AKTOR kacak yang baharu lima bulan mendirikan rumah tangga pada Ogos 2021 lalu, Remy Ishak sekali lagi dipilih menganggotai barisan 9 juri tetap program pertandingan nyanyian penuh misteri, ‘The Masked Singer Malaysia’ musim kedua (TMSM2).

Program kegemaran ramai yang bakal memulakan siaran pada setiap hari Jumaat, mulai 28 Januari 2022 ini yang disiarkan di saluran Astro Warna HD (107), pukul 9 malam.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan The Masked Singer


Barisan juri dari kiri: Zizan Razak, Remy Isjak, Michael Ang, Pak Nil, Raja Azura, Amy Mastura, Ramona Zamzam dan Angah Raja Lawak. Yang tidak hadir, Ella.


"Pada musim pertama apabila dikehendaki menjadi juri saya rasa gementar tetapi bila dah bersama dengan rakan-rakan lain yang ‘gila-gila’ sikit saya pun dah terikut-ikut. 

"Sebenarnya saya bukan orang macam itu, saya lebih ‘reserved’ sebelum ini,” akui Remy Ishak ketika ditemui pada sidang media program ‘The Masked Singer Malaysia’ (TMSM) di VE Hotel Kuala Lumpur pada Rabu, 12 Januari 2022 lalu.



Menurut pemilik nama penuh Mohammad Zalimel ‘Remy’ Ishak, 40, ini, beliau sendiri tidak menyangka terserlah sisi lain pada dirinya.

“Sejak menyertai program tu saya pun keliru sebab kini saya rasa lebih relaks, lebih ceria dan suka berkongsi pandangan berbanding sebelum ini saya tidaklah kelakar sangat, lebih serius,” tambah Remy disusuli ketawa bersemangat. 

Barisan-barisan juri yang dimaksudkan Remy pada musim pertama dahulu terdiri daripada rakan-rakan artisnya seperti Zizan Razak, Datuk Aznil Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Ella Aminuddin, Ramona Zam Zam, Angah Raja Lawak serta Nabila Huda.

Kesemua mereka sekali lagi tampil pada musim kedua kecuali Nabila Huda yang mana kekosongan kerusi juri itu digantikan dengan penyanyi dan pelakon otai, Amy Mastura.


Amy Mastura, juri baharu yang tidak kurang ceria orangnya dipilih untuk 'The Masked Singer Malaysia' musim ke-2.


“Saya terkejut juga ditawarkan jadi juri tetapi rasa teruja untuk bersama rakan-rakan lain dan saya rasa saya pasti akan ‘enjoy’ dengan program yang penuh ‘fun’ ini,” ujar Amy Mastura memberikan pandangannya.

Menurut pelantun lagu 'Bintang Hati' ini,  sebagai juri baharu beliau pasti akan ikut gerak langkah rakan-rakan lainnya dan berhibur dengan telatah-telatah lucu kesemuanya.

Pastinya kehadiran Amy Mastura yang diketahui seorang yang ceria dan  tidak kurang kelakarnya ketika berbicara mampu menambahkan keriangan TMSM2 yang masih dihoskan oleh pengacara versatil, Datuk AC Mizal.



“The Masked Singer Malaysia” musim kedua bakal menampilkan 14 orang barisan selebriti terkemuka negara, terdiri dari nama-nama hebat yang hadir dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh (influencer) media sosial dan ramai lagi.

Sama seperti musim pertamanya dan mengekalkan format asal program realiti The King of Mask Singer’, kesemua peserta “The Masked Singer Malaysia” musim ini akan memakai kostum menutupi susuk tubuh dan menyembunyikan identiti masing-masing. 

“Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan dipertaruhkan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara musim kedua,” jelas Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh (gambar bawah, tengah).



Untuk musim ini, terdapat 14 kostum menarik dan unik  rekaan pereka fesyen musim pertama Akma Suriati Awang bersama  terkini, Hatta Dolmat yang akan dipakai oleh barisan peserta, meliputi Bujang Senang, Nanas, Mat Penyu, Seladang, Teh Tarik Kaw, Harum Manis, Periuk Kera, Aiskrim Roti, Rambutan, Ratu Semut, Orkid, Si Merak, Burung Hantu dan Pepatung

“Memandangkan program ini banyak disukai kanak-kanak maka kami mencipta kostum yang digemari anak-anak malah kostume Nanas dicetus daripada rekaan seorang peminat cilik yang menghantar lukisannya kepada kami,’ cerita Norzeha.


Dari kiri atas: Nanas, Rambutan, Bujang Senang dan Orkid antara empat daripada 14 kostum yang bakal ditampilkan.


Untuk 10 minggu berturut-turut, 14 selebriti akan membuat persembahan di mana mereka akan menyanyi sambil mengenakan kostum yang akan merahsiakan identiti mereka, bukan sahaja susuk fizikal, malah suara bercakap juga akan diubah bagi mengelirukan pihak juri.



“Memang benar kali ini para peserta lebih bijak mengelirukan kami dengan persembahan yang kadangkala bagus dan kadangkala nyanyi pun ke laut,” sambung Remy sambil memberitahu dua tekaannya kali ini berhasil melalui lima episod yang telah dirakam.

Musim kedua kali ini juga, produksi memperkenalkan anugerah khas untuk juri dengan tekaan tepat yang paling banyak di sebalik topeng. 

Juri yang mendapat markah tertinggi akan diumumkan sebagai pemenang ‘Tekaan Juri Paling Gempak’ musim ini.  



Mampukah Remy mendapat tekaan paling banyak setelah dua kali meneka tepat seperti katanya? Kita tunggu dan lihat nanti! 

Apa pun... program yang diperkenalkan di Korea Selatan pada tahun 2015 itu ternyata berjaya mencetuskan satu gelombang hebat pada peringkat global sehingga ia kemudiannya diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika syarikat. 

Keputusan membawanya ke Malaysia ternyata tepat kerana ‘The Masked Singer Malaysia’ musim pertama berjaya mencetuskan satu fenomena hebat sehingga berjaya diiktiraf sebagai pemenang bagi kategori ‘Best TV Format Adaptation (non-scripted)’ di anugerah Content Asia Awards 2021. - KitaReporters


Pemenang-pemenang The Masked Singer Malaysia musim pertama

12
8
0
13
0

Copy Link: