Video| Bukan sekadar rindu kekasih! Nuha ingati kesilapan dan tangisi diri sendiri dalam Malam-Malam!
Published byDalam landskap muzik tempatan yang semakin bereksperimen dengan gabungan bunyi rentas budaya, penyanyi dan penulis muda, Nuha Bahrin, 25, tampil dengan pendekatan berani menerusi single terbaharu “Malam-Malam”, sekali gus memperlihat evolusi artistiknya yang lebih matang dan introspektif.

Lagu hasil kolaborasi bersama Ezra Kong ini menggabungkan elemen Arab dan Sepanyol dengan sentuhan pop Melayu moden, menghasilkan suasana yang tenang namun sarat emosi.
Berteraskan tema kerinduan, karya ini mengangkat kisah dua insan yang pernah berkongsi detik indah di bawah cahaya bulan, tetapi kini hanya tinggal memori yang tidak mungkin diulang.
Dalam karya ini, bulan menjadi simbol masa dan detik yang tidak dapat diulang.
Bagi Nuha atau nama penuhnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin, lagu ini membawa dimensi emosi yang lebih mendalam, termasuk refleksi terhadap dirinya sendiri.
“Malam-Malam selalunya buat Nuha overthink dan ingat semua kesilapan serta rasa rindu pada diri sendiri yang dulu, yang lebih yakin dan lebih carefree.
"Kadang-kadang kita lupa bagaimana untuk tidak terlalu peduli dengan pandangan orang lain, dan Nuha sangat rindukan perasaan itu,” katanya, sambil mengakui bahawa pengalaman tersebut membantu dalam menyampaikan emosi lagu dengan lebih tulus.

Dalam menyampaikan emosi lagu ini, Nuha menekankan kejujuran dalam vokalnya, selari dengan nuansa muzik yang unik, menggabungkan kelembutan dengan elemen emosi yang tersirat seperti rasa kehilangan dan persoalan yang tidak terjawab.
“Nuha cuba keluarkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih raw dan jujur. Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya ‘kenapa you tiba-tiba hilang?’
"Jadi dalam delivery, Nuha seimbangkan kelembutan dengan sedikit emosi dan longing supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan yang menjadi inti pati naratifnya.,” tambah pelantun lagu popular, ‘Casablanca’ ini.
Sementara itu, sebagai komposer dan penerbit, Ezra turut berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah nyata.
“Inspirasi ‘Malam-Malam’ hadir ketika mendengar kisah rakan-rakan yang bertugas sebagai polis, yang bekerja pada saat orang lain menyambut raya.
"Perasaan rindu itu kemudian saya olah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menunggu insan tersayang pulang dari tugas. Apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, terasa jelas bahawa lagu ini menemukan pemilik yang tepat,” ujar Ezra.

Ini kali kedua Nuha berkolaborasi dengan Ezra Kong (tengah).
Ezra Kong merupakan antara komposer paling berpengaruh di Malaysia ketika ini, terkenal dengan sentuhan “Midas” kerana hampir setiap lagu gubahannya menjadi hit besar serta sering meraih anugerah utama.
Single ini turut menandakan fasa baharu buat Ezra Kong melalui projek mimpi, sebuah ruang kreatif untuk beliau bereksperimen dan menghasilkan karya yang lebih jujur dan bersifat peribadi.
“Mimpi adalah projek baru yang dimulakan sebagai ruang untuk semua penulisan saya ke hadapan. Ia menjadi tempat kolaborasi bersama artis, label, dan A&R untuk menyampaikan karya yang lebih jujur dan dekat di hati saya,” jelas Ezra.
Beliau memaklumkan bahawa pendekatan dalam lagu ini berbeza daripada karya terdahulu, dengan fokus kepada keseimbangan antara identiti muziknya dan jiwa penyanyi.
“Melalui projek seperti ‘Malam-Malam’, saya membawa pendekatan berbeza dari segi sound, susunan, dan lirik mencari titik temu antara citarasa saya dan jiwa artis itu sendiri.” tambah Ezra.
Kolaborasi ini turut melibatkan penulis Sufairah Mohd, menjadikannya satu lagi percubaan segar dalam eksplorasi muzik Nuha.
Penyanyi itu menyifatkan pengalaman bekerjasama sekali lagi dengan Ezra sebagai peluang untuk keluar daripada zon selesa dan meneroka identiti bunyi yang lebih berani.
"Ini kali kedua Nuha bekerjasama dengan Ezra, dan proses ini sangat membuka ruang untuk explore benda baru. Nuha belajar untuk tidak takut keluar dari comfort zone.
"Gabungan bunyi Arabic, Spanish dan Malay dalam lagu ini sangat berani dan inspiring. Nuha rasa honoured dapat menjadi suara untuk karya ini,” akuinya.
Dengan gabungan elemen muzik yang unik serta penceritaan yang dekat dengan pengalaman manusia “Malam-Malam” diharapkan dapat menjadi teman setia pendengar yang mencari karya beremosi dan autentik pada waktu malam.
“Nuha harap pendengar akan rasa mereka tidak keseorangan. Rindu, sama ada kepada seseorang atau diri sendiri adalah perasaan yang sangat manusiawi. Kalau kita merindui seseorang, itu bermaksud mereka pernah sangat bermakna dalam hidup kita, dan cinta itu tidak pernah sia-sia,” akhiri Nuha.
Video muzik (MV) “Malam-Malam” turut memperkukuh penceritaan lagu dengan visual puitis dan simbolik, memaparkan seorang wanita yang terperangkap dalam kenangan cinta yang telah hilang.
Watak lelaki digambarkan hadir dalam setiap momen, namun hanya sebagai bayangan memori -- menguatkan tema kehilangan dan kerinduan yang berpanjangan. Jadi nantikan pelancarannya tidak lama lagi ya!- KitaReporters

