M Rozi Bidin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang peniaga kecil. - Kredit gambar: MAIDAM


GOLONGAN asnaf di Terengganu yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyalurkan bantuan kepada golongan berkenaan. 

Menerusi bantuan itu, MAIDAM mengagihkan RM101.3 juta wang zakat, dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2021 ini bagi membantu golongan yang terkesan akibat wabak tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, bantuan itu diagihkan melalui 10 inisiatif khas yang dilaksanakan MAIDAM secara berterusan sejak Januari 2021. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MAIDAM

M Rozi Bidin. - Kredit foto: Berita Harian


Katanya, antara penerima bantuan ialah pemandu teksi, penarik beca, penjaja dan tukang kasut yang menerima sumbangan barang keperluan sempena Ramadan.

Beliau berkata, MAIDAM juga mengagihkan bantuan pelitup muka dan barang keperluan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikenakan kuarantin di asrama, ketika peperiksaan itu berlangsung.

Bagi melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pula, Rozi berkata, pihaknya turut memberi tablet kepada anak-anak asnaf melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM.


Seorang pengawal keselamatan turut menerima sumbangan MAIDAM daripada Rozi.


"Terbaharu, seramai 21,492 ketua isi rumah iaitu penerima bantuan khas zakat MAIDAM akan menerima bantuan sebanyak RM200 agar dapat meringankan beban kewangan mereka, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.” katanya dalam satu kenyataan media hari ini, Khamis 10 Jun 2021.

Katanya, bantuan tersebut akan disalurkan terus ke akaun penerima secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM4,298,400.

"Diharapkan bantuan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh asnaf untuk membeli barang keperluan harian, terutama makanan asas," katanya.



Beliau berkata, bantuan khas itu juga sudah disalurkan kepada 1,098 asnaf yang tinggal di daerah Besut ketika daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pada 22 Mei 2021 lalu, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM219,600.

Katanya, MAIDAM berterima kasih kepada semua pembayar zakat di Terengganu kerana ramai golongan sasar sudah menerima manfaat agihan bantuan. - KitaReporters


4
1
1
0
0

Copy Link: