Seperti kata penyanyi cilik Indonesia yang kini sudah bergelar suami dan ayah muda pada usia 20 tahun, Tegar Sepian melalui lagu popularnya, “Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang’ barangkali tepat untuk membayangkan gaya hidup yang dilalui penyanyi legenda Datuk Aishah.

Jika semasa bersama kumpulan Fan Club dari New Zealand, Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin , 57, memiliki tubuh langsing tetapi selepas berkahwin badannya naik mendadak sehingga memaksa beliau melakukan pembedahan batriatik bagi mengurangkan beratnya.

Dan kini, Aishah kembali ‘slim’ untuk terus berkarya apatah lagi setelah kembali solo dan seperti judul lagu terbaharunya, itulah ‘Ketentuan Takdir’ yang diterima sepanjang 36 tahun bergelar penyanyi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Wan Aishah Wan Ariffin


"Perjalanan menjadi anak seni membuatkan saya boleh terus menjadi lebih baik. Saya mahu terus berusaha jadi lebih baik dengan perbaiki dari pelbagai sudut dalam bidang ini. 

"Saya harap lagu ini akan memberi mesej yang baik sebab lagu ini ada penceritaan,” ujar Aishah pada majlis pelancaran single ‘Ketentuan Takdir’ baru-baru ini. 

Menurut beliau, ‘Ketentuan Takdir’ ciptaan Chevy Amry dan lirik oleh Datuk Habsah Hassan dianggap sebagai sebuah cerpen dalam empat minit yang liriknya bercerita mengenai keresahan dalam jiwa dan emosi.

“Apabila dapat baca lirik yang ditulis oleh Datuk Habsah Hassan, pada saya ia memberi makna yang baru dan saya boleh kaitkan dengan apa yang terjadi mengenai lagu itu. 

"Pada saya untuk menyanyi dengan baik, perlu ada kemampuan untuk fahami jalan cerita lagu itu. Apabila sudah dapat lirik saya setuju untuk teruskan. 

"Proses ini berlaku dengan cepat, Azlan Abu Hassan buat susunan dan seterusnya buat rakaman,” sambung Aishah sambil menganggap ‘Ketentuan Takdir’ ada kelainannya yang tersendiri.



Sebagai artis otai sepertinya kata Aishah, beliau perlu mencari kelainan dalam lagu tetapi tidaklah terlalu drastik sehingga peminat sedia ada lari.

“Saya kena cari satu keseimbangan di situ sambil kekalkan ‘signature sound’. Itu perkara yang saya perasan. Kalau penyanyi dulu ada ‘sound’ dia yang tersendiri. Jadi bila dengar dalam radio orang akan kenal pasti suara itu dulu. 

"Kalau kita bandingkan dengan zaman sekarang, orang lebih kenal lagu. Itu yang menjadikan identiti penyanyi. Dalam lagu ini saya mahu tekankan ‘signature sound’ itu. Tapi kalau boleh saya nak ia lebih segar dan relevan untuk muzik sekarang,” ulas Juara Gegar Vaganza musim keempat pada 2017 ini.

Berkongsi mengenai penghasilan video muzik (MV), Aishah meluahkan rasa kecewa disebabkan terdapat masalah untuk mendapatkan tempat rakaman yang diinginkan.

“Apabila tak dapat, jadi kita tak dapat nak persembahkan apa yang kita betul-betul mahukan. Tapi itu pengalaman pertama bekerja dengan pasukan produksi ini. Jadi kita belajar daripada kesilapan,” katanya tanpa menjelaskan lanjut.



Pun begitu, dalam masa sama, Chevy turut berkongsi cerita bagaimana Aishah bersusah payah untuk datang ke studio rakaman.

“Pada hari rakaman vokal, tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan banjir. Datuk Aishah terpaksa meredah banjir dalam perjalanan dari Ampang ke studio di Puchong yang sepatutnya mengambil masa 40 minit, tetapi akibat banjir, perjalanan mengambil masa lebih dua jam. 

"Rakaman vokal sepatutnya bermula pada jam 8 malam, tetapi Datuk Aishah tiba di studio jam 10 malam dengan basah kuyup. Namun semangat dia sungguh kuat untuk menyiapkan rakaman pada malam itu yang selesai pada jam 12 malam,” tambahnya panjang lebar.

Istimewanya susunan lagu ini turut mendapat sentuhan daripada Azlan Abu Hassan, adik kepada Allahyarham Adnan Abu Hassan yang juga komposer dan penerbit untuk lagu serta album Datuk Aishah sejak tahun 1990.

“Lirik lagu ini seakan-akan menceritakan mengenai kisah hidupnya sekarang. Ia dilihat sangat relevan dengan dirinya kerana liriknya adalah berdasarkan kisah benar mengenai suka duka hidup Datuk Aishah selama bergelar anak seni. 

"Lagu ini amat mencabar, moden dan relevan untuk zaman sekarang. Melodi lagu ini amat segar dan ‘cathcy’, sekali dengar sudah boleh melekat di jiwa,” ujar Chevy yang yakin lagu ciptaannya itu akan mendaoat sambutan ramai. - KitaReporters


17
8
0
16
0

Copy Link: