Video| Lagu AI! Pembunuh industri muzik? Perosak kreativiti manusia? Penjejas periuk nasi komposer?
Published by
“LEPAS ini susah la komposer lagu cari makan,” kata seorang sahabat dalam nada bergurau.
Beliau mengungkapkan kata-kata itu ketika kami berbual-bual mengenai kerjaya terbaharu saya sebagai penulis lirik bagi lagu-lagu yang dihasilkan menerusi kaedah artificial intelligence (AI) atau dalam bahasa Melayunya - kecerdasan buatan.

ANTARA lagu ciptaan penulis yang dihasilkan menerusi teknologi AI dan diterima baik oleh peminat muzik. - Kredit foto: jiwakacaustudio
Perbualan yang pada awalnya secara santai dan dalam gelak ketawa bertukar menjadi topik yang agak serius apabila sahabat saya itu melontarkan soalan; bagaimanakah nasib komposer lagu pada masa akan datang apabila AI mengambil alih tugas mereka?
Sahabat penulis itu yang pernah terbabit secara langsung dalam industri hiburan, berkata tidak mustahil pencipta lagu akan hilang pekerjaan apabila orang akan memilih AI sebagai ‘pencipta’ kerana ia bukan saja mudah malah menjimatkan kos dan masa.
“Kau bayangkan, orang yang macam kau yang tak ada pengetahuan muzik pun boleh menghasilkan lagu dalam tempoh yang singkat dan tanpa kos yang tinggi menerusi kaedah AI, apa lagi perlunya khidmat komposer, penggubah, pemuzik dan studio untuk menghasilkan lagu.
“Dan daripada pengamatan aku, kualiti lagu yang dihasilkan oleh teknologi AI boleh dikatakan sempurna malah ada antaranya lebih baik daripada yang dicipta oleh manusia,” katanya.

TEKNOLOGI AI boleh menghasilkan apa saja genre muzik untuk disesuaikan dengan lirik. - Kredit foto: jiawakacaustudio
Malah, beliau yakin, penggemar muzik boleh menerima kaedah baharu itu kerana bagi mereka apapun cara penghasilannya, yang penting lagu itu sedap didengar.
“Mungkin yang akan menentang kaedah ini adalah mereka yang terbabit secara langsung dalam bidang berkenaan terutama komposer kerana ia sudah pasti menjejaskan periuk nasi mereka.
“Orang-orang macam kau akan dilabel sebagai perosak industri tapi suka atau tidak, inilah kaedah terkini yang perlu diterima,” tambahnya.

SETAKAT ini penulis sudah menghasilkan lebih 40 buah lagu menerusi janaan AI dan beberapa buah lagu sudah dimuat naik menerusi Tiktok. - Kredit foto: jiwakacaustudio
Namun, katanya, dari sudut positif, saingan yang diberi oleh AI itu melontar cabaran kepada komposer agar menghasilkan karya-karya lebih bermutu bagi menyaingi kepakaran mesin.
“Ini satu persaingan yang positif. Ia memberi amaran kepada komposer supaya sentiasa menghasilkan lagu yang berkualiti. Ini memberi keuntungan kepada peminat muzik,” katanya lagi.
Saya bersetuju dengan pandangan sahabat itu. Komposer seharusnya tidak melihat orang seperti saya sebagai perosak industri muzik sebaliknya menerima kami sebagai pesaing yang sihat. Akhirnya yang bagus akan menang.
Saya sendiri tidak berniat bersaing dengan sesiapa sebaliknya menerjunkan diri dalam bidang ini bagi memenuhi minat serta mencuba satu bidang baharu sebagai penulis lirik.
Mana mungkin saya bersaing dengan penulis lirik hebat seperti Datuk Habsah Hassan, S Amin Shahab dan Allahyarham Loloq.

PENULIS lirik terkenal, Allahyarham Haron Abdulmajid (kanan) bersama Broery Marantika.
Sebenarnya, sudah lama saya dibuka peluang untuk menjadi penulis lirik. Pada tahun 1980-an, saya berkawan rapat dengan Allahyarham Haron Abdulmajid, penulis lirik dari Singapura yang banyak menghasilkan lirik untuk kumpulan Black Dog Bone, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino, Roy & Fran dan ramai lagi.
Haron pernah menawarkan diri untuk membimbing saya menjadi penulis lirik tapi tugas hakiki sebagai wartawan membataskan hasrat saya. Beliau meninggal dunia pada tahun 2008. Al-Fatihah.
Begitu juga Allahyarham Juwie yang merupakan wartawan dan penulis lirik tersohor, pernah memberi galakan agar saya membabitkan diri dalam penulisan lirik. Hakikatnya, ‘belum jodoh’ saya ketika itu.
Kaedah penciptaan lagu menerusi AI ini memberi ruang kepada saya mengembangkan bakat penulisan lirik, sesuatu yang sepatutnya sudah lama saya terokai. Tapi, selagi Allah mengurniakan kudrat, tiada istilah terlambat.

PENULIS bersama Allahyarham Juwie.
Memang benar kata sahabat saya itu, penciptaan lagu menerusi kaedah AI bukan saja mudah, cepat malah menjimatkan. Saya hanya perlu melanggan aplikasi muzik AI dengan kos yang sangat rendah dan sudah boleh menghasilkan lagu.
Menerusi
kaedah ini, saya akan menghasilkan lirik dan daripada lirik itu dijadikan lagu mengikut
kesesuaian. Ia mengambil masa tidak
sampai 30 minit untuk sesebuah lagu disiapkan!
Setakat ini, lebih 40 buah lagu sudah saya hasilkan menerusi kaedah AI dengan beberapa lagu sudah dimuat naik menerusi akaun jiwakacaustudio pada platform TikTok.

ANTARA lagu janaan AI yang mendapat sambutan. - Kredit foto: jiwakacaustudio
Sebab itu sahabat saya dalam nada jenaka, berkata saya mungkin sudah mencipta rekod kerana telah berjaya menghasilkan lebih 40 lagu dalam tempoh tiga bulan!
“Saari Amri pun kalah!” guraunya disambut oleh ketawa kawan-kawan yang sama-sama mengeteh pada pagi itu.
Tidak dinafikan kehadiran AI telah mengubah banyak landskap kehidupan kita, sama ada secara positif atau negatif, namun hakikatnya, kita perlu menerima teknologi ini kerana dunia sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.
Sebagai orang yang terbabit dalam bidang media selama lebih 40 tahun, saya sendiri melihat serta meelalui pelbagai perubahan dari zaman mesin taip sehingga ke laptop atau tablet sekarang, dari zaman akhbar bercetak hingga boleh dibaca hanya melalui telefon.
Suka atau tidak, kita perlu menerimanya. - KitaReporters
