PENANGAN filem Mat Kilau bukan setakat mencipta fenomena luar biasa apabila pecah rekod kutipan filem tempatan tertinggi RM53 juta sejak mula ditayangkan pada 23 Jun 2022 lalu, namun filem pengarah Syamsul Yusof itu turut menyebabkan persatuan silat tidak menang tangan menerima penuntut baharu.

Ibarat ‘ribut’ satu Malaya apabila ada persatuan silat terpaksa menambah gelanggang baharu bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang mendaftar anak untuk belajar silat selain jualan tanjak dilaporkan meningkat atas permintaan kelas silat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bersilat dan persilatan

Guru dan murid SKTKU bergaya dengan busana Melayu dan bertanjak ketika berada dalam panggung.


Namun Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU), Selangor mengambil peluang dalam kerancakan filem itu ditayang di panggung wayang dengan memperkasakan aspek kognitif dan pengamatan murid melalui pembelajaran tidak formal.

Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan, berkata sebagai latihan atau tujuan kajian serta memenuhi keperluan untuk kefahaman intelektual 80 murid dalam kalangan murid Tahun Lima dan Tahun Enam dengan ditemani lapan guru pengiring dari pasukan pentadbir dibawa menonton filem berkenaan di Setia City Mall, Setia Alam, Shah Alam, pada 5 Julai 2022 lalu.


M Khalimi (dua dari kanan) bersama guru pengiring berasa terharu dapat membawa murid mengikuti pembelajaran tidak formal dengan menonton filem Mat Kilau.


Menurutnya, langkah itu juga sebagai memberi peluang, penghargaan dan pengiktirafan kepada murid dalam mengembangkan potensi diri, bakat, minat selain kebolehan mereka di samping mendedahkan murid dengan persekitaran serta menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Jelas beliau, pendedahan itu juga membantu dalam meningkatkan kemahiran berbahasa, komunikasi, pengamatan dan sosial iaitu mendengar, bertutur serta menganalisa melalui tayangan wayang selain menarik penyertaan murid dalam aktiviti seni juga merangsang minat mereka bertutur dan mendalami ilmu sejarah.

“Usaha ini amat bermanfaat kerana berhubung kait dengan silibus sejarah serta menyokong pembelajaran luar bilik darjah yang akan memberi keseronokan kepada murid dalam mengikuti pembelajaran di dalam kelas,” katanya ketika dihubungi.


Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU), M Khalimi Dalhan (duduk tengah) bersama-sama sebahagian murid dan guru pengiring yang berbusana Melayu dan bertanjak merakamkan kenangan sebelum bertolak ke Setia City Mall, Setia Alam, Shah Alam, untuk menonton filem Mat Kilau pada 5 Julai 2022.


Bagi menghidupkan suasana serta menyemarakkan semangat, semua murid dan guru lelaki memakai busana Melayu dan bertanjak dengan diikuti guru pengiring wanita yang turut mengenakan pakaian wanita Melayu zaman dahulu ke panggung wayang berkenaan.

M Khalimi berkata, usaha itu turut mendapat kerjasama serta sokongan ibu bapa daripada yang turut menyumbang bagi pembelian tiket wayang, pengangkutan, makanan dan minuman untuk murid selain menerima sijil penyertaan.

Menurutnya, sebagai pentadbir dia bersama-sama warga pendidik SKTKU sentiasa memikirkan pelbagai usaha untuk dilakukan demi meningkatkan kecemerlangan serta pencapaian dan yang paling penting mendatangkan keseronokan kepada murid untuk hadir ke sekolah setiap hari.


Murid dan guru SKTKU memberi tumpuan ketika menonton filem Mat Kilau.


“Usaha membawa murid  ini menonton filem Mat Kilau secara tidak langsung meningkatkan nilai patriotisme cintakan tanah air dan bangsa dalam diri murid yang wajar dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.

“Sebagai pendidik kami berasa bertanggungjawab melahirkan generasi yang cintakan kedaulatan negara, menjadi pembela kepada agama dan bangsa dalam apa jua keadaan yang mendatang,” katanya. - KitaReporters


M Khalimi (kanan) sempat bergurau dengan seorang guru pengiring dengan menunjukkan aksi bersilat kepada murid sebelum berangkat ke panggung untuk menonton filem Mat Kilau.

45
16
1
15
0

Copy Link: