Video| Kita Dah Raya! Kolaborasi ceria Zoey Rahman, Elliza Razak untuk Syawal 2026! Selera masa kini!

Published by
KitaReporters

Pelakon, usahawan dan pengacara popular, Zoey Rahman tampil dengan buah tangan istimewa menjelang Aidilfitri tahun 2026 ini apabila melancarkan lagu raya berjudul ‘Kita Dah Raya’ yang dinyanyikan bersama penyanyi Elliza Razak.




Menariknya, karya tersebut bukan sekadar menampilkan Zoey sebagai penyanyi, malah dia turut mencuba sesuatu yang baharu apabila menulis sendiri lirik lagu berkenaan. Lagu tersebut digubah oleh komposer Riaraiba yang mengolah idea dan konsep raya yang dikongsikan oleh Zoey.

Menurut Zoey, penghasilan lagu itu bermula apabila dia diminta oleh pihak pengurusannya untuk menulis beberapa gambaran atau idea tentang suasana Aidilfitri. 

Daripada situ, lahirlah konsep lagu yang memaparkan kegembiraan generasi muda menyambut Syawal, termasuk kisah pasangan yang sedang bercinta dan menikmati kemeriahan hari raya bersama.

Idea tersebut kemudian diserahkan kepada Riaraiba untuk diolah menjadi sebuah lagu yang lebih tersusun dari segi melodi dan susunan muzik. Hasilnya, terhasil sebuah lagu raya yang ringan, ceria dan sesuai dengan selera pendengar masa kini.



Pada peringkat awal, beberapa nama penyanyi wanita dicadangkan untuk bergandingan dengan Zoey. Namun akhirnya Elliza dipilih untuk menjayakan lagu tersebut kerana kesesuaian vokalnya.

Menurut Zoey, pengalaman bekerjasama dengan Elliza berjalan lancar walaupun proses pembikinan lagu itu dilakukan dalam tempoh yang agak singkat menjelang Ramadan. 

Rakaman lagu tersebut dilaporkan mengambil masa kira-kira enam jam untuk disiapkan di sebuah studio rakaman di Damansara Perdana.

Sepanjang sesi rakaman, Elliza juga banyak membantu Zoey terutama dari segi teknik vokal, memandangkan Zoey lebih dikenali dalam bidang lakonan dan pengacaraan.



Single ‘Kita Dah Raya’ dilancarkan dalam pelbagai platform digital pada 6 Mac 2026, sekali gus menambah senarai lagu raya baharu yang boleh dinikmati peminat muzik tempatan sepanjang musim perayaan.

Dalam masa sama, sebuah video muzik turut dirancang bagi melengkapkan promosi lagu tersebut dan dijangka dilancarkan dalam platform penstriman video.

Zoey berharap lagu ‘Kita Dah Raya’ mampu menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2026 ini serta menjadi antara lagu yang menemani perjalanan pulang ke kampung atau ketika berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang musim Syawal. - KitaReporters



15
15
0
13
0

Copy Link: