DUA pusat pengajian tinggi dalam negara bersetuju menjadikan legasi Datuk Zainal Abidin Mohamad, 64, Zainalabidin, sebahagian subjek kajian bagi pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang muzik.  Bidang yang menawarkan kajian tentang tokoh artis ketika mereka lagi masih hidup.

Pengarah Muzik yang juga seorang maestro (pakar muzikal), Michael Veerapen berkata setakat ini Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan sebuah lagi di Johor sudah bersetuju penyanyi itu akan memberi maklum balas kepada keperluan pengajian mereka termasuk  bersemuka dalam kuliah.

"Kita mahu menghargai jasa artis menaikkan nama negara serta inspirasi kepada orang muda dalam bidang muzik ini ketika masih hidup, bukannya selepas meninggal dunia," katanya yang bertugas sebagai pensyarah di USM dalam bidang muzik gig dan baskers.


Michael Veerapen


Michael berkata idea itu ditawarkan kepada universiti dalam dan luar negara dengan Zainal akan hadir di kuliah untuk berkongsi  pengalaman selama 45 tahun sebagai bahan kajian.

Michael lulusan 1982 dari Universiti Berkley di Amerika Syarikat dan pakar dalam piano jazz, penerbit, ketua studio, mentor dan pengasas bersama Malaysian Jazz Piano Festival berkata, jika sebelum ini pelajar hanya kenal pemuzik luar negara, sudah tiba masa mereka kaji kejayaan artis tempatan bukan saja Zainaabidin malah Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sudirman.

"Kita patut jadikan pengajaran bagaimana kita terlepas kisah kehebatan Tan Sri P Ramlee. Sekarang kita ada artis yang masih hidup lagi dan inilah peluang kenal mereka," katanya.

"Hijau" dihasilkan pada 30 Mei 1991 - single pertama album solo pertama Zainal Abidin guna namanya sebagai judul album. Lirik  campuran bahasa Melayu dan loghat Kelantan serta melodi lagu ini dicipta oleh Mukhlis Nor terkenal kerana mengangkat tema alam sekitar. 

Sebab itu juga konsert Sound Spirit Zainalabidin: Legacy of Sound ini yang diketuai Michael diperkenalkan kepada pelajar di menara gading dan akan diteruskan ke seluruh negara, diusahakan oleh Afrozapin Network, produksi milik Zainalabidin. 

Hampir 300 pelajar universiti diundang berkongsi pengalaman dengan tokoh muzik termasuk Sunil Kumar dan Steve Thorton.





Zainal menyifatkan dirinya anak terbuang kerana selepas tiga hari dilahirkan, dia diserahkan untuk dibesarkan oleh datuk dan neneknya yang bekerja sebagai pemuzik okestra Jepun dan Inggeris.

Dedahan dua budaya irama keroncong dan lagu-lagu Inggeris klasik memberi ilham kepada untuk menggabungkan dan mengangkat muzik dan irama mewakili kaum negara ini ke pentas dunia.

Zainalabidin dilahirkan pada Rabu, 3 Jamadilawal 1379 Hijrah bersamaa Masihi 4 November 1959 di Johor Bahru, Johor dan merupakan anak kelima daripada 10 beradik. Beliau bermula dengan bermain alat muzik dram dan perkusi. 

"Sejak usia lapan tahun selepas datuk dan nenek meninggal dunia, saya berpindah tangan dari satu keluarga ke keluarga , hidup sangat daif. Saya pelajar cemerlang dengan semua lulus A tapi tidak mampu sambung belajar dan ketika itu juga penderaan mental dan fizikal jangan cakaplah.

"Saya ke Singapura bekerja sebagai pemain trombon di pusat pengurusan pengkebumian orang Cina. Saya dibayar seringgit hingga 15 ringgit yang menjadi sumber kewangan sara keluarga. Sentiasa ada bawang merah dan kulit limau dalam poket baju untuk tambah angpow. 

"Ada ketika tu, saya berdoa setiap hari supaya ada kematian untuk dapatkan duit banyak," katanya disambut gelak ketawa penonton.

Hanya pada 1979 bersama dengan kumpulan Headwind berhijrah ke Kuala Lumpur dan mencipta nama sebagai kumpulan popular seiring dengan Search dan Wings.

Tidak lama kemudian, Zainalabidin mengambil keputusan bergerak solo dengan memperkenal rama muzik Afro-Asia. Muzik ini membawa pembaharuan dalam industri hiburan tanah air dan menjadi bunyi signatur Zainal kerana mahu menjadi pemuzik yang hebat, artis itu kena selangkah ke depan berbanding trend era semasa.



Bersama Headwind sebagai vokalis, Zainal berjaya memukau peminat dengan lagu-lagu seperti “Suraya”, “Camar Putih” dan “Hanya di Radio”. 

Zainal meninggalkan Headwind dan mencari hala tuju muzik yang menjadi kegemarannya. Pada 1992, Zainal menyertai Roslan Aziz Production (RAP) dan menghasilkan album solo. 

Kejayaan Zainal cukup banyak untuk disenaraikan satu persatu. Yang paling penting, album Zainal berjudul ‘Gamal’ yang dikeluarkan pada tahun 1994. 

Menampilkan beberapa pemuzik antarabangsa seperti legenda Amerika Paul Simon, gitaris Randy Bernsen, gitaris bass Armand Sabal-Lecco dan Steve Thornton, album yang melihat Zainal memikul tanggungjawab sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit, diiktiraf sebagai bertaraf dunia. Malah ia berjaya menembusi pasaran Australia, Brazil, Jepun, Perancis, Indonesia, Amerika dan Sweden.

Ekoran kejayaan ‘Gamal’ dan album ‘Terang’, Zainal dijemput pemuzik ternama Phil Collins untuk menyanyikan komposisinya yang telah dihasilkan khas untuk filem animasi ‘Tarzan’ (1999). 

Walaupun mempunyai pengalaman yang banyak, Zainal tak lokek berkongsi ilmu. Menerusi program Mentor musim pertama, Zainal telah mendidik Pija Yasin sehingga gadis itu berjaya dinobatkan sebagai juara.

Menjadi artis bukan mudah. Bukan setakat kita menempel dah boleh digelar artis. Keghairahan (passion), latihan dan mencuba idea di luar kotak adalah cara untuk anda mengekalkan popular dan bertahan lama. 

Zainal pernah berkahwin dengan seorang model, Natasha Gabriel Abdullah dan mendapat dua anak sebelum bertemu dengan Datin Angelina Asmawi yang dinikahinya pada 2003. - KitaReporters



24
21
0
18
0

Copy Link: