Video| Dari Bae Soba Bae ke Adek Saye, Abe Sore! Pertaruhan baharu Eda Ezrin, Den Manjo, Eddie Hamid!
Published byDi sebalik kejayaan besar yang pernah dikecapi, tekanan untuk mengulangi fenomena sama bukan sesuatu yang mudah.
Namun bagi Eda Ezrin dan Den Manjo, cabaran itu disahut dengan penuh keyakinan apabila mereka kembali bersatu menerusi single terbaharu “Adek Saye Abe Sore”.
Lagu ciptaan Eddie Hamid ini dilihat sebagai kesinambungan kepada kejayaan luar biasa “Cinta Setandan Pisang” atau “Bae Soba Bae” yang pernah mencetuskan fenomena dengan lebih 33 juta tontonan dalam YouTube Kijang Music sejak dilancarkan pada Disember 2023.
Kemunculan semula ini dianggap sebagai detik kebangkitan buat Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 31, selepas beliau sebelum ini terpaksa melalui fasa sukar dan episod hitam dalam kehidupan peribadinya.
Komposer tersohor, Eddie Hamid mendedahkan bahawa lagu ciptaannya bersama Mekiya serta lirik oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha ini sebenarnya telah disiapkan lebih setahun yang lalu, namun terpaksa disimpan rapi demi menantikan kepulangan semula Eda ke bidang nyanyian.
Biarpun menerima banyak permintaan daripada penyanyi lain yang berminat untuk membawakan karya tersebut, Eddie tetap teguh dengan pendiriannya untuk memberikan lagu itu kepada Eda.
"Ini kerana genre dan vokal lagu ini sangat sesuai dibawakan oleh Eda Ezrin memandangkan ia adalah kesinambungan daripada karyanya yang terdahulu," kata Eddie yang berharap lagu “Adek Saye Abe Sore” diterima ramai dan mendapat sambutan baik sebagaimana hits terdahulu.
Kali ini, Eddie tampil dengan pendekatan berbeza apabila menghasilkan karya yang lebih moden dari segi susunan muzik, namun masih mengekalkan elemen dikir barat yang menjadi identiti kuat lagu terdahulu.

Bagi Eda, peluang yang diberikan oleh Eddie untuk beliau kembali bergandingan dengan Den Manjo merupakan saat yang amat dihargai dan memang dinanti-nantikan apatah lagi selepas kejayaan besar yang pernah mereka kecapi bersama.
"Alhamdulillah, syukur sangat kerana Abang Eddie masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menyanyikan lagu ciptaannya.
"Untuk menyanyikan lagu ini, saya tak ada masalah kerana saya sudah pernah berkolaborasi dengan Den sebelum ini, masing-masing tahu tanggungjawab.
"Tempoh rakaman pun tak mengambil masa lama sebab saya dan Den sudah hafal bahagian masing-masing.
"Sesungguhnya, saya gembira dan bersyukur kerana dapat kembali bekerjasama dengan orang yang sama," tambah Eda bersyukur.
Dalam masa sama, penyanyi berusia 31 tahun itu tidak menafikan perasaan berdebar menanti reaksi peminat, terutama apabila lagu baharu ini pasti akan dibandingkan dengan karya terdahulu yang sudah mencipta impak besar
"Bohonglah kalau kata saya tak berdebar sewaktu diberi lagu ini. Saya berdebar sebab tahu mesti orang akan bandingkan dengan lagu sebelum ini.
"Apapun, saya tetap berdoa agar lagu ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dan mampu berada di tangga teratas carta lagu," katanya penuh harapan.
Selepas melalui episod hitam dalam hidupnya, Eda melihat kemunculan “Adek Saye Abe Sore” sebagai satu peluang untuk membuka lembaran baharu dalam karier seninya, selain terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik tempatan.


Sementara itu, Den Manjo atau nama sebenarnya, Mohamad Hafizzudin Md Yusof, 30, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk bergandingan dengan Eda.
Menurutnya, kejayaan lagu terdahulu menjadi pemangkin semangat untuk memberikan yang terbaik dalam karya baharu ini.
"Selepas sambutan hangat yang diberikan terhadap lagu duet saya dengan Eda Ezrin, memang saya tak sabar untuk bekerjasama lagi dengan dia.
"Walaupun terpaksa tunggu lama tapi saya tetap bersyukur kerana dapat kembali berpadu suara dengan Eda. Saya harap lagu ini juga mendapat sambutan hangat seperti mana lagu duet kami sebelum ini," katanya.
Dengan gabungan formula yang pernah berjaya, ditambah dengan pembaharuan dari segi muzik, “Adek Saye Abe Sore” kini hadir sebagai pertaruhan penting yang bakal menentukan sama ada gandingan Eda Ezrin dan Den Manjo mampu sekali lagi mencipta fenomena dalam industri muzik tanah air. - KitaReporters
