Video| Aku Sedang Sedih bawa Di Sebalik! MXI terus cipta kelainan! Artis feat kedua, Sam Bunkface!
Published byKumpulan rock tempatan, MXI, melakar sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air apabila tampil dengan konsep berani menerusi projek "Featuring Album" yang jarang diterokai sebelum ini.

Idea menghasilkan album “featuring” ini tercetus daripada keinginan MXI untuk mencipta sesuatu yang berbeza dalam industri, memandangkan konsep sedemikian jarang diketengahkan secara menyeluruh dalam satu album.
Mereka melihat kolaborasi ini sebagai platform untuk menggabungkan pelbagai pengaruh muzik dan memperluas jangkauan pendengar.
Mengukuhkan lagi eksperimentasi tersebut, MXI secara rasminya melancarkan single kedua bertajuk 'Di Sebalik' yang menyaksikan kolaborasi mantap bersama vokalis ikonik, Sam Bunkface.
Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan kepada visi unik kumpulan tersebut yang mahu menampilkan kelainan dengan mempertaruhkan artis jemputan yang berbeza bagi setiap naskhah dalam album kedua mereka.
Sebelum ini, MXI telah memulakan rentak berkenaan pada tahun 2024 menerusi single 'Aku Sedang Sedih' yang menampilkan penyanyi Indonesia, Adi Priyo atau lebih dikenali sebagai Adi vokalis kumpulan 6ixth Sense.

Kumpulan MXI memilih Sam Bunkface dalam lagu 'Di Sebalik" yang turut dicipta oleh Sam.
Lagu 'Di Sebalik'membawa pengisian yang cukup mendalam apabila mengangkat tema ketuhanan yang menceritakan tentang kerinduan dan usaha seorang insan untuk mendekatkan diri kepada Pencipta-Nya.
Dari segi bunyi, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Sam Bunkface ini diberikan nafas progresif rock dengan susunan muzik yang sedikit berat oleh MXI sendiri bagi mengimbangi mesej spiritual yang ingin disampaikan, sekali gus memperlihat keberanian MXI dalam bereksperimen dengan gaya penyampaian yang lebih matang dan berlapis.
Ditubuhkan pada tahun 2022 di Kuala Lumpur, MXI membawa maksud “Mission Not Impossible”, satu falsafah yang mencerminkan keyakinan bahawa setiap kejayaan mampu dicapai dengan usaha yang berterusan.

Kumpulan ini dianggotai Ocin selaku vokalis, Epul Kuat (gitar utama), Faiz Haled (gitar kedua), Anas (bass), Juin (keyboard) dan Ejam (dram), yang terdiri daripada gabungan muka lama dan baharu dalam industri muzik.
Sebelum ini, MXI telah melancarkan album sulung berjudul 'Peluang' pada tahun 2023 yang memuatkan enam buah lagu, termasuk satu lagu dalam versi bahasa Inggeris.
Album tersebut diperkenal menerusi mini showcase MXI & Friends Showcase (Super Pop Night) yang berjaya menarik perhatian dan memperkenal nama mereka sebagai pendatang baharu yang berpotensi.
Kejayaan album pertama yang memuatkan lagu-lagu seperti 'Rayuan Naufa' dan 'Memori' itu menjadi pemangkin kepada MXI untuk terus menghasilkan karya yang lebih inovatif.
Dengan pelancaran 'Di Sebalik', MXI dan Sam Bunkface menaruh harapan tinggi agar karya ini bukan sahaja diterima baik oleh peminat muzik tempatan, malah mampu menembusi pasaran serantau termasuk Indonesia, Singapura, dan Brunei.
Pihak MXI turut menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini dan memberi bayangan bahawa lebih banyak kolaborasi kejutan akan diumumkan pada masa hadapan.
Siapa pula pilihan mereka kali ini? Mungki kah memilih artis dari Singapura atau barangkali lebih jauh lagi dari Filipina pula? Sabar ya kita tunggu lagu mereka selanjutnya nanti. - KitaReporters
