BARU-BARU ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menegaskan, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diberi kuasa penuh untuk mengambil tindakan terhadap transgender. Kenyataan Dr Zulkifli itu menyusul selepas pelbagai reaksi dalam media sosial yang mengecam tindakan seorang usahawan kosmetik yang terpalit dengan isu transgender dan kontroversi termasuk membuat penampilan seksi sejak kebelakangan ini. : KitaReporters

Aktivis transgender, Nisha Ayub.


Namun, kenyataan Dr Zulkifli mendapat respons daripada aktivis transgender, Nisha Ayub.

Menerusi Facebooknya, dia menyifatkan kenyataan Menteri Agama itu berisiko mencetuskan lebih ancaman dan persekitaran tidak selamat buat golongan berkenaan.

"Kenyataan seumpama itu boleh mencetuskan bahaya dan ketakutan terhadap (golongan) transgender dan mewujudkan persekitaran tidak selamat kepada komuniti ini.

"Apa yang dimaksudkan menteri dengan 'beri lesen penuh kepada semua penguat kuasa Jawi'? Mengapa sasarkan kami sebagai minoriti?" tulisnya.


Berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh aktivis tersebut, seorang penceramah bebas dan juga mualaf, Firdaus Wong Wai Hung tampil membela kenyataan Dr Zulkifli.

Menurut Firdaus menerusi Instagramnya, tindakan aktivis berkenaan yang menyanggah perintah Menteri Agama itu adalah salah.

Tegasnya, tidak salah bergelar aktivis kerana ia digalakkan oleh Islam cuma perlu dilihat berlandaskan apa perjuangan seseorang aktivitis itu.

“Menjadi aktivis adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam. Namun tidak semua aktivis digalakkan malahan ada aktivis yang ditegah dalam Islam!

“Aktivis bermaksud seseorang yang berkempen untuk membuat perubahan politik atau perubahan sosial. 

"Maka daripada definisi ia adalah sesuatu yang bagus andai aktivis itu berkempen untuk sesuatu yang baik dan betul,” tulisnya.


Firdaus juga menyenaraikan beberapa contoh aktivis yang digalakkan dalam Islam.

“Aktivis yang digalakkan dalam Islam seperti aktivis alam sekitar, aktivis kesihatan mental, aktivis keselamatan jalanraya dan sebagainya. 

"Jenis aktivis begini selari dengan ajaran Islam malahan undang-undang negara Malaysia.

“Namun ada jenis aktivis yang ditegah seperti aktivis dadah, aktivis pelacuran, aktivis pedofilia, aktivis industri lucah dan sebagainya,” jelasnya.

Selain itu, Firdaus juga mempersoalkan adakah undang-undang negara perlu memberi persekitaran selamat untuk pelbagai bentuk jenayah termasuk aktiviti songsang.

“Apakah undang-undang negara perlu memberikan persekitaran selamat untuk penculik, perompak atau aktivis songsang? 

"Undang-undang perlu menakutkan mereka yang melanggar undang-undang negara agar merasa tidak selamat melakukan jenayah! 

"Undang-undang perlu melindungi keselamatan majoriti daripada penjenayah. Common sense bukan?

“Kita rakyat Malaysia ada cara Malaysia yang penuh adab ketimuran. Majoriti rakyat belum bersedia menerima abang dipanggil kakak atau kakak dipanggil abang. 

"Dari segi bahasa sudah tidak kena apatah lagi rukun negara yang mementingkan kedaulatan undang undang dan kesopanan dan kesusilaan. Harap maklum,” tegasnya.

Penceramah bebas, Firdaus Wong Wai Hung


Bak kata Dr Zulkifli, penangkapan golongan transgender bukan menumpukan kepada tangkapan semata-mata tetapi mengutamakan tarbiah atau pendidikan.

Tarbiah disifatkan sebagai cara paling berhikmah bagi memastikan kumpulan transgender kembali ke pangkal jalan. - KitaReporters

2
0
3
2
2

Copy Link: