Dalam kalangan media, pemilik nama Raja Azman Raja Ayub, 45, ini digelar selebriti media apabila banyak menerima undangan sebagai pengacara, pelakon dan penghibur serba boleh majlis bahkan terpilih sebagai salah seorang juri dalam program realiti popular ‘All Together Now Malaysia’.

Lebih dikenali dengan nama pentasnya, Kelly Azman, beliau kini melangkah setapak lagi dalam memperkembangkan cintanya kepada seni hiburan untuk digelar pula sebagai penyanyi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengacara-pengacara


Mempertaruhkan single lagu ‘Dustakan Cinta’ di bawah label MVM Music, Kelly Azman terus merancakkan lagi persada industri muzik tanah air. 

Menariknya melalui lagu tersebut ia mempunyai intipatinya tersendiri. 

“Lagu ini ada kisahnya tersendiri. Lazimnya, kita sebagai manusia biasa sering ditinggalkan dan ditipu oleh pihak tertentu tanpa mengirai jantina. 

"Cinta itu pula suka untuk saya tafsirkan sebagai simbolik kasih sayang di antara dua individu. Jadi lagu ini boleh diibaratkan seperti kasih sayang yang telah didustakan” kata Kelly ketika ditemui pada majlis pelancaran ‘Dustakan Cinta’ di Grand Baraka Hotel Ampang baru-baru ini.



Pendek kata, lagu tersebut mengisahkan tentang seorang individu yang sering ditipu dan ditinggalkan keseorangan.

Mungkinkah ia daripada pengalamannya tersendiri atau pendengar juga pernah mengalami situasi sedemikian?

Kelly sekadar senyum seribu bahasa tanpa memberikan jawapan tepat pada persoalan tersebut namun yang pasti daripada riak wajahnya barangkali ada secebis ‘rahsia’ yang tidak mahu dikongsikan kepada umum secara terang-terangan. Khabarnya, dia putus cinta dengan seorang pramugari gitu..

Pun begitu tambah Kelly, dia akui berasa teruja untuk berkongsi karya terbaharunya itu yang merupakan ciptaannya sendiri bersama komposer terkenal, Mohariz Yaakup manakala lirik juga ditulis oleh Kelly bersama NJ/KR. 



“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat kongsikan buah tangan terbaharu ini kepada mereka yang mengikuti perkembangan saya,” jelas Kelly sambil meluahkan rasa terujanya dengan penghasilan lagu balada ciptaannya sendiri selain mendapat sentuhan karya daripada karyawan lain berpengalaman.

Lagu yang mula dirakamkan pada Julai 2022 dan siap sepenuhnya pada September 2022 itu turut mempunyai sebuah video muzik yang menceritakan perjalanannya. 

Bercerita mengenai proses rakaman video muzik tersebut yang dirakamkan di Genting Highlands, Kelly memberitahu, banyak cabaran dihadapinya. 

Namun, meskipun mengalami kesukaran pada awal penggambaran berikutan faktor cuaca yang tidak menentu, Kelly bersyukur kerana semuanya telah dipermudahkan dan selesai dalam tempoh yang dirancang. 

“Sebenarnya masa awal penggambaran terdapat beberapa masalah tertentu seperti saya dimaklumkan jalan untuk ke Genting Highland akan ditutup selain cuaca juga yang tidak menentu. 

“Tetapi saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan cuaca sepanjang di sana juga seperti kena dengan emosi lagu ini,” tambah Kelly.



Memberitahukan contoh, katanya, ada beberapa babak tertentu  di mana dia perlu terkena hujan dan secara kebetulan ketika itu memang hujan turun seolah memberikan rahmat padanya.

Harapan Kelly, lagu ini akan terus membawa pengenalan dirinya sebagai seorang penghibur serba boleh. 

Bukan sahaja ingin dikenali sebagai pengacara dan pelakon, Kelly mengharapkan agar lagu julung kalinya ini dapat memberikan peluang untuk membuktikan beliau mampu dikenali sebagai penyanyi sekali gus mewarnai industri seni tanah air. 

Dustakan Cinta merupakan terbitan dan edaran sepenuhnya oleh MVM Production Sdn Bhd malah untuk lagu ini telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital bermula 21 Oktober 2022 yang lalu, manakala video muzik boleh ditonton menerusi YouTube MVM Music mulai 3 November 2022 lepas. - KitaReporters


13
12
0
15
0

Copy Link: