Jika disebut nama penuhnya, Noorulhuda Abdul Wahab, pasti ada yang tertanya-tanya siapakah gerangannya tetapi jika disapa ‘Nourul Wahab’ atau kini ‘Nourul Depp’, pasti ramai yang teringat plantun lagu ‘Kerana Terluka’ ini.

Walaupun sudah lama tidak tampil di arena muzik tempatan namun yang mengenali anak mami berasal dari Pulau Pinang pada 46 tahun lalu ini,  tentu tahu beliau aktif sebagai jurulatih kesihatan bersama syarikat Nutrisi no 1 dunia, Herbalife Nutrition.

Tidak hairanlah wanita yang sudah mempunyai empat cahaya mata ini masih kekal langsing dan bertenaga, malah aktif menjadi motivator melalui media sosial, membuatkan namanya tidak hilang  tetapi tetap menjadi sebutan ramai, jika bukan dalam bidang seni pun tetapi dalam urusan kemasyarakatan.

Berpandukan prinsip, ‘nak berjaya, perbaiki sikap, nak orang suka, berfikir sebelum bercakap', Nourul mengajak para peminatnya mengeratkan lagi hubungan sama ada dekat mahupun jauh dengan berkongsi kata-kata dan ucapan motivasinya dalam media sosial ke pentas realiti.

Ya, jika selama ini Nourul aktif memberikan kata-kata nasihat dan sebagainya dalam media sosial sehingga ada yang akui celotehnya merubah diri mereka, kini tidak lama lagi mereka boleh bertemu dengannya secara ‘live’ apabila pada  25 November 2023 ini akan berlangsungnya sebuah program yang dinamakan ‘Firetalk’ (Bicara Hangat) dan ‘Showcase’ With Nourul Depp



Bertempat di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur bermula jam 1 petang, Nourul yang kini menetap di Bali sanggup terbang ke Kuala Lumpur semata-mata bertemu dengan peminatnya secara lebih intim.

“Kebanyakan daripada kita mempunyai masalah yang sukar untuk dikongsikan. Maka dengan adanya acara pembangunan diri ini, diharap sedikit sebanyak mampu memberi semangat buat mereka,“ ujar Nourul kepada media melalui pertemuan melalui  panggilan video ‘Zoom’ baru-baru ini.

Menurut Nourul, masyarakat sekarang memerlukan semangat atau motivasi buat diri sendiri dalam menjalani kehidupan seharian.

“Saya sendiri memasang impian menjadi jurucakap motivasi dan ‘life coach’ dan melalui program yang julung kalinya diadakan ini diharap sedikit sebanyak mampu memberi semangat buat diri sendiri dalam membantu semua mencapai setiap keinginan masing-masing,” tambah Nourul.



Tidak mahu menghampakan peminatnya yang merindui nyanyiannya, Nourul memberitahu program ‘Firetalk’ akan disusuli dengan ‘showcase’ persembahan istimewa daripadanya.

Jadi yang merindui lagu-lagu malar segarnya seperti ‘Cinta Azali' dan sebagainya, pastikan anda hadir beramai-ramai untuk berhibur bersamanya, di samping menimba ilmu.

Tiket-tiket berharga RM550 (VIP – berserta makan malam bersama Nourul), RM250 (GOLD) dan RM150 (SILVER) boleh diperoleh secara online melalui Firetalk & Showcase by Nourul Depp atau menghubungi Ina Mohd menerusi talian 017-99353909 mahupun Diana pada nombor 018-7601750

Selain dari itu Nourul memberi peluang kepada para pelajar IPTA dan IPTS untuk turut serta dengan hanya membayar RM45 bagi tiket kategori Silver. 

“Jumpa anda,” akhiri Nourul yang sangat teruja untuk kembali ke tanah air walau pun seketika waima bak kata pepatah, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.

Selamat kembali Nourul Depp dan jom bicara hangat bersamanya! - KitaReporters


11
21
0
8
0

Copy Link: