Atlet Filipina, Hidilyn Diaz memenangi emas acara angkat berat wanita kategori 55kg pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 26 Julai, 2021.


KEJAYAAN atlet Filipina, Hidilyn Diaz merangkul pingat emas Sukan Olimpik 2020, Tokyo melalui acara angkat berat wanita kategori 55kg, bukan sahaja menjadi tajuk utama media di negaranya malah turut mendapat perhatian rakyat Malaysia.

‘Tempias’ kejayaan Hidilyn itu membias ke sini serta menarik minat warga Malaysia kerana dilaporkan atlet kelahiran Zamboanga, Mindanao itu hanya menjalani latihan di belakang sebuah rumah di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka sebagai persiapan ke Olimpik.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik


Menurut laporan, Hidilyn terpaksa menyewa sebuah rumah di situ selepas ‘tersangkut’ di negara ini sejak Februari, 2020, ekoran perintah kawalan pergerakan yang dikenakan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19. 

Rancangan awal Hidilyn bersama jurulatihnya dari China, Gao Kaiwen untuk berlatih di sini sebagai persiapan ke Olimpik terjejas apabila gimnasium ditutup dan dia tidak mempunyai akses kepada peralatan angkat berat.

Selama berbulan-bulan Hidilyn dan jurulatihnya ‘terperangkap’ di sebuah blok pangsapuri di ibu kota Kuala Lumpur sebelum seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia membantu mereka tinggal di rumahnya di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka.

Pada awalnya, Hidilyn menjalani latihan di sebuah gimnasium tidak jauh dari rumah itu tapi apabila pusat kecergasan berkenaan turut ditutup ekoran masalah Covid yang semakin serius, dia tidak mempunyai pilihan kecuali menggunakan ruang tempat letak kereta dan belakang rumah didiaminya sebagai gelanggang latihan dengan peralatan yang terhad.


Hidilyn hanya menjalani latihan di belakang rumah didiaminya di Jasin, Melaka sebagai persiapan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. - Foto: Instagram Hidilyn Diaz.


Hidilyn, 30, adalah pemenang pingat perak Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Pada 2018, dia meraih emas Sukan Asia di Indonesia, juga emas Sukan SEA 2019 yang berlangsung di Filipina.

Walaupun hanya meraih tempat keempat pada Kejohanan Asia di Tashkent, April 2021, itu cukup untuk melayakkan dirinya di Olimpik buat kali keempat dan mungkin terakhir. Dia memang menjadi harapan negaranya pada Olimpik kali ini.

Segala kepayahan dilalui anak seorang penarik beca yang sekarang bertugas sebagai anggota tentera udara kini berbayar dengan sebutir pingat emas Olimpik. 

Dan dalam sidang media selepas kejayaan itu, Hidilyn mengucapkan terima kasih kepada masyarakat di Kampung Kesang Tua, Melaka yang banyak membantunya dan berjanji akan pulang ke negeri itu untuk meneruskan latihan.


Kredit foto: FB Aswandi Datuk Jamil


Berita itu segera menjadi tular serta diperkatakan dalam kalangan warga media sosial negara ini. 

Selain ada yang tumpang berbangga dengan kejayaan Hidilyn itu kerana dikaitkan dengan Melaka, tidak kurang pula yang melihatnya sebagai satu tamparan kepada atlet angkat berat kita yang tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik 2020 ekoran kes doping.

“Malunya, atlet orang berlatih di belakang rumah kita pun boleh menang pingat emas, atlet kita yang ada macam-macam kemudahan, layak (ke Olimpik) pun tidak.” Begitu antara ungkapan diluahkan warganet.


Ini adalah penyertaan kali keempat Hidilyn ke Sukan Olimpik. - Kredit foto: Instagram Hidilyn Diaz.


Kejayaan atlet Filipina itu sepatutnya membuka mata kita semua. Mengapa dia boleh tapi kita tidak?" 

Menyetujui kata-kata itu, bekas jaguh angkat berat negara, Samah Ali menganggap kejayaan Hidilyn bukan sahaja satu tamparan kepada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) malah kepada seluruh rakyat negara ini.

“Kejayaan atlet Filipina itu sepatutnya membuka mata kita semua,” kata Samah. “Mengapa dia boleh tapi kita tidak?

“Dari segi kewangan dan kemudahan latihan, rasanya kita memiliki kelebihan berbanding mereka tapi sejauh mana seriusnya kita hendak melahirkan atlet angkat berat sehebat atlet Filipina itu?

“Dalam soal ini, bukan sahaja persatuan tapi atlet sendiri perlu mempunyai kesungguhan untuk mencapai kejayaan. Itulah yang dibuktikan oleh atlet angkat berat Filipina itu, walaupun berada dalam kesukaran namun dia tetap berusaha dan hasilnya kita dapat lihat. Saya harap  kita dapat menjadikan atlet Filipina itu sebagai contoh,” kata Samah.


Samah memenangi pingat emas Kejohanan Angkat Berat Asia pada 1977 (Singapura) dan 1979 (Filipina), serta Sukan SEA 1979 di Jakarta, Indonesia. - Kredit foto: Harian Metro.


Saya pernah berlatih di tempat parking kereta saja tapi mampu menyumbang emas kepada negara."


Samah berpendapat, usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh PABM untuk melahirkan jaguh angkat berat wanita yang dilihat lebih berpotensi untuk layak ke kejohanan antarabangsa termasuk Olimpik. 

“Sebenarnya kita tidak ketandusan bakat, cuma sejauh mana kita serius. Saya pernah melatih seorang atlet wanita dari Kedah, saya dah lupa namanya, sehingga dia menang pingat gangsa kejohanan angkat berat dunia di Samoa pada tahun 1990-an.

“Tapi, sayangnya, tidak ada usaha serius melahirkan atlet angkat berat wanita sedangkan jika kita melakukannya, pasti ada yang mampu kita tonjolkan dan mungkin layak ke Olimpik.

“Bab kemudahan bukan alasan. Apa yang penting adalah kemahuan. Zaman saya dahulu, kami serba kekurangan. Saya pernah berlatih di tempat parking kereta saja tapi mampu menyumbang emas kepada negara,” ujar Samah yang memenangi pingat emas Kejohanan Angkat Berat Asia pada 1977 (Singapura) dan 1979 (Filipina), serta Sukan SEA 1979 di Jakarta, Indonesia.

Apa yang menyedihkan, menurut Samah, apabila Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF)  tidak membenarkan penyertaan atlet angkat berat kita Sukan Olimpik 2020 Tokyo ekoran pembabitan beberapa atlet negara dalam kes doping.

"Kes doping ini menunjukkan atlet sekarang tidak berdisiplin serta mencari jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Ia perlu ditangani secara serius kerana yang rugi adalah negara. Lihat, sekarang angkat berat kita tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik gara-gara isu ini," katanya. – KitaReporters


Hidilyn dalam sidang media selepas memenangi emas Olimpik 2020.

19
10
5
2
2

Copy Link: