ANTARA pengunjung pusat snuker yang ditahan oleh polis dalam Op Pematuhan Covid-19 di pusat permainan itu di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri di Johor. - Kredit foto: Utusan Malaysia.


SERAMAI 10 lelaki yang melepas gian bermain snuker dikompaun RM23,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah pusat snuker di kawasan Taman Bukit Indah, di Johor Bahru pada Ahad, 20 Jun 2021.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam serbuan Op Pematuhan Covid-19 kira-kira 10.15 malam itu mendapati semua individu terbabit didapati mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa.

"Seramai 10 lelaki berusia di antara 18 hingga 40 tahun yang sedang leka bermain snuker, termasuk seorang pekerja premis itu yang bertugas sebagai penyelia merangkap juruwang, ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Kesemua mereka didapati tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal. Susulan itu, sembilan lelaki terbabit dikenakan kompaun RM1,500, manakala penyelia berkenaan pula dikompaun RM10,000.

"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021)," katanya seperti dipetik oleh Utusan Malaysia pada Isnin, 21 Jun 2021.

Dzulkhairi berkata, dalam serbuan itu, pihaknya  merampas dua set bola snuker (44 biji), empat batang kayu snuker, empat biji 'choke', satu unit kunci kawalan jauh dan wang tunai berjumlah RM275, sebagai bahan bukti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021). - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
0
0
0

Copy Link: