Nampak hantu joget! Tiz Zaqyah kongsi pengalaman seram! Rupa sukar digambarkan! Macam mop kotor!
Published byMakhluk misteri yang digelar ‘hantu joget’ atau jembalang joget menjadi bualan hangat netizen selepas pelakon terkenal, Tiz Zaqyah berkongsi pengalaman peribadinya berdepan entiti berkenaan di Miri, Sarawak pada tahun 2023.
Dalam kepercayaan masyarakat tempatan, ‘hantu joget’ sering digambarkan sebagai makhluk halus yang gemar bergerak atau menari secara berirama dalam keadaan ganjil dan menyeramkan.
Ada yang mengaitkannya dengan jelmaan jin atau jembalang yang muncul dalam bentuk tidak sempurna, kadangkala seperti bayang-bayang, kain buruk, atau susuk tubuh yang panjang dan tidak normal.
Menurut Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, pengalaman itu berlaku ketika beliau berada di Miri, Sarawak, sekitar tahun 2023.

Katanya, makhluk yang dilihatnya mempunyai rupa yang
sukar digambarkan dengan jelas, namun cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja
berasa tidak selesa.
“Jembalang joget. Tinggi. Panjang. Kuat berjoget.
Bukan bulu, tapi macam kain, macam mop kotor. Gumpalan kain buruk warna coklat
dan kelabu gelap,” kongsi Tiz dalam satu hantaran media sosial.
Tambahnya lagi, bentuk sebenar makhluk itu lebih tebal dan besar berbanding gambaran yang cuba dijelaskan. Lebih menyeramkan, entiti tersebut dikatakan mempunyai pergerakan yang sangat aktif dan agresif ketika ‘menari’.

Perkongsian itu mula menarik perhatian apabila
seorang netizen cuba membandingkan makhluk tersebut dengan tarian suku kaum
Afrika yang berpusing-pusing.
Namun, Tiz menegaskan walaupun terdapat sedikit
persamaan daripada segi gerakan, hakikat sebenar yang dilihatnya jauh lebih
menakutkan.
“Ya, suka joget macam itu, tapi joget macam beruk, kuat sampai ke tulang,” jelasnya.

Dalam satu lagi respons, Tiz turut mengakui visual
yang dikongsikan oleh netizen lain hampir menyerupai apa yang dilihatnya, namun
dengan perbezaan ketara pada bahagian anggota.
“OMG, hampir sama! Tapi tangan dia lagi panjang dan bengkok,” katanya.
Lebih mengejutkan, Tiz mendedahkan bahawa kejadian
itu berlaku ketika dia sedang bersendirian di sebuah bilik urut.
“Kacau masa tertidur kat bilik urut sorang-sorang lama,” katanya ringkas, menggambarkan situasi yang cukup menyeramkan.
Walaupun pengalaman itu memberi rasa seram, Tiz berseloroh mengatakan mungkin ada individu yang tidak akan terlalu terkejut jika menghadapinya sendiri.
“Eerie sikit, tapi rasa macam ‘tak hairan’ juga,” ujarnya bersahaja.

Perkongsian tersebut segera mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata teruja, seram dan tidak kurang juga yang cuba memahami fenomena itu dari sudut rasional.
“Boleh nampak ritma joget tu. Kalau nampak depan
mata memang ada rasa seram,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi netizen meluahkan rasa takut secara ringkas. “Eeee, scary!”
Namun, dalam kalangan reaksi tersebut, ada juga yang melihat perkongsian itu sekadar pengalaman subjektif atau imaginasi yang dipengaruhi keadaan sekeliling.

Kisah seperti ini bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat Malaysia, khususnya di kawasan yang masih kuat dengan elemen mistik dan cerita rakyat.
Walaupun tiada bukti saintifik yang dapat mengesahkan
kewujudan makhluk seperti ‘jembalang joget’, pengalaman individu seperti yang
dikongsikan oleh Tiz Zaqyah terus mencetuskan perbincangan menarik antara
kepercayaan tradisional dan perspektif moden.
Sama ada dianggap sebagai gangguan makhluk halus atau sekadar pengalaman luar biasa yang sukar dijelaskan, namun kisah ini nyata berjaya mencuri perhatian ramai, sekali gus menghidupkan kembali misteri ‘hantu joget’ dalam imaginasi masyarakat. - KitaReporters

