Video| Eid Mubarak di Bollywood! Cara bintang Hindustan sambut Aidilfitri! Meriah bersama peminat!
Published bySEPERTI umat Islam lain di seluruh dunia, artis Bollywood yang
beragama Islam meraikan ketibaan Hari Raya Aidilfitri, dikenali sebagai Eid
Mubarak, dalam suasana meriah dan gembira.
Ramai artis Bollywood beragama Islam. Antaranya nama besar seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan, Sharmila Tagore (Begum Ayesha Sultana), Farida Jalal, Emran Hashmi, Tabu (Tabassum Fatima Hashmi), Katrina Kaif, Sara Ali Khan, Saif Ali Khan dan Waheeda Rehman, sekadar menyebut beberapa nama.

Tabassum Fatima Hashmi @Tabu.

Katrina Kaif.
Bagaimanakah artis-artis tersebut, terutama artis popular, menyambut Eid? Adakah sama seperti kita di Malaysia meraikan ketibaan hari bahagia, hari kemenangan selepas sebulan berpuasa?
Artis Bollywood meraikan Aidilfitri dengan gabungan tradisi
keagamaan serta kemeriahan bersama keluarga. Walaupun jika ada jadual
penggambaran yang padat, Aidilfitri tetap menjadi waktu penting untuk berehat
dan berkumpul bersama keluarga.
Antara aktiviti yang biasa dilakukan ialah mengadakan majlis berbuka puasa (Iftar) sebelum menjelmanya fajar Syawal. Sasaran ialah golongan kurang berkemampuan.

Shah Rukh Khan berselfie dengan ribuan peminat yang menunggu di luar rumah sempena kedatangan Eid.
Pada era kegemilangan RK Studios milik Raj Kapoor atau di Mehboob Studios dari tahun 50-an hingga 70-an, berbuka puasa diadakan di set penggambaran.
Semangat kekeluargaan terserlah pada waktu berbuka. Seluruh kru, daripada pengarah, pelakon hingga pekerja, duduk bersama di atas lantai menikmati hidangan.
Pengarah legenda, Mehboob Khan (penerbit filem box-office Mother
India) sangat mementingkan tradisi ini di studionya. Beliau pastikan juadah
berbuka puasa tersedia untuk semua orang tanpa mengira agama.
Raj Kapoor, walaupun beragama Hindu, terkenal dengan penganjuran Aidilfitri yang meriah di RK Studios. Majlis ini dianggap acara wajib bagi industri.
Artis veteran seperti Dilip Kumar (Yusuf Khan), Dev Anand dan Nargis sering berkumpul pada majlis ini. Briani dan kebab hidangan utama.

Dari balkoni kediamannya di Galaxy Apartment, Mumbai, Salman Khan menyantuni ribuan peminat yang memenuhi kawasan kediamannya pada sambutan Eid.
Bagi artis masa kini, menjelang Syawal, perkara utama ialah menunaikan solat hari raya dan membuat kerja kebajikan. Pelakon lelaki menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid-masjid utama di Mumbai atau kawasan kediaman mereka.
Aktiviti ini disertai dengan amal kebajikan seperti memberi
sumbangan kepada yang memerlukan agar mereka sama-sama bergembira menyambut
hari raya.
Tradisi balik kampung juga diamalkan oleh artis Bollywood. Ramai memilih balik ke kampung halaman.
Atau jika hanya di rumah, mereka mereka lebih suka menghabiskan masa berkualiti bersama ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarga.
Amir Khan misalnya lebih suka menyambut Eid bersama keluarga dan anak-anak di rumah ibunya di Mumbai. Eid seringkali diraikan dengan penuh tradisi.

Sebahagian daripada ribuan peminat Salman Khan yang membanjiri kawasan kediamannya untuk menatap wajahnya sempena sambutan Eid.
Jika kita ada pemberian duit raya, mereka ada ‘pemberian Eid’ iaitu duit raya atau hadiah kepada ahli keluarga yang lebih muda. Ini merupakan satu tradisi yang diamalkan secara meriah di kalangan keluarga.
Sudah menjadi kebiasaan, khususnya bagi artis ternama, mengadakan sesi ‘sapaan atau lambaian’ kepada peminat. Ia dikenali sebagai ‘The Balki Greeting’.
Bagi bintang besar, tidak lengkap jika tidak menyantuni peminat yang ramai berkumpul di luar kediaman.
Antara contoh nyata ialah di Mannat, kediaman Shah Rukh Khan,
dan Apartment Galaxy tempat tinggal Salman Khan.
Kedua-dua bintang ini akan keluar ke balkoni kediaman untuk
melambai tangan kepada ribuan peminat sambil mengucapkan ‘Eid Mubarak’ kepada mereka yang menunggu sejak awal pagi.
Jika lambaian sekarang hanya di balkoni rumah artis, waktu dahulu lebih mesra bersemuka. Pertemuan secara fizikal di studio berlangsung sepanjang hari. Pendek kata hari terbuka peminat berjumpa artis.
Studio bukan sekadar tempat kerja tetapi tempat Aidilfitri diraikan penuh meriah.

Aktor Amir Khan dalam pakaian tradisional ketika meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Mumbai.
Aidilfitri masa kini juga menjadi pentas artis menampilkan busana tradisional India yang eksklusif. Bagi lelaki ialah kurta pajama yang ringkas atau ‘Sherwani’ yang lebih formal dan sarat dengan sulaman.
Bagi pelakon wanita pula, mereka sering tampil anggun dengan
‘Sharara’, ‘Gharara’ atau ‘Anarkali’ yang berwarna warni, lengkap dengan
perhiasan jhumka (subang) yang besar.
Para pelakon Bollywwod juga mengamalkan tradisi rumah terbuka dan jamuan makan. Ini dianggap satu ciri khas sambutan di Mumbai.
Artis-artis ternama sering mengundang rakan taulan, termasuk rakan industri yang bukan beragama Islam, untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri sambil menikmati pelbagai hidangan tradisional disediakan.
Kehadiran rakan industri ini menjadi simbol perpaduan di mana pelakon daripada pelbagai latar agama berkumpul untuk bergembira dan meraikan Aidilfitri bersama.
Apa pula sajian untuk dinikmati? Juadah utama ialah briani, kebab dan pencuci mulut khas iaitu ‘Sheer Khurma’ (puding susu dan kurma). Ini merupakan menu wajib dihidangkan kepada tetamu.

Saif Ali Khan (kanan), isterinya Kareena Kapoor (paling kiri) serta ahli keluarga berpakaian cantik menyambut ketibaan Eid.
Jika sudah pelakon, memang tidak akan lari daripada filem. Kerana
itu di Bollywood, Aidilfitri juga sinonim dengan pelancaran tayangan filem
besar.
Bagi Salman Khan misalnya, sudah menjadi tradisi bertahun-tahun
untuk menjadualkan tayangan filem ‘blockbuster’ pada hujung minggu raya
sebagai hadiah buat peminat. Filem-filem ini sering mencatatkan kutipan pecah panggung. Rezeki hari raya agaknya! - KitaReporters
