Hasrat untk mengejutkan juara bertahan dalam acara regu berpasukan tidak kesampaian apabila Thailand mudah mempertahan pingat emas Sukan Asia dengan mengecewakan Malaysia pada perlawanan akhir Sukan Asia 2022 pada 29 September 2023. 

Semua sedia maklum, Thailand memang jaguh dalam sukan tersebut dan sukar untuk pasukan di Asia lain untuk menggugat kedudukan mereka. 

Malaysia tewas 0-2 dalam dua perlawanan dan tiada mampu untuk menang waima satu set pun. 

Biarpun lawan masih membariskan pemain lama namum keupayaan dan prestasi mereka tetap sama seperti pemain muda dan masih menjadi kesukaran mana-mana pasukan menewaskan mereka. 

Dalam perlawanan pertama, kedua-dua pasukan tidak menurunkan regu berpasukan terkuat mereka dan Malaysia meletakkan Haziq Hairul Nizam selaku tekong, Noraizat Mohd Nordin sebagai perejam dan Farhan Adam sebagai pengumpan. 

Misi untuk mendapatkan mata pertama tidak berjaya apabila straight set 15-21,14-21 kepada regu Thailand. 

Beberapa kesilapan mudah juga memberikan kelebihan buat lawan untuk mendapatkan mata mudah. 

Tewas perlawanan pertama, regu berpasukan kedua dibarisi Syahir Rosdi sebagai tekong, Amirul Zazwan selaku pengumpan dan Azlan Alias sebagai perejam menjadi harapan untuk menyamakan kedudukan. 

Biarpun bermula dengan baik tetapi pada pertengahan set pertama, momentum sedikit terganggu membuat Malaysia tewas 13-21.

Ketua jurulatih Malaysia, Ahmad Jais melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Syahir selepas melihat beliau seperti hilang sedikit momentum. 

Kemasukan Zarif Merican memberi sedikit sinar dan berjaya mendapatkan beberapa mata penting serta hampir mengejar pada set kedua namun Thailand tetap utuh untuk menang 18-21.


Regu kedua berpasukan Malaysia cuba bangkit tetapi Thailand lebih cemerlang untuk mempertahan emas regu berpasukan pada Sukan Asia 2022. - Kredit foto: Bernama 


Malaysia akan turun kembali dalan acara regu dan kita mengharapkan anak buah Ahmad Jais mampu mempertahan pingat emas yang dimenangi mereka pada edisi Sukan Asia Palembang 2018. - KitaReporters

 

14
13
0
13
0

Copy Link: