Berita Terkini| 10 kluster baharu Covid-19 dikenal pasti! Tempat kerja, komuniti, pusat tahanan

Published by
KitaReporters

Status terkini Covid-19 di Malaysia pada 4 April 2021. 


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 10 kluster baharu Covid-19 membabitkan lima kluster di tempat kerja, empat komuniti dan satu pusat tahanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media pada 4 April 2021 berkata kluster itu dikesan di Selangor, Johor, Putrajaya, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

"Antara kluster dikenal pasti ialah Kluster Jalan Maju Cemerlang di Johor Bahru yang dikesan hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang. Setakat hari ini (4 April 2021), 11 individu telah disahkan positif Covid-19.

"Selain itu, tiga kluster membabitkan pusat pendidikan antaranya Kluster Jalan Murni Satu di Johor. Kluster Jalan Suasana pula dikesan daripada kes indeks (kes ke-328,809) pada 19 Mac 2021 lalu.

"Bagi Kluster Danan yang dikesan di pusat pendidikan di Kampung Danan dan Kampung Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh sehingga kini sudah membabitkan 17 kes," katanya.

Tambah beliau, kluster baharu lain dikenal pasti ialah Kluster Jalan Alamanda, Kluster Rich Park,  Kluster Sungai Mupong, Kluster Sungai Rassau serta Kluster Kampung Batu Lapan Lekir di Manjung, Perak.

Ujarnya lagi, sementara itu  sebuah kluster pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Sri Aman di Sarawak dikesan positif Covid-19 hasil saringan bersasar tahanan di Penjara Pusat Sri Aman yang mana 160 disahkan positif dalam kluster ini. - KitaReporters 

0
0
0
0
0

Copy Link: