DENGAN masalah COVID-19 ini nampak gayanya rakyat seperti sudah dapat menerima norma baharu dalam kehidupan masing-masing. Jika dahulu setiap kali perayaan, akan ada filem baharu di pawagam, tetapi kali ini keadaan sebaliknya apabila kaki wayang sudah boleh melayan pawagam di rumah melalui Astro First. Sempena Deepavali pada 14 November 2020 ini, apa filem Tamil terbaharu yang boleh memeriahkan perayaan pesta cahaya ini? : KitaReporters


Salah sebuah babak dalam filem 'Athigaari' yang kini boleh ditonton pada saluran Astro First.


Lagi kisah-kisah berkaitan filem:

https://kitareporters.com/search?search=filem


Mencipta sejarahnya tersendiri, Astro Shaw  buat kali pertamanya membawa sebuah filem Tamil, 'Athigaari' ke pawagam rumah melalui saluran Astro FIrst. 

“Filem ini memang pada mulanya dirancang untuk tayangan di pawagam pada bulan Mac lalu, namun oleh kerana pandemik Covid-19 ia terpaksa ditunda. Tetapi kini, filem Athigaari akhirnya akan menemui penonton dan lebih istimewa pada hari perayaan Deepavali, “ ujar penerbitnya, Nanthini Ganesan yang yakin filem suspen thriller ini mampu ditonton oleh penonton berbilang bangsa.




“Apatah lagi, kelainan yang kami bawakan ialah watak utamanya menggunakan isyarat tangan sebagai salah satu medium membawakan karakter berkomunikasi. Jadi kami berharap Athigaari mampu mengisi masa lapang penonton serta menceriakan suasana Deepavali di rumah,” tambah Nanthini.

Sudah boleh ditonton pada saluran 480 mulai hari ini, 11 November 2020, ‘Athigaari’ memaparkan kisah siasatan seorang polis dalam menjejak pembunuh misteri.

Sepanjang 2 jam 9 minit, penonton bakal menikmati emosi berbeza menerusi babak aksi, suspen, komedi, romantik dan menyentuh perasaan.  Malah melengkapkan lagi jalan cerita, turut diselitkan babak nyanyian dan menari. 

Iyalah, filem-filem Tamil atau Hindi tak sah jika tiada lagu dan tarian kan?



Pengarahnya, Kabilan Plondran (gambar atas, kanan) yang juga merupakan Pengarah Tebaik menerusi filem ‘Jhangri’ pada Anugerah Tamil Kalainyar 2018 memberikan sentuhan hebat pada karya terbaharunya ini.

Lebih menarik, mutu lakonan setiap pelakon telah mendapat khidmat tunjuk ajar daripada guru lakonan Fared Ayam atau nama sebenarnya Mohd Fared Jamaluddin yang juga merupakan guru lakonan untuk filem ‘Polis Evo 2’ tau.

Setiap watak digerakkan dengan baik oleh barisan pelakon berbakat besar dan popular seperti Bala Ganapathi William, Karnan Kanapathy, Nanthini Ganasen, Sasikumar Kandasamy, Sri Kumaran Munusamy, Thilaag Nair, Akshara Nair, Vishalini Siva, Kuben Mahadevan, Pramilla, Saha, Havoc Jega dan Khirthy. 




Bagi penonton yang tidak biasa menonton filem Tamil, pastinya nama-nama itu kedengaran agak asing kan tetapi itulah hikmahnya di sebalik wabak Koronavirus ini kerana kita semua dah boleh menonton filem baharu Tamil di rumah dan kenali barisan artisnya sekali gus. Tak perlu ke pawagam lagi.

“Kami percaya filem Tamil mempunyai peminat tersendiri apatah lagi jika sesebuah filem itu bagus jadi ia mampu menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikannya. Seperti filem ‘Athigaari’, ia mempunyai jalan cerita yang menarik dengan gabungan elemen pelbagai dan kami merasakan ia mampu berdiri setanding dengan filem-filem terbaik tempatan yang lain,” ulas Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.

Menurutnya, Astro Shaw tidak hanya tertumpu kepada filem Melayu sahaja tetapi mahu terus melangkah ke hadapan dan memberi sokongan padu pada semua hasil karya tempatan.

“Kini, buat pertama kalinya kami terus melangkah ke hadapan dengan membawakan filem Tamil terus ke pawagam rumah anda sempena perayaan Deepavali yang akan tiba tak lama lagi,” tambah Raja Jastina.



'Athigaari’ mengisahkan tentang seorang anggota polis yang mengambil alih kes pegawai yang telah mati dibunuh. Dia percaya pembunuh tersebut mempunyai kaitan dengan kes-kes terdahulu. Dengan bantuan anak mangsa, dia menjejak setiap langkah pembunuh itu sehingga membawanya kepada rancangan besar yang bakal dilakukan oleh pembunuh itu. 

Bagi mengetahui apakah kesudahannya, jangan lepaskan peluang untuk saksikan filem Athigaari dengan hanya berbelanja RM15, satu keluarga dan ramai lagi boleh menontonnya waima ia kekal pada kaca TV selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Boleh juga distrim dalam Astro Go dan On Demand ya! 

Untuk rekod setiap filem yang ditayangkan di Astro First sentiada mendapat sambutan hangat di mana terbaharu, filem 'Mael Totey The Movie' yang menelan belanja RM400,00 hasil duit poket pengarahnya sendiri, Syahmi Sazli, berjaya mencapai kutipan lebih RM5 juta dalam tempoh 12 hari tayangan walaupun khabarnya turut terpalit isu cetak rompak.

Terbukti, duduk di rumah pun, kaki wayang tetap memberikan sokongan  tak gitu? - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: