Pertahan senjata warisan! Anak muda gigih tempa keris daripada batu kerikil! Berbekalkan kesabaran!
Published byAngin sepoi bahasa mengalunkan bunyi geseran daun palma yang panjang, sesekali diiringi deruan lori sawit yang sarat muatan. Debu berterbangan, melekat di kulit dan rambut.
Batu kerikil yang banyak terdapat di sekitar jalan ladang kelapa sawit mengandungi besi yang menjadi bahan asas Muhammad Nazrul Saliman atau Along menghasilkan keris.
Di tepi jalan, batu-batu kerikil pelbagai saiz dan kasar berselerakan seolah-olah tiada gunanya. Namun bagi Muhammad Nazrul Saliman, 28, atau lebih mesra dipanggil Along, batu-batu itu adalah harta tersembunyi.
Batu-batu yang menyimpan besi, dan dengan ilmu serta kesabaran, boleh ditukar menjadi sebilah keris yang merupakan senjata warisan Melayu yang tidak ternilai.
Bagaimana mungkin sebilah keris yang menjadi simbol kekuatan, maruah, dan kebijaksanaan bangsa boleh lahir daripada batu kerikil yang dipijak setiap hari. Rasa ragu itu membuatkan penulis tekad untuk menjejak Along di bengkel kecilnya.
Batu kerikil perlu dijadikan serbuk halus sebelum boleh dipanaskan di dalam relau.
Allahyarham datuknya di Dungun, Terengganu adalah seorang tukang besi yang berpengalaman Setiap kali pulang ke kampung, Along tidak melepaskan peluang memerhati datuknya menempa besi di bengkel.
"Bezanya, datuk guna besi yang boleh dibeli di pasaran, saya pula cuba cari besi daripada batu kerikil,” kata Along sambil menghela nafas, matanya seakan kembali mengimbau masa lalu.
Along (kanan) dan Salman membuat relau sederhana daripada tanah untuk dijadikan tempat membakar batu kerikil bagi mendapatkan besi.
Pada mata saya, semuanya sama. Namun Along mampu mengenal pasti jenisnya yang menurutnya mengandungi besi lebih tinggi, ada pula yang rendah.
Proses mengeluarkan ketulan besi yang terhasil daripada pembakaran batu kerikil dengan cara menggali relau tanah liat yang hanya boleh digunakan sekali sahaja.
Ketulan besi yang masih bercampur bahan serta mineral asing terhasil selepas proses membakar batu kerikil pada kepanasan 1.200 hingga 1,400 darjah celsius selama lebih tujuh jam.
Selama berjam-jam, kami menunggu sehingga akhirnya terhasil ketulan besi kasar newarna kehitaman yang masih bercampur beberapa bahan mineral lain termasuk tanah.
Dari situlah bermula kerja berat menempa, memukul, menipiskan, dan melapis sehingga membentuk bilah.
Ketulan besi tulen dibakar semula berulang kali sebelum di tempa bagi mengasingkan bahan asing dan menjadikannya besi dalam bentuk kepingan besi nipis.
“Setiap keris ada jiwa dan falsafah. Corak pamor bukan sekadar hiasan. Ia ada maksud, ada cerita tersendiri. Sebab itu keris bukan senjata biasa, ia lambang bangsa,” ujar Along sambil menunjukkan bilah separuh siap, masih panas dan berasap.
Hari ini, ia lebih banyak tersimpan sebagai koleksi warisan atau digunakan dalam istiadat diraja. Namun nilainya tidak pernah luntur.
Kerja-kerja awal menempa ketulan besi tulen untuk dijadikan kepingan besi besi nipis sebelum prosese menempa sebilah keris memerlukan kesabaran dan ketahanan fizikal.
Pasaran masih terhad, modal pula tidak sebesar mana. Bengkel serba sederhana itu menjadi bukti bagaimana semangat kadang-kadang perlu bertarung dengan kekangan ekonomi.
“Kalau ikut hati, memang nak buat sepenuh masa. Tapi sekarang belum cukup sokongan. Saya percaya, kalau ada rezeki dan peluang, saya nak jadikan keris batu kerikil ni satu identiti,” kata pemegang Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Acuan dan Logam itu penuh harapan.
Antara bilah keris yang hampir siap sepenuhnya yang dapat dihasilkan melalui kerjasama dua sahabat di Felda Tenang, Labis, johor.
Pada tangan saya, sebilah bilah besi kasar yang belum siap menjadi bukti perjalanan panjang dari batu kerikil yang dipijak, kepada senjata yang suatu masa dahulu menjadi lambang maruah bangsa.
Along meneliti kesempurnaan bentuk dan pamor yang terhasil semasa proses membentuk sebilah keris.
Salah satu keris yang dihasilkan dengan bentuk pamor yang terhasil daripada proses menempa puluhan lapisan besi nipis yang diperolehi daripada batu kerikil.
