Search yang dianggotai Datuk Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal mengumumkan secara rasmi pada acara Sidang Akhbar Khas, pada 20 Julai 2023, bahawa ia akan menganjurkan satu lagi konsert bersejarah yang dinamakan Konsert Fantasia Bulan Salju pada Sabtu, 12 Ogos 2023 bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting. 

Dibawakan oleh MIC Entertainment Group yang berpengalaman besar dalam penganjuran konsert artis-artis bertaraf antarabangsa seperti Super Junior – D&E (Korea), Jeff Chang (Taiwan), Liza Wang (Hong Kong) dan Michael Learns to Rock (Denmark) di arena acara berprestij itu, pemilihan Search sebagai artis dan kumpulan rock Melayu tempatan yang pertama diberi peluang ini oleh syarikat penganjuran tersebut adalah berdasarkan pelbagai faktor. 

Salah satunya adalah Search masih lagi dianggap sebagai kumpulan rock terunggul di Malaysia oleh peminat muzik bukan sahaja dari genre tersebut malah secara amnya. 



“Sejak ditubuhkan pada tahun 80-an sehinggalah ke hari ini, Search tidak putus-putus diberi kepercayaan oleh penganjur acara bertaraf antarabangsa untuk menghiburkan para peminat kami di rantau ini. 

"Tanggungjawab ini sungguh berat, lebih-lebih pada masa kini di mana peminat muzik lebih sofistikated. Namun demi legasi dan peminat-peminat sama ada yang lama mahupun dari generasi baru, kami berempat tidak jemu untuk terus berkarya. 

"Setiap konsert kami mempunyai keunikan tersendiri serta berbeza dari konsert yang sebelumnya. Konsert Fantasia Bulan Salju juga tidak terkecuali. 

"Nama konsert ini diambil dari salah satu lagu paling popular Search iaitu ‘Fantasia Bulan Madu’ yang kami ubah menjadi Fantasia Bulan Salju,” jelas Nasir yang juga merupakan antara anggota kumpulan Search yang terawal. 



“Konsert Fantasia Bulan Salju bukan konsert biasa yang diadakan sekadar untuk memenuhi permintaan. 

"Ia adalah bukti bahawa setelah empat dekad Search lalui segala pahit manis serta cabaran hebat industri muzik, karier Search terus kukuh dan masih kekal relevan,” kata Amy selaku vokalis utama Search. 

“Satu lagi keunikan Konsert Fantasia Bulan Salju pada Ogos ini adalah venue konsert itu sendiri. 

"Bertempat di pusat pelancongan tanah tinggi negara yang amat popular iaitu Resorts World Genting, peminat-peminat Search bukan sahaja dapat menonton konsert dalam kenyamanan cuaca dingin semula jadi, malah Arena of Stars juga menjadi pilihan begitu ramai artis dari serata dunia kerana ia mempunyai segala fasiliti bagi penganjuran konsert bertaraf antarabangsa. 

"Search sering kali menekankan bahawa kejayaan sesuatu konsert itu bergantung kepada pelbagai faktor seperti keselesaan, kualiti peralatan bunyi dan visual, keselamatan, harga tiket yang berpatutan, gaya di atas pentas, dan lain-lain lagi”, ujar Amy yang begitu dikenali bukan sahaja peminat muzik malah peminat fesyen di rantau Asia kerana keberaniannya untuk bereksperimen dengan gaya-gaya berani. 



Untuk pengetahuan lanjut, Arena of Stars, Resorts World Genting berkapasiti 5,000 orang dilengkapi dengan ciri-ciri concert hall terbaik setaraf dengan dewan konsert lain di Asia. 

Selain acara malam anugerah bagi meraikan industri hiburan tanah air dan lain-lain lagi, dewan berprestij tersebut jarang sekali menyaksikan penganjuran sebuah konsert solo artis tempatan secara besar-besaran. 

Setelah mencatat rekod sebagai artis pertama mengadakan konsert solo di Zepp KL pada tahun lepas (2022) dengan konsert Endemik, nampaknya Search sekali lagi melakar sejarah menjadi artis tempatan pertama dibawa oleh MIC Entertainment Group untuk mengadakan konsert solo di Arena of Stars.

MIC Entertainment Group sebagai penganjur Konsert Fantasia Bulan Salju menyatakan bahawa sudah tiba masanya mereka mengetengahkan artis artis tempatan untuk mengadakan konsert di Arena of Stars, Resorts World Genting. 



Brian Lim, Ketua Pegawai Eksekutif, MIC Entertainment Group, berkata, “Kami amat berbangga dengan kolaborasi hebat tiga penjuru antara Search, MIC Entertainment Group dan Resorts World Genting ini. 

"Arena of Stars bolehlah dikatakan sebagai jenama global dan dikenali dengan track record yang hebat dalam penganjuran acara dan konsert bertaraf antarabangsa, dan Search sebagai sebuah kumpulan rock legenda terunggul adalah pilihan paling tepat pihak kami untuk mengadakan konsert solo artis tempatan pertama di venue tersebut. 

"Kami akan teruskan inisiatif untuk menyokong lebih ramai artis tempatan mengadakan persembahan di Arena of Stars ini. 

"Saya percaya, dengan sokongan kuat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi peminat-peminat Search terutama di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, maka Konsert Fantasia Bulan Salju ini pasti dinobatkan sebagai konsert paling epik tahun ini (2023) justeru melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanah air terutama scene rock n roll. 

"Setakat ini sebanyak 60 peratus tiket telahpun dijual dan ada antaranya dibeli oleh peminat-peminat Search bukan sahaja di Asia malah dari benua Eropah.” 

Jelas Amy lagi menutup bicara, “Bersama-sama dengan Nasir, Hillary dan Man Kidal, kami tidak sabar untuk bertemu dengan semua peminat peminat Search dan menghangatkan suasana dingin Arena of Stars, Resorts World Genting dengan lagu-lagu signature Search yang bukan sahaja diminati ramai malah berjaya merentas generasi. 

"Kami juga ada beberapa kejutan untuk anda semua jadi jangan lupa dapatkan tiket-tiket anda yang sudahpun mula dijual pada 16 Mei 2023 lalu. Jangan ketinggalan dan temui kami di Arena of Stars pada 12 Ogos ini! Phewiittt!” 

Tiket Konsert Fantasia Bulan Salju sudah mula dijual pada 16 Mei 2023. Harga tiket bermula dari RM128 sehinggalah RM388 (VIP Fantasia) tidak termasuk caj untuk pemprosesan. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
9
0
6
0

Copy Link: