Dakwah cara Madani! TV AlHijrah perkenal rancangan Pesan! Dipimpin oleh Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz!

Published by
KitaReporters


Dakwah dan kreativiti merupakan dua elemen penyiaran yang sangat sinonim di TV AlHijrah dalam usaha mengurus dan membangunkan masyarakat Madani yang celik rohani.

Terbaharu, sebuah rancangan kerohanian berjudul Pesan disiarkan di TV AlHijrah untuk memastikan dakwah dalam media massa kekal segar dan relevan. 

Rancangan ini juga adalah inisiatif bagi membantu masyarakat Malaysia khususnya, mengenali Islam dari sudut pandang yang lebih mudah.

Pesan disiarkan pada setiap Jumaat, jam 6.30 petang selama 13 episod siaran. 

Sepanjang 30 minit rancangan ini disiarkan, penonton akan ditemani Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, seorang figura hebat dalam bidang dakwah, yang juga merupakan sosok ilmuwan hebat kelahiran Kelantan.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, TV AlHijrah amat komited dalam memastikan cabang ilmu akidah, fiqah, ibadah dan akhlak disebarkan secara lebih meluas. 

“Dalam meniti arus kemodenan, pendekatan dakwah perlulah seiring dengan persekitaran supaya penyampaian dakwah sentiasa dilaksanakan mengikut dan kehendak al-Quran dan al-Hadis.

“Oleh yang demikian, rancangan ini dilihat mampu menjadi inisiatif untuk membangunkan kesedaran ummah supaya terus mematuhi segala syariat yang diketengahkan oleh Islam. 

“Pada masa yang sama, Pesan memberi inspirasi kepada kita untuk menjadi insan yang lebih baik, yang sentiasa menyampaikan ilmu, dakwah & pesanan dalam menghadapi cabaran semasa dan menjalani kehidupan seharian,” jelas Namanzee.

Menurut beliau lagi, rancangan yang mengguna pakai konsep dakwah bil hikmah ini akan mengupas topik-topik menarik serta menyubur fikrah Islam seperti Hebatnya Dirimu dengan Kalimah Lailahaillallah, Rezeki Ketentuan Allah, Uruskannya dengan Usaha, Ikhtiar, Doa, Tawakal, Mulakan Dakwah dengan Tumpuan kepada Akidah, Mengingati Mati Meningkatkan Motivasi untuk Berbuat Baik, Indahnya Islam untuk Umat Manusia, Letakkan Dunia di Tangan dan Bukan di Hatimu, Tanamkan Sabar dalam Memperbaiki Diri, Islam Itu Mudah, Elakkan Dakwah Menjadikannya Sukar dan banyak lagi tajuk menarik lain.



“Pada akhir setiap episod rancangan, kita mahu penonton tidak menjauhi agama Islam malah bersama-sama menyebarkan kebaikan buat manusia dan menjauhkan kemudaratan baik dalam urusan agama mahupun keduniaan.

“Mudah-mudahan Pesan menjadi salah satu program dakwah pilihan nombor satu penonton Malaysia dan menjadi asbab untuk kita semua memperbaharui niat untuk menjadi seseorang yang mulia di sisi Allah dan Rasul-Nya,” akhiri Namanzee. - KitaReporters/Kenyataan Media

7
15
0
16
0

Copy Link: