SERONOK, sebak, sedih namun menghiburkan, begitulah campuran perasaan yang dapat disaksikan pada Konsert ‘Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022’ yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam 6 Ogos 2022.

Bukan sahaja oleh penonton yang bersorak riang sambil bersama menyanyikan lagu-lagu kegemaran masing-masing mengiringi pasangan adik beradik Pak Zain ini namun Anuar dan Ziana sendiri terharu dan sebak dengan sambutan yang diberikan apatah lagi mendapat restu ayah, Zain Abdullah dan emak, Robiah Abdul yang turut hadir. 

“Kali terakhir abah menonton persembahan Kak Gee pada konsert unplugged iaitu pada tahun 1996 dan juga konsert Ziana Zain in The Park (2001), abah sekarang dah berusia 84 tahun dan emak pula, 71 tahun tetapi mereka sanggup datang malam ini ditemani dua anak teruna saya, Muhammad Amar dan Muhammad Aiman,” cerita Ziana membahasakan dirinya Kak Gee, terharu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Anuar Zain



Turut menghargai kehadiran keluarga, Anuar tidak ketinggalan mengenang bagaimana abahnya begitu tegas dalam mendidik mereka bahkan mendedahkan bagaimana beliau boleh terus bernyanyi disebabkan emaknya.

“Emak saya seorang yang tenang dan apabila dia bertanya tidakkah saya mahu terus bernyanyi, saya rasa terkejut dengan pertanyaannya itu. Barangkali sebagai ibu, beliau nampak kebolehan saya padahal waktu itu tak terfikir pun mahu terus  menyanyi sedangkan waktu itu ramai penyanyi  hebat  seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk M. Nasir, Zamani dan lain-lain,” kenang pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain, 52 tahun ini. 

Sehubungan itulah beliau menyahut  pandangan  emaknya dan tidak menjangka keputusannya menceburi bidang nyanyian seperti kakaknya, Ziana diterima ramai sehingga kini.



'“Anda  boleh sahaja ke tempat lain tetapi anda memilih untuk hadir  di sini malam ini dan itulah yang membawa energi postitif untuk kami  terus menghiburkan anda semua. Terima kasih,” lontar Anuar kepada lebih kurang 2,800 penonton yang hadir sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Turut bersama memberikan sokongan menyaksikan konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd ini beberapa rakan selebriti antaranya Misha Omar, Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil, Ernie Zakri, Syamel, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan Rozita Che Wan serta penyanyi cilik pasangan Anuar dalam lagu 'Kain Pelekat' Ellina.

Sebaik tirai persembahan dibuka, Anuar dan Ziana menghangatkan suasana dengan lagu duet ‘Sangkar Cinta dan ‘Bila Resah’ secara medley.



Walaupun penonton tidak sabar menantikan lagu-lagu popular berkumandang namun yang menjadikan konsert selama tiga jam pada malam penuh bersejarah buat kedua adik beradik ini tentulah telatah dan komunikasi mereka dengan penonton.

Terserlah sisi humor Ziana mahu pun Anuar ketika melayan penonton malah ketika mahu menghadiahkan baju-T sempat pula Anuar berkata, ‘yang duduk depan ini semua kaya-kaya’ dan Ziana pula sambut gurauan itu kemudian dengan berkata,”Anuar pesan kata kak depan tak boleh bagi tetapi Kak G tak dapat nak turun bawah sebab baju ni beratnya 10kg” disusuli ketawa ramai.

Pun begitu, baik Anuar mahu pun Ziana, mereka mengakui tetap gementar dan tidak lena tidur menjelang konsert.

“Pak Zain pun kata tak lena tidur, apatah lagi kami, ‘ dedah Ziana ketika ditemui pada sidang akhbar selesai konsert kira-kira jam 12 tengah malam.



Selama tiga jam, penonton dihiburkan dengan lagu-lagu malar segar seperti Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah dari Ziana. 

Manakala Anuar menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Ketelusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

Tidak mahu menghampakan peminat dengan lagu-lagu lain, Ziana dan Anuar memilih beberapa buah lagu atas permintaan ramai yang dinyanyikan secara acapella seperti antaranya “Kemelut Di Muara Kasih’ dan "Jangan Bersedih Lagi'.

Dalam pada itu, masing-masing memilih untuk bertukar lagu di mana Ziana menyampaikan lagu Anuar Zain iaitu ‘Sedetik Lebih’ manakala Anuar membalas dengan lagu  kakaknya, “Lara”.

Mengakui agak mencabar diri masing-masing membawakan lagu berkenaan memandangkan tahap vokal mereka sering kali dikatakan tidak sepadan. 

Namun dengan persembahan yang mantap daripada kedua-duanya, mungkinkah ada album duet dari Ziana dan adiknya, Anuar?

“Insya-Allah, kemungkinan itu ada,” jelas Anuar sambil mendapat anggukan daripada Ziana yang hanya dua tahun beza usia kakaknya daripadanya.



Apa pun yang pasti, jika Singapura menjadi negara di mana mereka pernah bergabung buat pertama kalinya sekitar 12 tahun lalu, Anuar dan Ziana akan mengakhiri konsert mereka di negara kota Singa itu pada 24 September 2022.

“Kami rasa terharu dapat kembali ke pentas di Singapura. Insya-Allah kami akan memberikan persembahan terbaik sebagaimana di Kuala Lumpur. Jika ada salah dan silap mohon dimaafkan. Yang penting kami mahu menghiburkan semua,” ujar Anuar Zain sambil memberitahu, kemungkinan akan mengekalkan lagu-lagu yang dinyanyikan dengan penambahan satu dua lagu jika perlu. 

"Nantikan kami di Singapura dan berdoa agar kami dapat kembali menghiburkan peminat di Kuala Lumpur kerana kemungkinan disebabkan tiket ‘sold out’ ramai yang khabarnya terkilan tidak dapat hadir. Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada kami berdua,” akhiri Ziana. - KitaReporters. 


Video kredit Siti Dimiatri.


13
11
0
9
0

Copy Link: