NAMA Muhammad Zareef Hussein Anwar Hussein mungkin masih kedengaran baharu kepada halwa telinga peminat seni hiburan namun sedar atau tidak, beliau merupakan satu-satunya penyanyi muda berbakat yang pernah mengalahkan Aina Abdul.

Wow! Hebat ke tidak?

Mengalahkan Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-35, Aina Abdul, 27, sudah tentu satu kebanggaan yang tidak dijangkakannya tetapi hakikatnya itulah pencapaian terbaik Zareef ketika mencabar Aina di dalam program realiti TV, Vokal Mania 2020 pada episod yang kelima melalui lagu ‘Baldu Biru’.



Jika anda ingat, Zareef  sebagai ‘rookie’ terpaksa bersaing menyanyi bersama idolnya, Aina Abdul melalui skrin sahaja memandangkan Aina terpaksa menyampaikan lagu tersebut di rumah kerana sedang menjalani kuarantin kendiri. 

Barangkali. keadaan itu menyebelahi Zareef apabila juri, Yusry Abdul Halim dan Misha Omar memberikan kemenangan kepada Zareef atas keberaniannya menyampaikan lagu dalam keadaan sukar dengan menyanyi tanpa pasangan di sisi tetapi Zareef mampu melakukannya. 

Itulah rezeki namanya kan?



Apa pun, menggunakan nama pentas, Zareef Sein, penyanyi muda berusia 21 tahun berasal Kuala Lumpur ini tidak syak lagi mempunyai potensi dalam bidang nyanyian apatah lagi bakat nyanyiannya dimulakan seawal usia 13 tahun.

Dan terbaharu, walau pun negara masih berdepan pandemik COVID-19, Zareef sekali lagi bertuah kerana diberikan peluang oleh syarikat rakamannya, Warner Music Malaysia melancarkan single solonya berjudul ’Cinta Syurgaku’.



“Saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia atas peluang yang diberikan untuk merakamkan lagu ‘Cinta Syurgaku’ ini. Saya berharap ia dapat mengetengahkan semula bakat saya kepada peminat seni dan pendengar muzik tempatan,” ujar Zareef.

Menariknya, lagu tersebut adalah hasil ciptaannya sendiri sungguh pun diberikan susunan muzik indah oleh komposer terkenal, Audi Mok

“Idea untuk lagu berkenaan timbul ketika saya berada di dalam bilik. Semua lagu yang saya tulis adalah berdasarkan kisah yang terjadi dalam ‘dunia cinta’ saya yang tidak berakhir dengan baik. Tetapi apabila saya menulis lirik, saya andaikan cerita cinta itu berakhir dengan happy ending,” dedah Zareef jujur.

Kiranya cinta Zareef selama ini masih tidak kesampaianlah agaknya ya?



Bagaiamana pun, khabarnya proses untuk menulis lirik ‘Cinta Syurgaku’ mengambil masa yang singkat sahaja iaitu 30 minit manakala proses merekodkan lagunya pula mengambil masa hanya 3 jam.

Menurut Zareef, bekerjasama dengan komposer terkenal, Audi Mok merupakan satu penghargaan buat dirinya sebagai pendatang baru di dalam industri muzik Malaysia.

Dengan peluang yang diperoleh, Zareef berharap lagu singlenya itu dapat diterima pendengar muzik sekali gus memeriahkan lagi industri muzik Malaysia dalam masa-masa sukar ini,

'Cinta Syurgaku sudah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music  manakala muzik videonya telah dilancarkan  di YouTube Warner Music Malaysia sejak 7 Julai lalu. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: