Video| Maher Zain dah Back To You! Selepas 10 tahun senyap! Kembali dengan album penuh 16 lagu!
Published bySelepas hampir sedekad tanpa album studio penuh, ikon muzik berinspirasikan keimanan, Maher Zain kembali dengan album terbaharu berjudul 'Back To You', sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni dan spiritualnya yang semakin matang.
Dilancarkan oleh Awakening Music, album yang mengandungi 16 buah lagu ini mengangkat tema refleksi diri, keikhlasan dan tawakal, disampaikan menerusi gabungan bahasa Arab dan Inggeris serta pengaruh muzik pelbagai budaya termasuk ritma Afrika dan Afrika Utara.
Antara lagu-lagunya berjudul 'Take My Hand', 'Ya Muhammad', 'Allahu Ya Allahu' dan banyak lagi.
Ia hadir sebagai kesinambungan kepada kejayaan karya terdahulu seperti 'Rahmatun Lil’Alameen' dan 'Qalbi Fil Madinah' yang meraih jutaan pendengar di seluruh dunia.
Dalam satu sesi temu bual secara penstriman langsung bersama media pada 30 April 2026, Maher Zain berkata, judul 'Back To You' membawa makna yang cukup peribadi, merujuk kepada perjalanan kembali kepada Tuhan, keikhlasan dan tujuan hidup yang sebenar.
“Album ini dinamakan 'Back To You' kerana pada dasarnya ia tentang kembali kepada Tuhan, kepada keikhlasan, kepada tujuan hidup, dan kepada perkara yang benar-benar penting.
“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, saya berkembang dari sudut peribadi dan spiritual, dan projek ini mencerminkan perjalanan tersebut. Saya mahu muziknya terasa jujur, penuh renungan dan relevan, terutamanya ketika Ramadan apabila hati lebih terbuka dan mencari makna,” ujarnya.

Maher Zain.
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan dirinya dari sudut peribadi dan spiritual sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini menjadi asas kepada keseluruhan konsep album tersebut, dengan harapan agar muzik yang dihasilkan mampu menyentuh jiwa pendengar secara lebih jujur dan mendalam, khususnya dalam suasana Ramadan.
Album ini turut memperlihat kolaborasi global menerusi siri kem penulisan lagu yang berlangsung di Maghribi, Turki, Sweden dan Indonesia, menghimpunkan bakat kreatif dari pelbagai latar belakang.
Antara yang terlibat termasuk artis Awakening Music, Harris J serta rakan kolaborasi lama, Bara Kherigi.
Menariknya, 'Back To You' tidak dilancarkan secara konvensional, sebaliknya, ia diperkenal melalui pendekatan lagu diperkenal secara berfasa yang disusun selari dengan perjalanan spiritual bulan Ramadan lalu.
Menurut Maher Zain, pelanbcaran album baharu itu bermula sejak penghujung Januari 2026, yang memperlihat pelancaran lagu baharu secara mingguan setiap hari Khamis bermula awal Februari 2026 dan berterusan sepanjang Ramadan 2026, membolehkan setiap karya dihayati sebagai momen refleksi tersendiri.
Sementara itu, Bara Kherigi menyifatkan pendekatan ini sebagai usaha untuk memberi ruang dan makna kepada setiap lagu, selari dengan kedudukan Maher Zain sebagai artis yang muziknya telah menjadi sebahagian daripada suasana spiritual Ramadan di peringkat global.
“Maher Zain ialah artis luar biasa yang muziknya sudah menjadi sebahagian daripada suasana spiritual dan budaya Ramadan di seluruh dunia. Ini merupakan album studio penuhnya yang pertama dalam tempoh sepuluh tahun, dan kami sangat teliti dalam merancang cara pelancarannya.
“Daripada tergesa-gesa, kami membentuk album ‘Back To You’ sebagai satu perjalanan yang berkembang minggu demi minggu sepanjang Ramadan, memberi ruang, makna dan penghormatan kepada setiap lagu,” jelas Bara Kherigi.
Secara keseluruhan, album ini menyentuh pelbagai dimensi emosi dan spiritual termasuk kebergantungan kepada Tuhan dalam menghadapi ketidakpastian, kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, serta kerinduan manusia terhadap petunjuk dan rahmat Ilahi.
Lagu-lagu ini membentuk satu perjalanan muzik yang direka untuk menemani pendengar sepanjang salah satu tempoh paling bermakna dalam kalender spiritual umat Islam.
Menerusi album 'Back To You', Maher Zain terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu suara paling berpengaruh dalam muzik berinspirasikan keimanan masa kini, mempersembah sebuah karya yang bukan sekadar didengar, tetapi dihayati dari minggu ke minggu melalui refleksi, kehadiran jiwa dan hubungan spiritual yang lebih mendalam. - KitaReporters
