Anda perasan tak yang TV9 sudah berwajah baharu?

Iya, selari dengan angka bernombor 9, TV9 memilih 9 September 2021 lalu sebagai tarikh melancarkan penampilan saluran itu dengan wajah baharu untuk menjadi destinasi hiburan keluarga dalam kalangan penonton setianya.

Jika anda prihatin, tentu perasan saluran ini telah melakukan perubahan secara berperingkat-peringkat dengan mengaktifkan waktu perdana lebih awal kepada pukul 6.00 petang.

“Selari dengan pembaharuan program TV9 yang lebih rileks dan santai, kami telah berkolaborasi dengan Datuk Rosyam Nor, Alif Satar, Amyra Rosli, Naim Daniel dan Zharif Zhafri selaku rakan-rakan TV9 yang mewakili dua komponen utama TV9 iaitu keluarga (family) dan kepentingan masyarakat (community interest),” ujar Cik Sherina Nordin, (gambar bawah) Ketua Pegawai Operasi TV9 dalam sidang media secara maya pada 9 September 2021.



Antara yang hadir pada sidang media maya dari kiri atas: Naim Daniel, Malek McCrone, Alif Satar, Rosyam Nor, Amyra Rosli dan Intan Najuwa.


Turut hadir Mohd Redzuan Abdul Manap, Ketua Pengarang Berita, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima bersama kesemua barisan artis yang disebut oleh Sherina selaku rakan-rakan TV9 berserta pelakon daripada ‘Budak Intern’ iaitu Intan Najuwa, Syafi Tee, Bella Dowanna dan Malek McCrone.


‘Budak Intern’ yang akan bermula 22 September 2021, setiap Rabu dan Khamis, pukul 9.30 malam merupakan drama bersiri 16 episod mengisahkan suka duka sekumpulan pelatih industri yang baru hendak menjinak dalam industri pengiklanan.

Menurut Sherina memandangkan trend masyarakat menonton TV sudah berubah sejak pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) pada tahun lepas (2020), inilah waktu yang sesuai untuk TV9 memperkenalkan pembaharuan pada slot waktu dan kandungan program supaya kekal relevan.

“Kami berharap agar TV9 menjadi destinasi keluarga anda yang dapat menemui kepuasan, keriangan dan menikmati sajian program yang lebih santai,” tambahnya.



Melalui perubahan itu, waktu perdana di TV9 bermula pada pukul 6.00 petang dengan program animasi terbaik dari dalam dan luar negara, diikuti dengan Buletin TV9 pada 7.00 malam, seterusnya program bual bicara baharu, 'Sembang Viral', 'Senario', drama-drama menarik seperti 'Budak Intern', 'The Venom’s Tale' (Thailand), 'Flower of Evil' (Korea) serta slot 'Kuasa 3 Malam' yang menampilkan 3 filem popular tempatan dan Bollywood dalam satu minggu. 

Tidak lupa juga dokumentari khas bersempena dengan Hari Malaysia iaitu  'Menjulang Takzim Jalur Gemilang' serta drama bersiri baharu ‘Keluarga Untuk Disewa’ dan ‘Mr. Millenium’ yang dijangka bersiaran pada hujung tahun nanti.

‘Menjulang Takzim Jalur Gemilang’ yang diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia dan bakal ditayangkan pada 16 September 2021 memaparkan sejarah di sebalik nama Jalur Gemilang, bendera kebanggaan Malaysia. 

Apakah kepentingan bendera dalam perspektif Islam? Dan apakah peranannya dalam pembinaan negara? Semuanya akan terjawab dalam dokumentari berkenaan.



Sementara itu, antara yang paling menarik dan bertepatan dengan dunia digital sekarang ini tentunya program berjudul ‘Sembang Viral’, sebuah kapsul berdurasi 10 minit dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan Fedtri Yahya.

Bakal bersiaran pada setiap hari pukul 7.30 malam bermula 13 September 2021, mereka akan membincangkan isu-isu yang dikongsikan netizen di media sosial dari sudut Islam secara santai bersama-sama dengan ahli panel jemputan.

Program begini memang menarik untuk didengar bagi kita mengetahui baik buruknya apabila netizen berkongsi sesuatu kisah viral yang menjadi perhatian ramai. Malah apabila dibincang dari perspektif Islam tentu kita fahami baik buruk dan kesannya, tak gitu?



Pendek kata, sebagaimana tagline ‘Janji Happy’ yang diutarakan TV9 buat penontonnya, pelbagai promosi menarik disediakan sepanjang September khususnya melalui kerjasama strategik bersama WOWShop.

Antara yang pasti menambat hati penonton yang suka membeli secara dalam talian adalah pulangan tunai sebanyak RM9 bersempena dengan sambutan ‘Janji Happy’ dan ‘WOW You, 3 Million’. 

Promosi ini akan berlangsung dari 13 hingga 30 September 2021 menerusi rancangan Sembang Viral. 

Jadi pastikan jangan ketinggalan dan terus terpaku di depan kaca TV9 ya. - KitaReporters

10
12
0
15
0

Copy Link: