Oleh KARIM DAUD

Aksi penuh dramatik mewarnai minggu kedua saingan kumpulan kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini setelah Terengganu selaku tuan rumah mencatat kemenangan tipis 45-43 ke atas Kelantan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) pada 16 Mei 2026 lalu.



Pemain gantian Terengganu, Muhammad Faris Abdullah (memegang bola) membuat serangan balas ke atas pemain Kelantan sewaktu saingan peringkat kumpulan minggu kedua kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 16 Mei 2026.


Terdahulu, perlawanan dimulakan dengan suasana penuh emosi apabila kedua-dua pasukan bersama penyokong bertafakur selama seminit bagi mengenang pemergian pemain Kelantan, Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli atau Myko, yang meninggal dunia pada 10 Mei 2026 lalu sehari selepas aksi pembukaan.

Kelantan yang hadir dengan reputasi besar musim ini tampil garang seawal minit pertama dengan jatuhan try oleh bekas pemain kebangsaan Mohamad Shah Izwan Nordin, disusuli tendangan conversion oleh Muhammad Nafis Mohd Salleh untuk mendahului 7-0.

Selang 4 minit kemudian, 3 mata pertama milik tuan rumah di bawah kendalian ketua jurulatih Hafiizh Zainal berjaya dikutip oleh Muhammad Faizal Md Tahir melalui tendangan penalti dan seterusnya tambahan 10 mata lagi memberi saingan. 

Namun Kelantan terus menekan dengan tambahan tiga try dan tiga conversion sehingga tamat separuh masa pertama dengan kelebihan 28-13.


Aksi kelam kabut untuk Terengganu membuat jatuhan try melepasi jentera pertahanan pasukan pelawat sewaktu saingan peringkat kumpulan minggu kedua kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 bertemu Kelantan. 


Babak kedua menyaksikan kebangkitan luar biasa Terengganu untuk terus menakluk penguasaan padang, sekali gus mendahului permainan 39-36 pada minit ke-63. 

Kedudukan semakin memihak kepada tuan rumah selepas penalti tambahan hasil kad kuning yang diterima oelh pemain import Kelantan, Ratu Etuate Veidreyaki, menjadikan skor 42-36.

Namun Kelantan tidak mudah menyerah, kembali memintas mendahului permainan 43-42 selepas mendapatkan 7 mata penuh melalui jatuhan try dan conversion. 

Ketika masa semakin suntuk, Terengganu kembali merapatkan jurang untuk mendahului permainan 45-43 dengan tambahan 3 mata melalui tendangan penalti oleh bekas kapten kebangsaan Mohamad Nasharuddin Ismail.

Menyedari baki permainan pada minit-minit akhir dengan kelebihan tipis, tuan rumah mengatur taktikal untuk penguasaan penuh kawalan bola agar tidak terlepas sehingga wisel tamat permainan ditiupkan, sekali gus menoktahkan perlawanan penuh debaran memihak kepada Terengganu.


Aksi perebutan bola antara kedua-dua pasukan di mana pasukan tuan rumah, Terengganu (jersi hitam putih) berjaya menafikan Kelantan berkeputusan 45-43 bagi saingan peringkat kumpulan minggu kedua kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42.


Selepas kejayaan ini, Terengganu bakal berdepan juara bertahan PDRM pada 30 Mei 2026 di PULAPOL, Kuala Lumpur. 

Kelantan pula akan meneruskan cabaran menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. - KitaReporters/Kenyataan Media

18
11
0
12
0

Copy Link: