Piala Dunia Hoki 2023: Terbaiklah Speedy Tigers! Bangkit hidupkan peluang ke pusingan seterusnya!

Published by
KitaReporters


SKUAD hoki lelaki negara melakukan kebangkitan luar biasa untuk membenam Chile 3-2 dalam aksi kedua peringkat Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 yang diadakan di Bhubaneswar-Rourkela, India pada16 Januari 2023. 

Kemenangan ini sekali gus membuka peluang skuad negara ke pusingan kalah mati dan memburu tempat lebih baik. 

Namun ia bukan tugas mudah buat skuad bimbingan Arul Anthoni apabila bermula agak perlahan pada dua suku pertama sehingga membenarkan Chile mendahului 2-1. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan hoki


Mereka mendahului pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti dan Juan Amoroso tidak mempersia peluang terbaik tersebut.  

Tetapi kedudukan itu tidak lama apabila Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-26 melalui penalti. 

Beberapa kesilapan daripada barisan pertahanan membuatkan Martin Rodriguez meletakkan Chile kembali di hadapan pada minit ke-29. Keadaan tersebut memberi tekanan kepada permainan Malaysia yang memerlukan kemenangan. 

Menyedari hanya kemenangan sahaja yang boleh menghidupkan peluang skuad hoki negara, pemain mula memperkemas rentak permainan pada dua suku terakhir. 

Speedy Tigers berjaya membaiki segala kesilapan sebelum ini dan ternyata memberi kesan positif apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi Mohamad Ashran Hamsani melalui gol padang sebelum Norsyafiq Sumantri menjadi wira pasukan dengan gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-42.

Anak buah Arul akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang New Zealand di Stadium Kalinga Bhubaneswar pada Khamis, 19 Januari 2023 ini dan mereka perlu mengharapkan Chile kalah perlawanan seterusnya untuk membuka peluang lebih baik untuk Malaysia. 

Untuk rekod, pencapaian terbaik kem hoki negara adalah pada tahun 1975 apabila menamatkan cabaran pada kedudukan keempat pada kejohanan tersebut. - KitaReporters


Kredit Foto : Malaysian Hockey Confederation 

16
13
0
13
0

Copy Link: