Video| Legenda hidup! Zaiton Chombi masih sihat pada usia 89 tahun! Peminat rasa teruja, syukur!
Published by
Nama seniwati legenda Zaiton Abdullah bukanlah asing dalam dunia perfileman Melayu klasik.
Figura yang pernah mewarnai layar perak dengan lakonan penuh jiwa ini kekal dalam ingatan peminat sehingga hari ini, khususnya menerusi watak ikonik Combi dalam filem Ibu Mertua-ku yang terus menjadi bualan merentas generasi.
Dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026
yang masih berbaki (15 April 2026), satu perkongsian video ucapan raya daripada
Zaiton oleh pemilik akauan TikTok bernama Zee Ramona.
Pelakon veteran yang kini berusia 89 tahun mencuri
perhatian ramai dalam media sosial. Lebih menggembirakan, seniwati ini
kelihatan masih sihat, ceria dan mampu keluar beraya, sekali gus mengundang
rasa syukur dalam kalangan peminat setianya.
Menerusi hantaran tersebut, seniwati kesayangan ramai ini dilihat menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya dengan penuh tenang dan bersahaja.
Walaupun usia semakin lanjut, wajahnya tetap memancarkan aura seniwati yang pernah mencipta nama suatu ketika dahulu.

Menariknya, ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata meluahkan rasa terharu dan gembira melihat keadaannya yang masih sihat.
Ada yang mengimbau kembali kenangan menonton filem-filem lakonannya, khususnya karya agung arahan Tan Sri P. Ramlee, yang menjadi nadi kegemilangan filem Melayu suatu ketika dahulu.
“Alhamdulillah Mak Eton aka seniwati Zaiton. Terbayang filem P. Ramlee ketuk-ketuk botol di tingkap bersama Allahyarham S. Samsudin, ‘Abang Sudin dua puluh sen!’
"Semoga dilimpahi kesihatan yang baik pada Mak Ton. Amin Ya Rabbal A’lamin.”

Sementara itu, seorang lagi netizen, secara ringkas
memberi komen tetapi penuh makna dengan ucapannya, “Masya-Allah, masih sihat ya
Cik Zaiton.”
Tidak kurang juga peminat lama yang setia mengikuti perkembangan seniwati ini sejak dahulu lagi. Dia berkongsi bahawa telah meminati Zaiton sejak era televisyen mula memasuki rumah sekitar tahun 1980-an, membuktikan pengaruh besar figura ini dalam dunia seni tanah air.
Ada juga netizen mengimbau watak yang paling melekat di hati penonton sehingga kini dari generasi ke generasi.
“Watak Combi dalam filem Ibu Mertua-ku. Kini saya 62 tahun, masih peminat. Moga Mak Ton sihat sejahtera.”

Untuk rekod, Zaiton Abdullah merupakan antara pelakon wanita yang menyerlah dalam era kegemilangan filem Melayu klasik sekitar 1960-an.
Lakonannya yang bersahaja namun berkesan menjadikan setiap watak yang dibawa terasa hidup, khususnya dalam filem Ibu Mertua-ku yang kekal sebagai antara karya agung sepanjang zaman.
Kini, pada usia menghampiri sembilan dekad, dia masih dikurniakan kesihatan yang baik dan berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga serta peminat yang tidak pernah melupakan dirinya. - KitaReporters

