Dalam lambakan lagu raya baharu setiap tahun, penyanyi veteran Rozita Rohaizad tampil dengan sentuhan tersendiri apabila kembali mempersembahkan dua karya baharu sempena Aidilfitri 2026. 


 



Figura yang juga merupakan anak kepada seniwati legenda Mariani Ismail dan anak saudara kepada biduanita negara Puan Sri Saloma ini terus membuktikan konsistensinya dalam industri muzik tempatan dengan menghasilkan karya-karya raya yang dekat dengan jiwa masyarakat.

Selepas kejayaan menghasilkan tiga lagu raya pada tahun lalu (2025) iaitu “Aidilfitri Untuk Semua”, “Bila Tahmid Bergema” dan “Joget Jom Raya” menerusi kolaborasi bersama artis muda dan rakan seangkatan, Rozita atau nama sebenarnya, Sharifah @ Siti Roswita Syed Hamid kini kembali dengan dua lagi buah lagu yang merangkumi sebuah lagu solo dan sebuah lagu berkumpulan. 

Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan lagu raya yang dihasilkannya sejak 2012 kini mencecah lapan buah, meliputi pelbagai genre dan gaya.

Lagu solo terbaharu berjudul “Rindu Aidilfitri” mengangkat keindahan serta kemeriahan suasana Syawal yang sering dirindui. 

Karya ini membawa pendengar menyelami pengalaman raya yang penuh makna, daripada hidangan tradisi seperti ketupat, lemang dan dodol hinggalah momen kunjung-mengunjung bersama keluarga. 

Dengan mesej kemaafan, kesyukuran kepada Allah dan kegembiraan menyambut Syawal bersama insan tersayang, lagu berentak chacha dengan pengaruh latin pop ini mengajak pendengar  menghayati  erti sebenar aidilfitri suci dan penuh ceria. 

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan bersama Rozita dan Fauzi Aisunam, serta dimuatkan dalam album kompilasi “Rindu Aidilfitri 2026” yang menghimpunkan 21 lagu raya pelbagai genre bersama dua lagu bonus.  



Pada masa sama, Rozita turut menyertai projek lagu raya berkumpulan berjudul “Gelak Tawa Raya” terbitan Saja Production. 

Lagu ini menampilkan gabungan suara Rozita bersama Nadia Fharshah, Arwanz, Kamil, M. Hafis, S. Kelvin dan Radin, sekali gus mewujudkan harmoni yang mencerminkan suasana keluarga besar berkumpul pada pagi raya.

Dicipta oleh Arwanz dengan lirik tulisan Nadia Fharshah pula puitis dan penuh simbolik -- seperti “bayu desa berbisik rindu” dan “gelak tawa jadi nyanyian” -- yang menggambarkan perasaan rindu, kenangan lama, dan makna sebenar Aidilfitri.

Arwanz mencipta melodi yang lembut dan menyentuh hati, dengan susunan yang bermula tenang sebelum berkembang menjadi lebih rancak di bahagian korus, memberi ruang kepada emosi nostalgia dan juga semangat raya yang ceria, disampaikan secara seimbang. 

Berbeza dengan “Rindu Aidilfitri” yang berentak latin pop cha-cha, lagu ini hadir dengan sentuhan pop twist yang lebih segar. 



Menurut Rozita,  beliau sememangnya gemar menghasilkan lagu-lagu yang membawa elemen keceriaan dalam karya-karya rayanya dan berharap kedua-dua lagu ini mampu menghiburkan serta menyentuh hati para pendengar, sepanjang musim perayaan ini. - KitaReporters.

7
10
0
11
0

Copy Link: