Piala Dunia Hoki 2023: Mario Garin kecewakan Malaysia ke suku akhir! Tetap pencapaian membanggakan!

Published by
KitaReporters


HASRAT skuad hoki lelaki negara untuk melangkah ke suku akhir tidak kesampaian apabila tewas 3-4 kepada Sepanyol menerusi penalti 'shootout' dalam perlawanan croosover untuk penentuan melangkah ke suku akhir di saingan Piala Dunia 2023 yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar pada 22 Januari 2023.  

Perlawanan terpaksa ditentukan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar. Meskipun Malaysia tewas, ia tetap membanggakan peminat kerana mereka hampir sahaja mengejutkan pasukan terbaik dunia ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan hoki


Dalam aksi sebenar, suku pertama dan suku kedua menyaksikan skuad kendalian Arul Selvaraj lebih banyak bertahan sementara Sepanyol lebih menguasai permainan. 

Bermula suku ketiga, penyerang utama negara, Faizal Saari meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-35. Jaringan tersebut hanya bertahan sebentar sahaja apabila pasukan yang berada di ranking kelapan dunia ini bangkit dengan dua jaringan pantas melalui Marc Miralles dan Xavier Gispert  untuk mendahulu 2-1. 

Suku keempat, Malaysia yang tertinggal satu jaringan terus melancarkan serangan dan berjaya menyamakan kedudukan melalui Shello Silverius pada minit ke-49. 



Dalam penentuan 'shootout' ini, tindakan bijak jurulatih Sepanyol membawa masuk penjaga gol gantian, Mario Garin membuahkan hasil apabila berjaya menafikan jaringan pemain Malaysia. 

Lima pemain utama yang ambil 'shootout', menyaksikan kedudukan terikat 3-3 dan terpaksa ditentukan melalui satu vs satu. Pemain utama Sepanyol, Miralles ternyata begitu tenang untuk menewaskan penjaga gol Malaysia sementara Firhan Ashari pula tidak berjaya meledak jaringan. 

Ketika 'shootout' terakhir yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3, Marc Miralles berjaya menyudahkannya buat Sepanyol namun Firhan Ashari gagal menewaskan penjaga gol lawan, Mario Garin. 

Sepanyol akan ke suku akhir dan akan menentang pasukan yang berada di ranking pertama dunia, Australia sementara The Speedy Tigers akan ke Rourkela dalam penentuan ranking dari 9-16. - KitaReporters


20
17
0
10
0

Copy Link: