WALAUPUN saya bukan beragama Islam, tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk melakukan kerja kebajikan. Saya sangat berbesar hati kerana dilantik menjadi salah seorang Ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.

“Memang ada yang bertanya kepada saya, kenapa seorang yang telah bergelar ‘Miss Universe’ mahu menyertai Islamic Relief Malaysia dan melakukan kerja-kerja kebajikan, jawapan saya mudah, Tuhan sudah memberi pengalaman yang perit kepada saya dan saya dapat belajar macam-macam daripada ujian itu,” kata Dr Soo Wincci.

Beliau merupakan salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) yang sangat komited untuk terlibat dalam kerja-kerja kebajikan dan misi kemanusiaan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan misi kemanusiaan



Meskipun kini beliau berada jauh di Sepanyol bagi melanjutkan pengajiannya, Wincci tetap berusaha meluangkan masa untuk hadir dalam sesi perkongsian yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus cakna dan prihatin akan isu kemanusiaan dan kesukarelawanan.

Berbicara mengenai pandangannya terhadap konflik kemanusiaan yang melanda masyarakat global ketika ini, beliau berkata, setiap agama pastinya menggalakkan kita berbuat kebaikan dan berkasih sayang.  Peperangan dan keganasan bukan jalan penyelesaian tepat bagi sesuatu masalah. 

Beliau juga percaya Tuhan mahukan kita semua hidup secara aman damai tanpa pergaduhan, diskriminasi dan sebagainya.

“Dalam usaha untuk memastikan tiada lagi golongan yang tertindas atau terpinggir, kita perlu sama-sama membantu tanpa mengira kaum, agama atau apa sahaja bentuk perbezaan. Kita boleh menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Berkongsi mesej positif juga dikira sebagai tanda sokongan kita dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan,” kata Wincci.



Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 12 juta penduduk Afghanistan dilaporkan berdepan ancaman kelaparan pada tahap kritikal manakala 3.5 juta lagi menghampiri risiko kebuluran.

Ramai penduduk Afghanistan kini semakin tertekan dengan situasi semasa di mana bekalan makanan berkurangan sedangkan harga makanan melambung tinggi dan kadar pengangguran meningkat. 

"Kami lihat, keadaan orang ramai semakin terdesak sehingga mereka terpaksa meminta sayur-sayuran yang sudah layu dan dan tidak lagi dijual daripada kedai-kedai berhampiran serta memetik bunga-bungaan untuk dijadikan sup.

“Mereka benar-benar berdepan kesukaran untuk menyediakan makanan buat keluarga. Ada yang terpaksa makan sekali sehari dan ada juga yang langsung tidak dapat menjamah apa-apa. Golongan wanita dan kanak-kanak antara yang paling teruk terjejas.

“Sekiranya kerja-kerja penyaluran bantuan kemanusiaan bagi keperluan mendesak seperti makanan masih lagi tidak dapat dilaksanakan segera berikutan keadaan semasa yang tidak menentu, golongan ibu di Afghanistan bakal diancam penyakit anemia manakala kanak-kanak pula berisiko menghadapi malnutrisi,” kata Mohammed Hamid Sattai.



Sebelum ini, sebahagian besar rakyat Afghanistan sememangnya sudah menderita kelaparan dan kemiskinan akibat kemarau, pergolakan dan pandemik COVID-19. 

Tahun ini dijangkakan, separuh daripada populasi kanak-kanak berumur bawah lima tahun berisiko diancam penyakit kekurangan zat makanan.

“Tanpa bantuan kemanusiaan, penduduk di kem pelarian ini akan terbiar sendirian. Musim sejuk yang menjelang pastinya menyukarkan lagi kehidupan kami yang sudah sedia sukar kerana kami tidak mempunyai akses kepada bekalan makanan yang mencukupi, tempat tinggal, rawatan perubatan, dan juga kayu api untuk menghangatkan badan.

“Kebanyakan penduduk Afghanistan yang melarikan diri ke kem ini hanya datang sehelai sepinggang selepas tersepit dalam kancah peperangan yang berlaku,” kata Ziba, pelarian di kem Arzan Qemat, Kabul.



“Kami sering berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan terpaksa tidur dengan perut kosong. Saya juga tidak dapat bersekolah kerana terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang bagi membeli makanan dan menyara keluarga.

“Ayah saya lumpuh, ibu pula sudah tua. Adik perempuan saya berumur 14 tahun dan masih belajar di kelas enam. Dahulu, saya mempunyai dua orang abang yang bekerja sebagai tentera, namun mereka telah meninggal dunia kerana terbunuh dalam peperangan sewaktu bertugas.

“Setiap hari, kami terpaksa berjuang untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan. Apabila tiba musim sejuk, hidup kami menjadi lebih sukar kerana saya tidak dapat bekerja disebabkan hujan dan salji,” luah Sher Agha, remaja berusia 19 tahun yang tinggal di Kabul.



“Untuk makluman, Islamic Relief Malaysia kini sedang giat menjalankan Kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu 272 keluarga terjejas di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat di Afghanistan serta 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Idlib dan Aleppo di Syria,” kata Dr Soo Wincci.

Kempen Rayuan Musim Sejuk yang dijalankan Islamic Relief Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 3 November hingga 31 Disember ini.

Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan bakar diperbuat daripada buah Zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.

Terdapat 2 pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi Kempen Rayuan Musim Sejuk ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 untuk Syria dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250 untuk Afghanistan.

Bagaimanapun, Islamic Relief Malaysia turut mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing.

“Kita perlukan sokongan semua pihak. Jika kita bersendirian, sukar untuk kita mencapai matlamat bagi membantu ramai orang. Semoga kita sama-sama dapat membantu sedaya upaya kita meskipun sekadar memberi kata-kata semangat, kerana ia mampu memberi makna besar buat seseorang,” katanya. - KitaReporters


9
13
0
6
0

Copy Link: