Persembahan Ziana diiringi pemain piano Aubrey Suwito, selaku Pengarah Muzik.


Dalam usia 56 tahun, jika pelantun lagu ‘Anggapanmu’ ini mengharapkan peminatnya tidak meletakkan jangkaan tinggi terhadap persembahan nyanyiannya namun anggapan Ziana Zain meleset.

Vokalnya tetap mantap dalam membawa lagu-lagu bernada tinggi sehingga mendapat tepokan dan sorakan kira-kira 5,000 penonton yang membanjiri Mega Star Arena di Sungei Wang Plaza pada ‘Ziana Zain Konsert 2024’ pada malam minggu, 25 Mei 2024.

Ternyata selepas 22 tahun tidak muncul dalam konsert solo - kali terakhirnya menerusi ‘Ziana Zain In The Park’  di PWTC (kini World Trade Centre atau WTC) pada 2001 - pemilik bernama penuh Siti Roziana Zain ini tetap penyanyi ‘otai’ yang unggul.

Kala menyampaikan lagu ‘Senja Merah’ tanpa pasangan duetnya, Awie, Ziana bijak memilih penonton untuk mengggantikan Awie dan ternyata ia cukup menggembirakan hadirin khususnya kalangan peminatnya, ‘Ziana Folks’ kerana dapat bersama ‘berduet’ dengan artis kesayangan mereka itu.



Tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’ yang sering diberikan susulan Ziana selesai menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti 'Puncak Kasih', 'Kemelut Di Muara Kasih', 'Anggapanmu', 'Sangkar Cinta', 'Kekal' dan banyak lagi cukup memberikan semangat tambahan kepada rasa anggapannya yang mungkin tidak dapat memberikan yang terbaik.

Tetapi tanpa diduga, memang terbaik waima terpancar rasa kepuasan pada wajah penonton pada konsert yang dibawakan oleh CSA Academy selaku penaja utama dengan anjuran bersama Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd serta kerjasama Altus ProHouse.

Sudah tentu kehadiran adiknya Anuar Zain bersama anak-anak, ahli keluarga dan sahabat terdekat mahu pun selebriti lain yang menyokong antaranya anak buahnya, Ernie Zakri dan suami Syamel,  Erra Fazira, Hael Husaini, Rozita Che Wan dan ramai lagi termasuk pereka fesyen bajunya yang menawan seperti Rizman Ruzaini, Ezuwan Ismail mahu pun Rizalman menambahkan lagi semangat Ziana Zain persis tajuk single terbaharunya yang turut dilayarkan iaitu ‘Semangat Wira’.

Kehadiran Erra menarik perhatian penonton apatah lagi ketika selingan, ditayangkan secebis ‘throwback’ filem-filem lakonan Ziana bersama Erra seperti 'Sembilu' dan 'Maria Marianna' terbitan Skop Productions.


Konsert Ziana Zain dikendalikan di bawah pimpinan Pengarah Konsert, Jennifer Thompson dan diiringi para pemuzik profesional antaranya Steve Thornton (percussion), Brian Larson (violin), Nan Alias dan Wan Gigi (gitar) serta ramai lagi. 


Tidak syak lagi kemampuannya melontarkan vokalnya yang tidak ubah seperti pada zaman mudanya tercapai hasil daripada pembedahan batriatik atau pintasan usus yang dilakukan bagi merawat masalah kesihatannya yang sering terganggu disebabkan gastrik.

Malah Ziana dilaporkan mengakui sejak membuat pembedahan gastrik pada 2022, kesihatannya kembali normal dan bukan sahaja mampu mendapatkan semula berat badan sepadan dengan ketinggiannya malah tidak lagi semput bila menyanyi.

Dan buktinya terserlah pada Konsert Ziana Zain 2024 yang baru lalu. 

Penampilannya yang anggun tidak kurang mampu melonjakkan 'impak maksima' kepada dirinya tetapi impak yang sama hebatnya diterima oleh penonton. 



Memang  selayaknyalah beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persembahan Vokal Wanita Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM 1996) waima dijulang sebagai salah seorang diva pop yang paling berjaya di Asia Tenggara dan berjaya meraih gelaran utama Voice of Asia yang diadakan di Kazakhstan pada tahun 1995.

Sehubungan itu, namanya terukir dalam the Malaysia Book of Records sebagai Artis Wanita Pertama memenangi pertandingan antarabangsa.

Lebih daripada itu, mengenang pertemuan kala mula mengenalinya ketika namanya memuncak dengan lagu daripada album pertamanya, ‘Madah Berhelah’ sewaktu zaman remajanya hinggalah kini bergelar ibu tunggal, Ziana Zain tetap seorang yang merendah diri, mesra malah sentiasa suka bergurau senda dalam bicaranya.



Ketika terlibat dengan 'show'  jelajah bersama majalah HAI terbitan Kumpulan Utusan pada era 90-an, sewaktu penulis sebagai editornya, sehingga kini ZIana Zain tidak pernah lupa dan masih mengingati team majalah HAI. 

Itu bezanya penyanyi lama dan baharu yang tidak mudah lupa walaupun sesekali bersua muka.

Menariknya lagi berhubung penyanyi adik beradik, Ziana mahu pun Anuar Zain ini, setiap kali membuat persembahan tidak pernah lupa jasa kedua-dua orang tua mereka, khususnya abah mereka, Zain Adbullah.


Throwback... salah satu cover 'Ziana Zain' dalam majalah HAI.


“Sejak bergelar penyanyi semasa muda hinggalah sekarang abah tetap memantau dan mengambil tahu setiap langkah Kak Gee seperti siapa pereka fesyennya, jurusoleknya  dan sebagainya,” cerita Ziana yang sentiasa membahasakan dirinya Kak Gee.

Kisahnya itu mencuit hati penonton apatah lagi Ziana sempat ‘berbicara’ melalui panggilan ‘video’ dengan abahnya sambil memaklumkan semuanya baik-baik sahaja.

“Bayangkan dalam usia Kak Gee dah 56 tahun pun, abah yang dah 85 tahun pun tidak terlepas nak mengambil tahu mengenai Kak Gee,” tambah Ziana sambil menitipkan pesanan agar mereka yang masih ada ibu bapa jangan abaikan mereka.

Pendek kata, dalam durasi hampir 3 jam, penyanyi yang dikatakan seiras pelakon/penyanyi terkenal, Jennifer Lopez dengan suara yang seringkali dibanding bezakan dengan penyanyi legenda Whitney Houston sehingga meraih jolokan ‘Whitney Houston Malaysia’," Ziana Zain berjanji akan terus bernyanyi selagi nyawa dikandung badan.



Jadi bagi mereka yang tidak berpeluang menontonnya apa kata menempah pula tiket Konsert Ziana Zain yang bakal diteruskan di Singapura pada 28 September 2024 depan di Bukit Bintang Temasek (The Star Theatre).

Mengumumkan demikian pada akhir konsert, Ziana memberitahu akan terus menghiburkanZiana Folks dan peminat serata Nusantara kerana itulah pekerjaannya sebagai penyanyi profesional.

Harga tiket yang bermula dari S$78 hingga S$268 (Meet & Greet) akan mula dijual pada 31 Mei 2024 ini melalui laman sesawang Startix.

Untuk rekod, Ziana pernah berkonsert di lokasi sama pada tahun 2022 bersama dengan adiknya, Anuar Zain. Tahniah Ziana! - KitaReporters

13
13
0
6
0

Copy Link: