Deen adalah istilah yang membawa pengertian yang cukup luas di dalam Islam. 

Selain didefinasikan sebagai agama, deen juga bermaksud sistem, undang-undang, jalan hidup, akhlak dan banyak lagi pengertian lain seumpamanya.

Mengambil kira ketidakterbatasan konsep deen di dalam Islam, TV AlHijrah menerusi kempen #JomTontonTVAlHijrah membawakan slot baru yang istimewa iaitu Slot Deen. 

Slot Deen yang bersiaran pada setiap hari, jam 7.30 malam adalah takrifan serta panduan buat penonton yang mengamalkan gaya kehidupan Islam. 

Lima rancangan ilmu terbaik dideretkan setiap hari di dalam slot Deen bagi membantu penonton untuk memantapkan rohani bagi merempuh cabaran duniawi demi kehidupan ukhrawi yang abadi. 

Barisan rancangan tersebut adalah Cinta Ilmu, Tawajjuh, Riwayat Akhir Zaman, Mai Ngaji dan 40 Kalam Junjungan. 



Memulakan siaran, Cinta Ilmu, sebuah program pengajian berkitab akan menemui penonton pada setiap Isnin hingga Rabu, jam 7.30 malam. 

Program komunikasi dua hala bersama penonton di studio dan di rumah ini dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu pengajian dan penggalian ilmu Islam, Iman dan Ihsan. 

Menerusi Cinta Ilmu, barisan asatizah seperti Kapten (M) Nik Kamaruddin Yunoh, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan ramai lagi para asatizah lain akan bersama-sama penonton mentelaah ilmu-ilmu yang sangat bermanfaat untuk membaja nurani dan jasmani. 

Antaranya adalah seperti bicara ibadah, pemantapan akidah, takrifan tasawuf dan banyak lagi tajuk-tajuk menarik lain.



Seterusnya, bacaan surah Yasin, ayat pilihan dari kitab suci al-Quran dan zikirullah pula akan dialunkan di dalam program Tawajjuh yang disiarkan pada setiap hari Khamis, jam 7.30 malam. 

Istimewa musim baru kali ini, TV AlHijrah akan menampilkan qari-qari cilik iaitu Mukahail Lokman dan Ahmad Naufal Fauzi berserta qari pilihan dari program Gema Haflah untuk sama-sama memperdengar bacaan ayat-ayat suci. 

Program ini turut disertakan ilustrasi menarik dan jurubahasa isyarat profesional untuk golongan OKU.



Mahu memberikan kelainan, TV AlHijrah menyiarkan sebuah program kerohanian berkonsepkan drama ringkas tentang kehidupan zaman kini. 

Program yang diberi nama Riwayat Akhir Zaman atau RAZ disiarkan pada setiap Jumaat, jam 7.30 malam.

Saksikan Ustaz Jafri Abu Bakar yang akan memberi tausiah rentetan daripada kisah-kisah kehidupan yang dilakonkan oleh pelakon tanah air iaitu Shah Kimin dan Abi Madyan. 

RAZ pastinya dapat memberikan nilai tambah kepada kehidupan penonton terutama jiwa golongan penonton muda yang sedang mencari arah tuju kehidupan berlandaskan agama Islam.



Selain itu, tingkatkan juga ilmu tajwid dan makna ayat suci al-Quran menerusi program Mai Ngaji musim ke-6 yang akan bersiaran setiap Sabtu jam 7.30 malam. 

Para penonton dapat mempelajari ilmu tajwid dan memahami makna ayat suci al-Quran menerusi kaedah talaqi secara beramai-ramai bersama pelajar-pelajar jemputan di bawah bimbingan Ustazah Nur Nadhrah. 

Pendekatan penggunaan kaedah talaqi ini dapat membantu individu dalam meningkatkan kemahiran tajwid ketika mengaji. 



Para penonton juga akan terus disajikan dengan program ilmiah berteraskan perawi, matan dan pengajaran daripada 40 kitab hadis sahih menerusi rancangan 40 Kalam Junjungan musim ke-2.  

Pada musim kali ini, penonton dapat menyaksikan perkongsian dari kitab 40 hadis penawar bagi hati oleh Ustaz Tariq Jafri. 

Beliau akan mengupas dan membincangkan tentang empat pertanyaan yang mesti dijawab sebagai bimbingan serta manfaat untuk umat Islam. Perkongsian hadis ini dapat ditonton pada setiap hari Ahad jam 7.30 malam. 

Kesemua rancangan istimewa dalam slot Deen ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi digital AlHijrah Plus. 

Aplikasi digital AlHijrah Plus adalah platform alternatif untuk para penonton menonton rancangan hiburan kekeluargaan di stesen TV AlHijrah walau di mana jua mereka berada. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
17
0
7
0

Copy Link: