KELENGKAPAN Peralatan Perlindungan Diri (PPE) merupakan keperluan utama kepada petugas barisan hadapan ketika mereka menjalankan tugas bagi menghadapi penularan wabak COVID-19 yang terus melanda negara. Bagaimanapun berlaku kekurangan bekalan peralatan tersebut ekoran peningkatan penularan wabak itu masa ini. : KitaReporters


 Hanafiah Mat (kanan) menyarunkan topi PPE kepada seorang petugas sambil diperhatikan Burhanuddin Daud pada majlis penyerahan PPE kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu


Lihat cerita-cerita berkaitan PPE:

https://kitareporters.com/search?search=perlindungan+diri


Kekurangan PPE itu akibat permintaan yang meningkat menyebabkan pelbagai pihak tampil membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membekalkan pakaian keselamatan tersebut kepada petugas terbabit. 

Di Terengganu empat jabatan kerajaan iaitu Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu berkongsi tenaga menjalin kerjasama secara bersepadu menjahit PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan. 

Menerusi konsep kerjasama itu sebanyak 3,000 item PPE seperti baju, topi dan kasut berjaya disiapkan oleh tukang jahit sukarela yang diusahakan oleh ahli-ahli Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah Dungun

Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, bagi menjayakan projek jahitan PPE tersebut seramai 28 ahli Jiran Wanita dari mewakili empat KRT iaitu KRT Besol, Taman Madani, Kampung Che Lijah dan Gong Pasir, Dungun,Terengganu.


Pengarah JPNIN Terengganu Burhanuddin Daud


Katanya, projek dalam dua fasa itu diusahakan sepenuh masa oleh ahli Jiran Wanita dan berjaya disiapkan dalam tempoh 14 hari. 

Beliau berkata, KRT diberi tanggungjawab menyiapkan projek itu kerana organisasi itu mempunyai sukarelawan yang proaktif dan bersemangat untuk melakukan kerja-kerja sukarela bagi membantu kerajaan. 

“Kejayaan menyiapkan projek tersebut membuktikan Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga juga mampu menyumbangkan khidmat mereka kepada negara secara sukarela,” katanya. 


Hanafiah Mat membantu memakai baju PPE kepada salah seorang petugas


Sesi penyerahan peralatan PPE tersebut telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat kepada Dr Ruslina Yeop mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Negeri Terengganu yang berlangsung di Summai Hotel,Kuala Terengganu pada Isnin, 26 Oktober 2020. 

Serentak dengan majlis penyerahan (PPE) tersebut, JPNIN turut mengedarkan Poster Pembudayaan Norma Baharu Kementerian Perpaduan Negara.


Poster Pembudayaan Norma Baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Perpaduan Negara


Hanafiah turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada 28 orang sukarelawan dari KRT terbabit sedia membantu kerajaan dan menjahit secara sukarela sehingga  berjaya menyiapkan 3,000 item PPE dalam masa hanya 14 hari. 

Katanya, semua peralatan PPE tersebut yang diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk diedarkan dan diagihkan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bagi menjalankan tugas sebagai barisan hadapan. - KitaReporters


PPE yang sudah siap dijahit diusahakan ahli Jiran Wanita KRT Daerah Dungun,Terengganu

6
1
0
0
0

Copy Link: