Telah ratusan lagu bertema dicipta dan dinyanyikan, namun pasti tidak ramai yang tahu siapakah pencipta dan penyanyi pertama lagu bertema hari raya. 

Ramai yang beranggapan Allahyarham Tan Sri P Ramlee merupakan pencipta dan penyanyi lagu pertama bertema hari raya.



Sebenarnya lagu pertama bertema hari raya berjudul ‘Selamat Hari Raya’ ialah ciptaan Tengku Alibahya bersama Che Ara Bangsawan pada 1936.

Ini bererti lagu ‘Selamat Hari Raya’ sudah berusia 90 tahun. Lagu ini dimuat dalam piring hitam HMV (His Master Voice) Malay Records yang dicatat tarikh 9 Disember 1939. 



Namun lagu itu kurang diberi perhatian masyarakat. Mungkin kerana melodi, lirik, cara nyanyian dan susunan muziknya kurang menarik dan klasik. 

Dan tiada butir lanjut mengenai siapakah sebenarnya Tengku Alibasha. Namun ia tetap menjadi sejarah dalam pembentukan muzik Melayu.

Dan siapa pula penyanyi lagu ‘Selamat Hari Raya’ ini? Dia adalah Aminah Raden Nani lebih dikenali sebagai Miss Aminah. Dia merakam lagu itu ketika berusia 17 tahun pada 1936. 



Aminah adalah anak kepada pengiat bangsawan Raden Nani dan ibunya Catherine De Bress seorang Serani yang memeluk Islam dan menukar nama kepada Fatimah Abdullah.

Raden Nani yang dipanggil Wak Nani menjadi pengurus pentas bagi Sri Panggung Bangsawan. Ia memberi peluang Aminah terlibat dalam bangsawan. 

Penglibatan Aminah dalam bangsawan bermula ketika baru berusia 5 tahun bagi mengganti pelakon kanak-kanak yang sakit iaitu Ainon Chik. (Ainon ketika dewasa menjadi salah seorang pelakon yang punya ciri tersendiri).



Bermula sebagai pelakon kanak-kanak, Aminah kemudian menjadi pelakon remaja. Dan ketika berusia  22 tahun Aminah terus memegang watak utama dan menjadi menjadi primadona Sri Panggung Bangsawan yang diminati ramai di Singapura.

Pada tahun 1942 ketika berusia 23 tahun, Aminah mendapat gelaran primadona Sri Panggung Bangsawan.  

Selain ‘Selamat Hari Raya’ Aminah berpeluang merakam beberapa lagu lain antaranya ‘Qodrat Iradat’.  



Setelah dunia bangsawan mula suram. Aminah berpindah ke Pulau Pinang dan menjadi tenaga pengajar bidang bangsawan di Universiti Sains Malaysia (USM), melatih golongan pelapis.

Aminah yang lahir di Singapura pada 19 Januari 1919 berhijrah ke Pulau Pinang sehingga meninggal dunia pada usia 81 tahun pada 6 November 2000 akibat angin ahmar.

Aminah pernah mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Bangsawan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang.

Mengenang sumbangan Aminah dalam bangsawan empat tahun selepas kematiannya pada tahun 2004, Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Warisan Malaysia menerbitkan buku ‘Biografi Primadona Bangsawan Aminah Nani’. 

Buku itu karya Noraza Abdul Aziz, seorang penyelidik dan pengkaji budaya, dari Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang. 



Cerita berkenaan Lagu ‘Selamat Hari Raya’ dan Miss Aminah didedahkan oleh komposer dan penulis lirik veteran, Yusnor Ef atau nama sebenarnya Mohd Nor Mohd. Yusofe menerusi satu temuramah bersama MediaCorp Singapore.

Bagi mengingatkan kembali masyarakat terhadap lagu pertama ‘Selamat Hari Raya’ pada tahun 2021, Kumpulan trio Kopratasa (Siso, Usop dan Sani Sudin) merakam semula lagu itu dengan membuat sedikit inovasi di bawah syarikat rakaman Luncai Emas. Lagu itu dilancar pada 5 Mei 2021.



Tentu ramai ingin tahu mengapa Aminah Nani diberi gelaran Miss Aminah.

Difahamkan penyanyi wanita belum berkahwin yang diberi peluang merakam lagu ke piring hitam oleh pihak rakaman akan diberi gelaran ‘Miss’. Antara penyanyi wanita lain Miss Tarminah dan Miss Eulla. 

Masyarakat Malaysia perlu bangga kita mempunyai lagi bertema hari raya lebih awal dari Indonesia.

Difahamkan lagu raya pertama dan paling ikonik di Indonesia adalah ‘Hari Lebaran’ ciptaan maestro Ismail Marzuki. Dipercayai pertama kali dirakam pada tahun 1952 di Radio Republik Indonesia (RRI) pada 1952 dan dinyanyikan oleh Suyoso Karsono. - KitaReporters

6
15
0
9
0

Copy Link: