Regu berpasukan takraw negara menepati ramalan untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Laos 2-0 pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium JSC pada 27 September 2023. 

Meskipun mendapat sedikit tentangan dari Laos, namun regu negara tidak membenarkan lawan memenangi walaupun satu set kerana ia boleh menghalang momentum negara. 

Ketua jurulatih, Ahmad Jais mengekalkan strategi seperti sebelum ini dengan menurunkan Haziq Hairul Nizam, Noraizat Mohd Nordin dan Farhan Adam sebagai regu pertama negara. 

Kepercayaan itu dibalas kembali dengan kemenangan 21-17, 21-19 untuk memberikan mata pertama buat negara. Pujian perlu diberikan kerana regu Laos memberi tentangan sengit biarpun mereka menurunkan pemain jauh lebih muda berbanding Malaysia. 

Untuk perlawanan kedua, regu harapan iaitu Syahir Rosdi, Amirul Zazwan dan Azlan Alias juga tiada menghadapi masalah besar untuk menundukkan lawan 21-14, 21-14 untuk mata kedua, sekali gus membawa Malaysia ke pentas akhir bertemu Thailand.  


Biarpun tugas sukar menanti pada pentas akhir, regu negara yakin mampu melakukan kejutan ke atas lawan mereka, Thailand nanti. - Kredit foto: FB PSM


Pada edisi lalu di Palembang, Indonesia, Malaysia tewas kepada musuh tradisi negara dan kali ini mereka mempunyai peluang terbaik untuk membalas dendam atas kekalahan sebelum ini. 

Jika regu berpasukan negara berhasrat mengecewakan Thailand pada pentas akhir, mereka perlu mengurangkan kesilapan mudah terutama daripada tekong agar tidak memberi mata mudah buat mereka. 

Kedua-dua akan bertemu pada 29 September 2023 ini bagi merebut pingat emas. - KitaReporters 

11
13
0
7
0

Copy Link: