SKUAD bola sepak kebangsaan meraikan kemenangan 4-1 ke atas Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF sekali gus layak ke separuh akhir. Kredit foto: FAM


KEJAYAAN Malaysia mengalahkan Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa, 3 Januari, 2023, sekali gus layak ke separuh akhir, menerima pujian daripada penyokong Harimau Malaya.

Ia diangkat sebagai pencapaian menakjubkan pada ketika skuad negara dianggap tempang tanpa pembabitan pemain-pemain utama dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sebaliknya dibarisi ramai muka baharu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan jurulatih Kim Pan-gon

Faridzuan Che Hamid


Bagi bekas penyerang skuad kebangsaan dan Kedah era 1990-an, Faridzuan Che Hamid, kehebatan skuad kebangsaan itu adalah bukti kepada kemampuan jurulatih dari Korea, Kim Pan-gon yang berjaya mencorakkan permainan berkesan dan menarik sekali pun kehilangan ramai tonggak.

“Pan-gon berjaya membentuk sebuah pasukan mengikut acuannya walaupun pemain yang dimiliki dilabel peminat sebagai pilihan kedua selepas bintang utama dari JDT tidak menyertai skuad kali ini.

“Kebijaksanaan Pan-gon adalah beliau mampu mengeksploitasikan kebolehan setiap pemain pada tahap maksimum serta merangka taktikal yang bersesuaian dengan lawan dihadapi.

“Piala AFF ini menjadi medan untuk menguji kemampuan sebenar Pan-gon sebagai jurulatih skuad kebangsaan dan saya boleh katakan beliau berjaya melepasi ujian itu. Tabik untuk Pan-gon!” kata Faridzuan.


JURULATIH dari Korea, Kim Pan-gon arkitek yang membantu Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala AFF walaupun tanpa ramai pemain utama. Kredit foto: FAM


Malaysia mengutip sembilan mata untuk menduduki tangga kedua Kumpulan B selepas mengalahkan Myanmar 1-0, membelasah Laos 5-0, tewas 0-3 kepada Vietnam dan menewaskan Singapura 4-1 bagi menempah perlawanan separuh akhir menentang Thailand.

Secara keseluruhan menurut Faridzuan, Malaysia menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan namun beliau menganggap aksi menentang Singapura adalah persembahan terbaik Harimau Malaya sepanjang pertandingan ini.

Pada perlawanan itu skuad negara memperoleh jaringan menerusi Darren Lok (m-35), Stuart Wilkin (m-50,54) dan Sergio Aguero (m-88) sementara gol tunggal Singapura dijaringkan oleh Faris Ramli pada minit ke-85.

Faridzuan yakin, jika anak buah Pan-gon mampu mengekalkan corak permainan sama, Malaysia mampu mengatasi Thailand dan sekali gus layak ke perlawanan akhir.

“Bukan jaringan ke atas Singapura yang menjadi ukuran analisis saya sebaliknya saya tertarik dengan corak permainan Malaysia terutama dalam melakukan serangan balas yang pantas dan efektif.

“Bahagian tengah Malaysia sangat mantap terutama pemain yang menjaringkan dua gol itu. Dia (Stuart Wilkin) bukan sahaja bijak merencanakan serangan malah mampu melakukan penyudah.


STUART Wilkin (jersi No 8) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan untuk membantu Malaysia menewaskan Singapura 4-1 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 Janurai, 2023. - Kredit foto: FAM


"Ada beberapa isu saya tak setuju dengan TMJ tapi dalam hal ini, saya menyokong kenyataan beliau." - FARIDZUAN 


“Kalau main macam ni, tak ada masalah ke final! Saya menonton perlawanan Thailand menentang Indonesia dan berdasarkan persembahan mereka pada perlawanan itu, saya yakin Malaysia mampu kalahkan Thai.

“Cuma, jika perlu diperbaiki adalah bahagian pertahanan yang masih longgar. Kita tidak menolak hakikat bahawa pemain yang diturunkan belum mencapai tahap Shahrul Saad, Corbin Ong dan Matthew Davies tapi mereka adalah yang terbaik untuk skuad kali ini,” ujar Faridzuan.

Selain tiga pemain itu, Pan-gon turut tidak dapat menggunakan khidmat lapan pemain JDT iaitu Arif Aiman Mohd Hanapi, Nazmi Faiz Mansor, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Mohamadou Sumareh dan Naxto Insa serta pemain Pahang, Azam Azih atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau kecederaan.

Walaupun ramai yang menempelak tindakan pemain-pemain itu serta pengurusan JDT yang dianggap tidak mempunyai sikap nasionalisme serta meremehkan kepentingan negara namun Faridzuan melihatnya dari sudut positif.


FARIDZUAN CHE HAMID.


"Malah, saya respek kerana TMJ m
empunyai wawasan jauh untuk skuad negara." -FARIDZUAN


“Ada beberapa isu saya tak setuju dengan TMJ (Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) tapi dalam hal ini, saya menyokong kenyataan beliau bahawa pemain-pemain berkenaan perlukan rehat untuk tugasan lebih mencabar pada Piala Asia kelak. 

“Apatah lagi, Piala AFF ini memang tidak ada dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa). Menghantar pasukan kedua atau pada era 1970-an dikenali sebagai Malaysia B mahupun pasukan Harimau pada era 1980-an bukan perkara baharu terutama untuk pertandingan bertaraf jemputan.

“Ia lazimnya digunakan sebagai medan bagi melahirkan pemain pelapis untuk skuad utama kebangsaan. Inilah sudut yang perlu kita lihat pada Piala AFF kerana sudah sampai masanya kita meletakkan sasaran lebih tinggi untuk skuad kebangsaan bermula dengan Piala Asia nanti.

“Ketiadaan pemain-pemain utama itu memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan mereka, secara tidak langsung memberi lebih banyak pilihan kepada Pan-gon.

“Hasilnya dapat kita lihat apabila pemain seperti Wilkin, Azam Azmi, Mukhairi Ajmal, V Ruventhiran, Sharul Nazeem, Syihan Azmi dan beberapa orang lagi berjaya menonjolkan potensi diri mereka walaupun belum setanding bintang-bintang JDT itu.

“Jadi, dalam isu ini, walaupun ramai yang menghentam JDT dan pendirian TMJ, saya menyokong apa yang dikatakan oleh beliau. Malah, saya respek kerana TMJ mempunyai wawasan lebih jauh untuk skuad negara,” kata Faridzuan.

Pada separuh akhir Piala AFF kelak, Malaysia akan menentang Thailand secara timbal balik dengan perlawanan pertama berlangsung Sabtu, 7 Januari, 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berkunjung ke Bangkok pada Selasa, 10 Januari, 2023.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Vietnam akan membuat perhitungan dengan pasukan Indonesia. - KitaReporters


10
13
1
10
1

Copy Link: