Peserta yang menyertai pertandingan bergambar kenangan bersama Nor Zaini Abdul Latif (tengah). - Kredit foto: JPNT


JABATAN Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) meneruskan usaha mengilap bakat baharu dalam bidang kesenian dengan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan untuk mempertahan seni warisan negeri itu. 

Terbaharu jabatan tersebut menganjurkan program Senandung Terengganu “Gema Gemalai Gamelan Melayu”.

Menerusi program itu, lima buah sekolah menyertai Pertandingan Tarian Gamelan Cilik Tunas Suktra (Setiausaha Kerajaan Terengganu) sebagai pembuka tirai kepada program Senandung Terengganu “Gema Gemalai Gamelan Melayu”.


Nor Zaini menyampaikan hadiah kepada pasukan yang berjaya dalam pertandingan.


Program yang berlangsung pada 18 November 2023 lalu di Tingkat 1, Foyer Jabatan Pelancongan Negeri, menampilkan sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam; SK Tok Jembal; SK Seberang Takir, Kuala Nerus; SK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu; dan SK Kubang Ikan, Kuala Terengganu.

Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd. Rahman berkata, penganjuran program itu berkonsepkan kepelbagaian kesenian dan kebudayaan Terengganu yang menggabungkan persembahan pentas seperti nyanyian, tarian, muzik dan deklamasi puisi. 

Antaranya termasuk persembahan dikir barat, tarian rodat, persembahan muzik, nyanyian lagu-lagu rakyat dan pelbagai lagi.


Aksi dua penari cilik yang menyertai pertandingan


Memulakan program tersebut pihaknya mengadakan pertandingan gamelan cilik di mana program ini diadakan bertujuan bagi melahirkan generasi pewaris khususnya dalam seni gamelan tradisi istana Terengganu, di samping mencungkil bakat-bakat baharu agar kelestarian seni gamelan ini terus kekal terpelihara.

Menurut Ahmad Ridzwan, ini merupakan kesinambungan daripada program pengembangan budaya tunas Suktra yang bermula pada tahun 2022 di mana sehingga kini pihak jabatan melalui Unit Kebudayaan telah berjaya membimbing hampir 400 pelajar sekolah rendah membabitkan 15 sekolah di seluruh negeri.


 Sebahagian penonton yang menyaksikan pertandingan


Menyokong kepada komponen Program Senandung Terengganu, pihak jabatan juga seterusnya akan mengadakan pelbagai program lain termasuk, Gema Gemalai Tari Gamelan yang ini bakal direkodkan dalam Malaysia Book Of Records, Citra Terengganu, Bengkel Muzik dan Tari Gamelan Melayu, Simposium Gamelan Kebangsaan dan Malam Gala Senandung Terengganu. 

Pertandingan Tarian Gamelan Cilik Tunas Suktra tersebut dirasmikan oleh Pengerusi PUSPANITA Negeri Terengganu, To’ Puan Seri Nor Zaini Abdul Latif. Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. - KitaReporters


Persembahan tarian oleh peserta-peserta cilik.

16
17
1
11
0

Copy Link: