Oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Penulis Bebas


SERAMAI 25 orang penulis dari 14 buah negara Komanwel telah disenarai pendek untuk Hadiah Cerpen Komanwel 2026, iaitu hadiah sastera paling global di dunia. 

Mereka terdiri daripada 11 orang lelaki dan 14 orang wanita, berusia antara 25 hingga 68 tahun.



Menariknya, pengumuman tersebut menyaksikan seorang penulis Malaysia turut tersenarai, bersama-sama tiga orang penulis dari India, dua orang Bangladesh, dan seorang lagi Singapura, yang membentuk senarai Asia yang kukuh tahun ini.

Lebih menarik, penulis negara kita itu, Mohamed Nasser Mohamed dan Shazed Ul Hoq Abir dari Bangladesh, mengemukakan cerpen masing-masing dalam bahasa kebangsaan mereka, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Bengali.

Mohamed Nasser, yang membesar di Tanjung Karang, Selangor, menulis cerpen berjudul Separuh yang Hilang (The Missing Half), yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Pauline Fan.

Selepas melanjutkan pengajian dalam bidang MBA (e-Marketing), Nasser, 62, bekerja di TV3 selama tujuh tahun sebelum mengambil skim VSS. Selepas itu, beliau berkhidmat selama 10 tahun di sebuah syarikat kecil di Shah Alam sebelum bergerak bebas.

Selain menulis, sejak Disember 2019, Nasser bersama-sama dengan Nuha Book, sebuah syarikat penerbitan yang diasaskan oleh anak beliau. 

Sejak tahun 2008, beliau telah terlibat dalam lebih 150 judul buku sebagai Editor Perunding. Perjalanan hidupnya sentiasa berkait rapat dengan dunia penulisan, penerbitan dan penceritaan. 

Dalam kesibukan hariannya, Nasser juga mempunyai podcast sendiri, Cakap Apa Sahaja (CAS) sejak 15 Mac 2021, membincangkan perihal dunia perbukuan, penulisan, penerbitan, ilmu dan seni. CAS bersiaran secara maya setiap Isnin pukul 9.00 malam.


Mohamed Nasser Mohamed


Separuh yang Hilang membawa kisah Faris dan isterinya, Sarah, kehilangan anak mereka, Aina, dalam banjir yang tiba-tiba melanda dan memusnahkan rumah mereka. 

Hanya sebelah kasut Aina ditemui, menjadi simbol kehilangan yang tidak pernah lengkap. 

Dalam menghadapi duka, rasa bersalah dan salah faham masyarakat, mereka perlahan-lahan belajar menerima bahawa kesedihan tidak selalu hadir dengan penutup yang sempurna, tetapi hidup tetap perlu diteruskan bersama-sama kenangan.

Shazed Ul Hoq pula menulis cerpen Mofiz-er Relation-e Spark Nai (No Spark in Mafiz's Relationship) yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Arunava Sinha, dan Shabnam Nadiya.

Panel juri memuji cerpen-cerpen yang ‘cemerlang’, dengan watak-watak yang membekas pada ingatan: Seorang pemuda India di Prague yang tidak mampu memberitahu ibunya mengenai arah hidupnya; seorang bapa di sebuah kampung yang dilanda banjir, cuba membina semula kehidupannya, serta keluarganya; dan seorang anak perempuan di Singapura yang belajar menerima pemergian ibu.



Dipilih daripada hampir 8,000 penyertaan, cerpen-cerpen yang tersenarai merangkumi tema kehilangan orang tersayang, cinta terlarang, bencana alam dan peperangan. 

Cerpen-cerpen tersebut dikisahkan menerusi pelbagai suara dan sudut pandangan, dari pemuzik hingga pekerja migran.

Lima orang pemenang serantau, masing-masing mewakili satu rantau Komanwel, akan diumumkan pada hari Rabu, 13 Mei 2026. Pemenang keseluruhan akan diumumkan pada penghujung bulan Jun 2026.

Sementara itu, John Edward DeMicoli mencipta sejarah sebagai penulis Malta pertama yang tersenarai pendek. 

Tiga orang penulis, iaitu Celeste Mohammed, Cosmata Lindie dan Ola W Halim, kembali ke senarai ini. Selebihnya muncul buat pertama kali. 

Cerpen yang asalnya dikarang dalam bahasa Bengali dan bahasa Melayu turut dipilih, sekali gus mencerminkan jangkauan berbilang bahasa hadiah ini.

Dikisahkan menerusi watak-watak yang menyerlah dan pelbagai, termasuk pemuzik, atlet, pekerja migran, malah seekor anjing jalanan, cerita-cerita ini bergerak merentasi benua, antara desa dengan kota. 

Di sebalik latar yang beraneka, setiap cerpen meneroka tema manusiawi seperti kehilangan, cinta terlarang, keterasingan dan ingatan, sambil merenungi jati diri, ketabahan dan pencarian berterusan untuk rasa kekitaan.


Louise Doughty


Hadiah Cerpen Komanwel dianugerahkan setiap tahun untuk karya cerpen yang belum diterbitkan, terbuka kepada warga dari 56 buah negara ahli Komanwel. 

Ia merupakan antara pertandingan penulisan yang paling mudah diakses, dan paling antarabangsa.

Selain bahasa Inggeris, penyertaan boleh diserahkan dalam bahasa Bengali, Cina, Kreol, Perancis, Greek, Melayu, Malta, Portugis, Samoa, Swahili, Tamil dan Turki. 

Bagi tahun 2026, dua buah cerpen yang tersenarai pendek dikemukakan dalam bahasa Bengali dan bahasa Melayu. 

Penulis yang disenarai pendek tahun ini terdiri daripada 11 orang lelaki dan 14 orang wanita, berumur antara 25 hingga 68 tahun.

Menurut novelis dan pengarang drama Britain yang telah memenangi pelbagai anugerah, Louise Doughty, menjadi Pengerusi Juri untuk Hadiah Cerpen Komanwel tahun ini merupakan satu kehormatan yang sungguh besar. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan panel juri, serta seluruh pasukan di Commonwealth Foundation, dan terima kasih terutamanya kepada semua penulis yang menyertai hadiah tahun ini,” tambahnya. 

Dengan begitu banyak karya cemerlang untuk dipertimbangkan, kata Louise lagi, tugas pihaknya terasa hampir mustahil. 

“Bagaimana mahu membandingkan sebuah cerpen yang kaya dengan gambaran dan unsur realisme magis dengan sebuah cerpen kota yang ditulis dengan ringkas, tetapi sarat makna? 

"Bagaimana pula mahu menolak sebuah cerpen dengan watak-watak yang begitu nyata, demi sebuah cerpen lain yang membuat kami tergantung dan menahan nafas?” tanya beliau. 

“Akhirnya, kami memilih penulis yang bukan sahaja mengarang dengan indah, tetapi juga benar-benar menguasai seni cerpen itu sendiri. 

"Mereka memperlihat bahawa cerpen ibarat ukiran halus dalam kata-kata, yang memuatkan potensi sebuah novel penuh dalam beberapa sapuan yang padat. 

"Kami percaya para penulis dalam senarai pendek ini telah mencapai semua itu, dan lebih lagi. Kami amat berbangga dengan pilihan kami,” tambah Louise.


Razmi Farook


Razmi Farook, Ketua Pengarah Commonwealth Foundation (Yayasan Komanwel), badan antara kerajaan yang mentadbir hadiah ini turut mengucapkan tahniah kepada semua yang menyertai edisi 2026. 

“Tahniah kepada semua penulis yang tersenarai pendek. Tahun demi tahun, Hadiah Cerpen Komanwel semakin meningkat daya saingnya, dan senarai pendek tahun ini mencerminkan kreativiti yang luar biasa dari seluruh Komanwel,” ujar beliau, sambil berterima kasih kepada panel juri, terutama Louise, atas usaha teliti mereka, serta semua penulis yang menyertai sayembara ini,” katanya. 

Penceritaan, tambah Razmi, terus memainkan peranan penting dalam membuka ruang kepada naratif alternatif, serta memberi tempat kepada suara dan sudut pandang yang memperkaya kefahaman terhadap isu-isu mendesak yang dihadapi warga Komanwel hari ini. 

“Ia sekali gus membantu kita saling memahami dan membayangkan masa depan yang penuh harapan, serta lebih inklusif,” ujarnya.


Berikut senarai pendek lengkap 2026:

Dari Afrika adalah: 

  • Arewa Girls - Hussani Abdulrahim (Nigeria), 
  • New Things - Oluwatoke Adejoye (Nigeria), 
  • Orchard of Blackbirds - Lois Akoma Antwi (Ghana), 
  • Shock Me I Shock You - Ola W Halim (Nigeria), 
  • The God under the Bed - Dawn Immanuel (Nigeria), 
  • Me and Ma'am - Lisa-Anne Julien (Afrika Selatan), dan 
  • The Runner's Gift - Ken Odak Odumbe (Kenya).

Dari Asia pula: 

  • Mehendi Nights - Sharon Aruparayil (India), 
  • The Miles Between Us - Jacqueline Chang (Singapura), 
  • Thirty-One Steps - Rafaa Dalvi (India), 
  • Fighting Elsewhere - Rupsa Dey (India), 
  • The Missing Half (Separuh yang Hilang) - Mohamed Nasser Mohamed ,diterjemahkan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris oleh Pauline Fan
  • A Masculine Fest - Anmana Manishita (Bangladesh), dan
  • No Spark in Mafiz's Relationship' (Mofiz-er Relation-e Spark Nai) - Shazed Ul Hoq Abir (Bangladesh), diterjemahkan daripada bahasa Bengali ke bahasa Inggeris oleh Arunava Sinha dan Shabnam Nadiya.

Dari Kanada dan Eropah: 

  • Saudade - Alison Armstrong (UK), 
  • The Bastion's Shadow - John Edward DeMicoli (Malta), dan
  • Chiddingfold - Jennifer Harvey (UK).

Mewakili Caribbean pula: 

  • Pot Hound Republic - Roger-Mark De Souza (Trinidad dan Tobago), 
  • Pom Pom Peedeem Pom - Jason Dookeran (Trinidad dan Tobago), 
  • River Mouth - Jochelle Greaves Siew (Trinidad dan Tobago), 
  • The Metamorphosis of Miss Alice - Cosmata Lindie (Guyana),
  • Plenty Time - Celeste Mohammed (Trinidad dan Tobago), 
  • The Serpent in the Grove - Jamir Nazir (Trinidad dan Tobago).

Sementara Pasifik menampilkan:

  • Bitter Water Village - M.S. Bhatia (Australia), dan 
  • Second Skin - Holly Ann Miller (New Zealand).



Hadiah Cerpen Komanwel dikendalikan oleh Commonwealth Foundation.  Lima orang juri yang mewakili lima rantau Komanwel menyertai Louise dalam panel juri tahun ini. 

Mereka adalah wartawan, pengarang dan penulis cerpen Afrika Selatan, Fred Khumalo (Afrika); penulis, penterjemah dan penulis esei Bangladesh, Rifat Munim Dip (Asia); penyair, novelis dan sarjana Padlei Inuk, Norma Dunning (Kanada dan Eropah); penulis cerpen, novelis dan peguam dari Jamaica, Sharma Taylor (Caribbean); serta penyair, ilustrator dan pengarang Australia, Maxine Beneba Clarke (Pasifik).

Cerpen-cerpen yang tersenarai pendek dalam edisi 2026 bakal disiarkan dalam majalah dalam talian Commonwealth Foundation, adda (addastories.org), yang menampilkan penulisan baharu dari seluruh Komanwel. - KitaReporters

17
12
0
9
0

Copy Link: