Bot rampasan yang ditenggelamkan oleh APMM Terengganu untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Redang. - Kredit gambar: UPDI


SEBANYAK 108 bot nelayan asing dari Vietnam bernilai RM162 juta ditengelamkan oleh pihak berkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Negeri Terengganu untuk dijadikan sebagai tukun.

Bot-bot terbabit yang telah ditahan melalui Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun 2020 oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali, KM Tegas dan KM Gemia yang melibatkan 53 kru termasuk tekong.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, terbaharu pihaknya melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Redang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Maritim Malaysia

Saiful Lizan Ibrahim


Katanya, kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2020 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Beliau berkata, pelupusan bot-bot ini sebagai tukun tiruan merupakan tindakan tegas Maritim Malaysia memerangi pencerobohan bot nelayan asing terutama dari Vietnam. 

“Jumlah denda mahkamah bagi keempat-empat bot ini membabitkan denda keseluruhan RM4.1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan proses pelupusan empat bot yang turut dihadiri Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, pada Rabu, 28 Julai 2021.

Saiful berkata, sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini.



“Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram,” katanya.

Beliau berkata, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Saiful Lizan turut menyeru kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlakon di perairan negara ke talian MERS 999. - KitaReporters


Gambar hiasan... Pulau Redang, Terengganu

5
2
0
0
0

Copy Link: