Video| Sufi Rashid pinta Jangan Lepas Tanganku! Single Terbaharu! Kisah hidup komposer Ammar Habir!

Published by
KitaReporters


KALI terakhir beliau merakamkan single, ‘Yang Terakhir’ kira-kira dua tahun lalu. Tetapi itu bukan bermakna yang terakhir bagi penyanyi kelahiran Singapura, Muhammad Sufi Rashid.

Juara  Akademi Fantasia 2015 ini kembali dengan sebuah karya berjudul ‘Jangan Lepas Tanganku’ ciptaan komposer berpengalaman Ammar Habir, bersama kugiran Faris Fuad dan Jad Lobo.

Terkini, penyanyi lelaki bersuara lantang ini mewarnai semula industri muzik tanah air apabila lagu sentimentalnya itu menjadi lagu runut untuk drama terbitan TV3 slot Akasia ‘Terima Kasih Cinta’ lakonan Anna Jobling, Amar Baharin dan Rita Nadira.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Sufi Rashid


Sufi Rashid, 31, menzahirkan kesyukuran selepas setahun tanpa ‘buah tangan’ baharu apabila diberikan kepercayaan dan kesempatan untuk menyanyikan lagu tema OST khususnya dari Alternate Records dan Global Keynote.

“Kolaborasi dengan Ammar sangat mudah kerana kami berkongsi kreativiti serta idea untuk membuatkan lagu itu lebih baik. Saya berharap peminat dapat menerima lagu OST yang dinyanyikan khas untuk anda semua dan Inshaallah saya berharap lagu ini akan menjadi ‘batu loncatan’ untuk membuat kemunculan semula pada tahun hadapan,” kata Pemenang Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 ini.



Sementara itu, menariknya cerita di sebalik lagu tersebut mempunyai makna tersendiri kepada komposernya, bekas pemain gitar Drama Band, Ammar Habir.

Menurut Ammar, lagu yang dicipta bersifat ‘mix feelings’ dan didedikasikan sepenuhnya kepada isteri dan anak perempuan kesayangannya. 

“Idea lagu ini lahir pada 2019 ketika saya sedang dalam kesusahan. Ketika itu, isteri saya sarat mengandung dan tidak bekerja.

"Demi keluarga tersayang terutamanya anak saya yang bakal dilahirkan, saya sanggup ‘busking’ di tepi jalan dan bekerja di hotel setiap hari sehingga lewat malam,” kenang Ammar sambil bersyukur segala rintangan ketika itu dihadapi dengan penuh kecekalan untuk dua insan tersayangnya.

Sambung Ammar, mereka adalah segalanya untuk dirinya dan berharap lagu ‘Jangan Lepas Tanganku’ diterima oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira usia. 

Terbaharu, Ammar baharu sahaja dikurniakan cahaya mata keduanya pada 1 November 2022 lalu, Dahlia Aluna, hasil perkongsian hidupnya dengan penyanyi Sheila Abdul, Sebelum ini beliau turut mempunyai seorang anak gadis, Chempaka Alaya, 3 tahun.


Ammar bersama Sheila Abdul dan anak keduanya, Dahlia Aluna. - Kredit foto: hmetro.com.my.


Lagu ‘Jangan Lepas Tanganku’ kini boleh didengari dalam semua pelantar digital dan muzik video dapat ditonton dalam saluran YouTube Alternate Records & Talents. 

Daripada laporan dalam laman instragramnya, Sufi kini sedang dalam percutian ‘berbulan madu’ selepas tiga tahun berkahwin dengan usahawan berasal Negeri Sembilan, Nurulain Md Yusof pada 21 September 2019. - KitaReporters. 


10
13
0
21
0

Copy Link: