Video| Dulu Haida Hafiz, kini Heyda Hafeey! Kembali dengan Zapin Usik Mengusik! Tapi versi 2.0!
Published byJika mengimbau kembali kegemilangan industri muzik tanah air sekitar tahun 1998, ramai peminat muzik tempatan pasti masih mengingati kemeriahan lagu Zapin Usik Mengusik yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri.
Lagu berentak tradisional moden itu bukan sahaja popular di corong-corong radio ketika itu, malah sering menjadi pilihan dalam majlis keramaian, kenduri dan pelbagai acara hiburan di seluruh negara.

Ketika itu, lagu berkenaan dinyanyikan oleh penyanyi muda bersuara lunak, Haida Hafiz yang baru berusia 17 tahun, bersama kumpulan komedi popular tanah air, Senario.
Gabungan unik antara elemen hiburan, muzik zapin dan lirik yang ringan membuatkan lagu tersebut mudah melekat di hati pendengar.
Selepas lebih dua dekad berlalu, penyanyi yang
pernah mencetuskan sensasi itu kini kembali mewarnai persada seni tanah air
dengan imej dan semangat baharu.
Bukan lagi tampil dengan nama lama, dia kini
memperkenalkan identiti baharu sebagai Heyda Hafeey, satu penjenamaan yang
dianggap lebih segar dan lembut pada bibir peminat muzik masa kini.
Kemunculan semula Heyda Hafeey kali ini bukan sekadar nostalgia, sebaliknya hadir bersama sebuah karya baharu yang diberi nafas segar iaitu Zapin Usik Mengusik 2.0.
Lagu tersebut merupakan versi baharu kepada karya yang pernah melonjakkan namanya dalam industri muzik suatu ketika dahulu.

Menurut Heyda, pemilihan untuk merakamkan semula
lagu tersebut bukan sekadar untuk menghidupkan kembali kenangan lama, tetapi
juga sebagai usaha menyesuaikan karya klasik itu dengan selera generasi
pendengar masa kini.
“Lagu ini adalah ‘pintu’ yang memperkenal saya
kepada industri muzik Malaysia. Jadi, memilih untuk merakamkan semula lagu ini
bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi juga usaha untuk menyesuaikannya
dengan perubahan era tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisional yang menjadi
tunjang asal lagu ini,” katanya.
Lagu asal ciptaan Budeen itu kini digubah semula oleh pemuzik berpengalaman, Dato Indra.
Meskipun masih mengekalkan identiti tradisional yang menjadi kekuatan lagu tersebut, versi 2.0 ini tampil dengan pendekatan lebih dinamik menerusi konsep etnik fusion.

Gabungan antara instrumen tradisional dengan sentuhan muzik moden menjadikan lagu ini kedengaran lebih segar, bertenaga dan catchy.
Pendekatan itu juga dilihat mampu menarik perhatian pelbagai lapisan generasi pendengar, daripada peminat muzik klasik sehinggalah golongan muda yang lebih cenderung kepada bunyi muzik kontemporari.
Menambahkan lagi keistimewaan karya ini, Zapin Usik
Mengusik 2.0 turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rock terkenal, Lan
Solo.
Gabungan vokal Heyda Hafeey yang lembut dan merdu
dengan karakter suara Lan Solo yang bertenaga memberikan dimensi baharu kepada
lagu yang pernah menjadi siulan ramai suatu ketika dahulu.
Kolaborasi tersebut bukan sahaja memberikan nafas segar kepada lagu berkenaan, malah menjadikan karya itu lebih berwarna dengan gabungan dua gaya vokal yang berbeza.

Proses pembikinan lagu ini sebenarnya telah dimulakan secara teliti sejak tahun 2025. Ia diterbitkan di bawah syarikat milik penyanyi itu sendiri, Heyda Entertainment, dengan sokongan penuh daripada Luncai Emas Sdn Bhd selaku syarikat penerbitan muzik.
Selain memperkenal karya baharu, kemunculan
semula Heyda Hafeey juga membuka peluang kepada generasi baharu untuk mengenali
penyanyi yang pernah mewarnai dunia hiburan tanah air sejak usia muda.
Dilahirkan pada 16 Januari 1981 di Port Klang,
Selangor, Heyda atau nama sebenarnya Noor Haida Mohd Idris mula menunjukkan
bakat seni seawal usia lima tahun apabila muncul dalam rancangan kanak-kanak
Kids Club di Angkasapuri.
Bakat nyanyian yang diwarisi daripada keluarga turut membantu mengukuhkan perjalanan seninya dalam industri muzik tempatan.
Sepanjang kariernya, dia pernah bernaung di bawah beberapa label rakaman seperti Ambang Klasik dan Suria Records (SRC).

Antara album yang pernah dihasilkannya termasuk
Abadi dan Arena Rambong, yang turut memperkenal gaya muziknya kepada peminat
ketika era kegemilangannya dahulu.
Selepas berehat seketika daripada dunia seni, Heyda
kembali menyemarakkan industri muzik menerusi single berjudul 5 Tahun Saja,
sebelum tampil dengan projek terbaharu yang dianggap lebih matang dan berani.
Kini, dengan penampilan yang lebih segar serta
pengalaman luas dalam bidang seni, Heyda Hafeey dilihat bersedia untuk kembali
mencuri perhatian peminat muzik tempatan.
Kehadiran Zapin Usik Mengusik 2.0 bukan sahaja
membawa nostalgia kepada mereka yang pernah membesar dengan lagu asalnya pada
era 1990-an, malah berpotensi memperkenal karya tersebut kepada generasi
pendengar baharu.
Lagu ini dijangka menjadi antara buah tangan terbaharu daripada Heyda Entertainment buat peminat muzik di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa karya klasik masih mampu hidup dan berkembang apabila diberi sentuhan kreatif yang segar. - KitaReporters
