbaharu (April 2026), satu perkongsian video oleh penyampai radio otai Singapura, Freda Hassan dari stesen Warna 942 Mediacorp, telah mengubat kerinduan ramai apabila menampilkan tiga figura hebat, Azlina Aziz, Liza Aziz dan Mazuin Hamzah, dalam satu rakaman khas sempena Ramadan 2026 lalu.
Menurut Freda, video tersebut dirakam sebagai tanda
penghargaan dan sokongan buat dirinya sepanjang bertugas di radio, selain
sebagai hadiah istimewa kepada peminat yang merindui penyanyi-penyanyi legenda
ini.
“Terima kasih dan kasih sayang buat kak Azlina Aziz, kak Liza Aziz dan kak Mazuin Hamzah kerana merakamkan ucapan khas ini. Dengan izin mereka, saya kongsikan dalam media sosial radio dan ia meraih lebih 50,000 tontonan dalam masa seminggu ketika Ramadan,” kongsinya.

Perkongsian itu nyata menyentuh hati peminat. Video
tersebut mengubat hati peminat yang rata-rata meluahkan rasa rindu terhadap era
kegemilangan penyanyi-penyanyi berkenaan.
Antara paling mencuri perhatian tentunya kelibat
Mazuin Hamzah, yang disifatkan masih kekal anggun dan berseri meskipun sudah
lama tidak muncul di kaca televisyen atau pentas hiburan.
“Wah Mazuin”, manakala seorang lagi menulis, “Lama tak nampak Mazuin Hamzah”, menggambarkan betapa lama mereka menantikan kemunculan penyanyi tersebut.

Tidak kurang juga yang mengimbau kenangan lama.
“Berpuluh tahun tak lihat Mazuin kali terakhir tahun 80-an. Allahuakhbar, nampak sihat saja,” tulis salah seorang netizen, seolah-olah membawa pembaca kembali ke zaman kegemilangan muzik klasik tempatan.
Seorang lagi netizen turut mengakui, minatnya
terhadap Mazuin sudah bermula sejak kecil. “Dari kecil memang minat Mazuin ni, lawa
sangat dan manis,” ungkapnya.
Pada masa sama, kemunculan Liza Aziz yang tampil bertudung turut menerima pujian ramai.
“Manisnya Liza Aziz bertudung, Alhamdulillah,” tulis seorang netizen, memuji penampilan sopan penyanyi tersebut.

Malah, ada juga yang terpesona dengan kelembutan tutur kata ketiga-tiga penyanyi berkenaan.
“Hai kakak-kakak semua, bercakap pun merdu,” komen netizen tersebut, disusuli nada bersahaja netizen lain yang berkata, “Lembutnya mereka ni, beza betul dengan saya yang kasar,” sambil disertakan emoji ketawa.
Selain itu, ada juga yang mengaitkan wajah Mazuin dengan selebriti lain. “Cantik Mazuin. Muka dan gaya iras sepupu dia,” tulis seorang pengguna, yang kemudian disahkan oleh Freda sendiri sebagai mempunyai persamaan dengan penyanyi Amy Mastura.

Kehadiran mereka dalam satu rakaman ringkas sahaja
sudah cukup untuk mencetuskan gelombang nostalgia, apatah lagi jika diberi
peluang untuk kembali ke pentas secara rasmi.
Video yang dikongsi oleh Freda Hassan ini bukan sekadar rakaman biasa, tetapi satu momen berharga yang menyatukan kenangan lama dengan realiti masa kini mengingatkan kita bahawa legenda, walau lama menyepi, tetap hidup dalam ingatan peminat. - KitaReporters
